Wednesday, 18 April 2018

ASAL USUL RAJA MELAYU SULALATUS SALATIN


       Asal Usul Raja

Raja Sulaiman Alaihis Salam
                       
Raja Iskandar Zulkarnian + Raja Kida Hindi
                 
Raja Nusyirwan Adil (raja masyrik dan Magrib)
                 
Raja Aftabul Ard
           
Raja Suran
        
Nila Pahlawan             Krisyna Pandita          Nila Utama
           
·         Bukit Gantang
·         Tanah Andalas, Palembang
·         Dihuni leh Wan Empuk dn Wan Malini
·         Padi berbuahkan emas, berdaunkan perak, berbatangkan tembaga suasa dan tanah bukit berwarna emas
                    Raja Palembang
                    Sang Sapurba Taramberi Teribuana
 

Nila Pahlawan + Wan Empuk
Krisyna Pandita + Wan Malini
     
Awang             +          Dara
                              
                      Rakyat Jelata

Tuesday, 17 April 2018

SINOPSIS SULALATUS SALATIN


I
Menjunjung Titah Raja

Dalam satu majlis yang dihadiri oleh para pembesar, Yang Dipertuan di Hilir, Sultan Abdullah Ma’ayah Syah Ibni Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah mengungkit soal kewujudan sebuah “Hikayat Melayu” di Goa (Sulawesi). Baginda mengesyorkan agar hikayat tersebut dibaiki agar menjadi pedoman dan panduan kepada generasi akan datang.
            Permintaan baginda seterusnya diterima sebagai satu kewajipan oleh Tun Muhammad, nama timangan Tun Seri Lanang yang bergelar Paduka Raja. Beliau seterusnya bersetuju mengusahakannya dan menamakan hikayat tersebut Sulalatus Salatin atau membawa maksud “Pertuturan Segala Raja-raja”.  

Penaklukan Iskandar Zul-Karnain

Raja Iskandar merupakan anak raja Darab yang berbangsa Rom. Baginda berasal dari negeri Mukadunia (Mecedonia). Baginda telah mula mengembara untuk melihat matahari terbit (ke benua Timur). Seterusnya baginda sampai ke negeri Hindi yang diperintah oleh Raja Kida Hindi dan menawan negeri tersebut. Raja Kida Hindi yang ditawan diminta oleh Raja Iskandar memeluk agama Islam.
            Raja Kida Hindi mempunyai seorang puteri yang amat jelita bernama Puteri Syahrul-Bariyah. Oleh kerana tidak ada seorang pun yang layak menjadi suami puteri ini, Raja Kida Hindi telah menyampaikan hajatnya untuk bermenantukan Raja Iskandar. Raja Iskandar bersetuju dan telah dinikahkan oleh Nabi Khidir.

Perkahwinan Puteri Syahrul-Bariyah

Nabi Khidir menikahkan Raja Iskandar dengan Puteri Syahrul-Bariyah dengan mas kahwin sebanyak tiga ratus ribu dinar. Perkahwinan yang gilang-gemilang ini telah dihadiri ramai para pemerintah dan pembesar yang menaburkan emas, perak dan permata di kaki Raja Iskandar. Kesemua hadiah ini telah disedekahkan oleh Raja Iskandar kepada fakir miskin.
            Selepas sebelas hari, Raja Iskandar berangkat bersama permaisurinya untuk melihat matahari terbit. Setelah mencapai hajat tersebut baginda kembali ke negeri Kida Hindi. Raja Kida Hindi yang amat merindui puterinya meminta Raja Iskandar meninggalkan anakandanya di Hindi. Raja Iskandar bersetuju dan meneruskan pengembaraan dan penaklukannya.

Zuriat Iskandar Zul-Karnain

Sepeninggalan Raja Iskandar, Tuan Puteri Syahrul-bariyah mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Aristun Syah. Putera ini mempunyai paras rupa yang amat gemilang dan mirip ayahandanya Raja Iskandar. Baginda Aristun Syah berkahwin dengan anak raja Turkistan. Baginda seterusnya menggantikan Raja Kida Hindi dan memerintah selama tiga ratus lima puluh tahun.
            Kesemua zuriat baginda Aristun Syah menjadi raja-raja besar. Salah seorang daripada keturunan ini ialah Raja Tersi Berderas. Baginda berkahwin dengan anak Raja Sulan. Raja Sulan yang memerintah negeri Amdan Negara merupakan seorang raja besar dan dikatakan raja kepada segala raja di Hindi dan Sindi. Hasil perkahwinan ini lahirlah tiga orang putera yang bernama Raja Hiran, Raja Suran dan Raja Fandin.

Perjalanan Hendak Menakluk Negeri China

Apabila Raja Sulan yang memerintah Amdan Negara mangkat, takhta baginda diambil alih oleh cucundanya Raja Suran. Baginda merupakan seorang penakluk yang handal dan telah menawan kesemua negeri kecuali negeri China. Baginda seterusnya berangkat untuk menyerang negeri China. Dalam perjalanan tersebut, baginda telah menawan negeri Gangga Negara yang diperintah oleh Raja Gangga Syah Johan dan negeri Langgiu yang diperintah oleh Raja Chulan.
            Khabar ini sampai ke negeri China. Maharaja China telah menghantar sebuah pilau yang berisi jarum seni yang berkarat, ditanam dengan pokok buah-buahan dan beberapa orang tua yang telah tanggal giginya. Rombongan ini bertemu dengan angkatan Raja Suran di Temasik. Mereka seterusnya menceritakan bahawa ketika bertolak dari negeri China, mereka masih muda dan hanya berumur dua belas tahun. Mereka memberikan gambaran seolah-olah negeri China terletak begitu jauh dari situ sehinggakan kini mereka telah tua dan benih yang ditanam oleh mereka telah menjadi pohon dan berbuah serta besi-besi sebesar lengan yang mereka bawakan telah haus menjadi jarum seni. Raja Suran yang terpedaya dengan cerita tersebut telah membatalkan hasratnya untuk menyerang negeri China dan berpatah balik.     

Hendak Mengetahui Isi Laut

Setelah menawan isi daratan, kini Raja Suran ingin mengetahui isi laut pula. Baginda memerintahkan agar diperbuat sebuah peti kaca yang berkunci dari dalam dan menghulurkan baginda ke dalam laut. Peti ini jatuh ke bumi di dasar laut yang bernama Dika. Bumi itu didiami oleh suku kaum yang dipanggil Bu Sum. Mereka ini sebahagiannya terdiri daripada umat Islam sementara sebahagian lagi  merupakan golongan kafir. Suku kaum ini diperintah oleh Raja Aktabu’l-Ard.

Zuriat Raja Suran

Raja Suran seterusnya berkahwin dengan puteri Raja Aktabu’l Ard yang bernama Tuan Puteri Mahtabu’l-Bahri. Baginda menetap di Dika selama tiga tahun dan melahirkan tiga orang putera. Pada masa yang sama Raja Suran berasa amat sugul memikirkan nasib putera-puteranya yang terpaksa tinggal di bumi terpencil itu. Oleh itu baginda telah meminta Asmaghiah Peri (Jin Islam) membuatkan tiga buah mahkota yang mempunyai tanda kebesaran Raja Iskandar Zul-Karnain untuk putera-putera baginda. Seterusnya baginda juga meminta Raja Aktabu’l-Ard berjanji untuk menghantar putera-puteranya ke darat setelah mereka dewasa. Selepas itu, baginda Raja Suran kembali ke darat dan membina negeri Bijaya Negara di benua Keling.


II
Kisah Bermula di Bukit Si Guntang

Terdapat sebuah negeri di tanah Andalas yang bernama Palembang. Negeri tersebut diperintah oleh Raja Demang Lebar Daun. Di situ juga terdapat sebuah bukit yang bernama Bukit Si Guntang. Bukit tersebut dihuni oleh dua orang balu bernama Wan Empuk dan Wan Malini yang menanam padi huma.
            Pada masa yang sama ketiga-tiga orang putera Raja Suran di Dika telah besar. Maka nenda mereka Raja Aktabu’l-Ard menceritakan asal-usul mereka dan menunaikan janji baginda kepada Raja Suran dengan menghantar mereka ke darat. Ketiga-tiga orang putera ini bernama Nila Pahlawan, Krisyna Pandita dan Nila Utama. Mereka berangkat dengan seekor lembu putih dan terus sampai ke Bukit Si Guntang pada suatu malam.
            Kedatangan mereka menerbitkan pelbagai fenomena ajaib. Bukit itu bernyala bagaikan matahari terbit. Pada keesokan harinya padi di bukit itu berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa. Malah tanah bukit itu sendiri menjadi keemas-emasan. Mereka bertiga seterusnya memperkenalkan diri dan asal usul mereka. Mahkota pakaian mereka menjadi bukti warisan mereka. Mereka bertiga seterusnya dipelihara oleh Wan Empuk dan Wan Malini.
            Berita kedatangan anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain ke Bukit Si Guntang akhirnya sampai ke pengetahuan Demang Lebar Daun. Baginda seterusnya membawa mereka ke negeri Palembang. Nila Pahlawan digelarkan Sang Si Perba. Lembu putih yang dinaiki putera-putera ini memuntahkan buih. Daripada buih ini muncul seorang lelaki yang dinamakan Batala. Anak cucu manusia inilah yang menjadi pewaris pembaca ciri.  

Asal Raja Minangkabau dan Tanjung Pura

Patih Suatang, Raja Minangkabau pula telah membawa Sang Si Perba dan merajakan baginda di Minangkabau. Sementara itu Raja Tanjung Pura telah mangkat. Rakyat meminta kepada Demang Lebar Daun supaya salah seorang daripada putera tersebut dirajakan di negeri mereka. Maka Krisyna Pandita dihantar menjadi raja di Tanjung Pura. Kini hanya tinggal Nila Utama bersama Demang Lebar Daun. Baginda kini memegang kerajaan Palembang dengan gelaran Seri Teri Buana.
            Satu masalah besar dengan Seri Teri Buana ialah kesemua perempuan ynag dikahwininya menjadi kedal belaka. Habis semua puteri dalam negeri Palembang yang ditiduri baginda menjadi kedal. Kini baginda ingin mengahwini Puteri Demang Lebar Daun pula.
           
Bersumpah Berteguh Janji

Demang Lebar Daun tidak pula menolak permintaan tersebut. Satu permintaannya ialah agar puterinya tidak dihalau sekiranya telah menjadi kedal. Sekurang-kurangnya biarlah dia menjadi hamba di istana.
            Seterusnya Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana mengikat satu lagi perjanjian atau waad (wadat). Mengikut perjanjian ini, Demang Lebar Daun meminta agar sebarang hamba Melayu yang berdosa kepada baginda tidak dikeji, tidak dihina atau dimalukan. Sekiranya kena pada hukumannya hamba itu boleh dibunuh tetapi dia tidak harus diaibkan (dimalukan). Seri Teri Buana bersetuju tetapi mengenakan satu syarat lain bagi pihak pemerintah. Syarat baginda ialah seorang hamba Melayu tidak harus sekali-kali menderhaka kepada para pemerintah tidak kira betapa zalim atau kejam sekalipun pemerintah tersebut. Perjanjian tersebut dipersetujui. Mereka juga mempersetujui bahawa sekiranya ada hamba Melayu yang menderhaka maka akan diterbalikkan Allah akan bumbung rumahnya ke bawah dan kakinya pula ke atas manakala raja yang melanggar perjanjian ini pula akan dibinasakan Allah negeri dan kerajaannya.
            Setelah mengikat perjanjiann tersebut maka Seri Teri Buana berkahwin dengan anakanda Demang Lebar Daun yang bernama Radin Ratna Chendera Puri. Anehnya Tuan Puteri ini tidak pula menjadi kedal. Ini kerana keturunan Demang Lebar Daun sendiri pun berasal daripada keturunan Raja Sulan. 

Membunuh Ular Sakti Mona

Sementara itu Sang Si Perba yang memerintah Minangkabau telah diminta agar membantu membunuh seekor ular yang menyebabkan rakyat menderita. Ular “Sakti Mona” ini tidak dapat dibunuh oleh orang biasa. Baginda memberikan curiknya (sejenis senjata) yang bernama “Si Mandang Kini”. Ular itu dapat dibunuh dengan menggunakan curik tersebut.

Mencari Tempat Baru Untuk Berbuat Negeri

Seri Teri Buana yang memerintah Palembang ingin mencari tempat baru untuk dijadikan kerajaan. Baginda meminta izin Demang Lebar Daun. Demang Lebar Daun turut serta kerana tidak sanggup berpisah dengan baginda.
            Dalam satu kejadian ketika sedang berlayar, rombongan mereka kehabisan air tawar. Namun Seri Teri Buana dapat menukar air masin menjadi air tawar dengan mencelupkan ibu jari kakinya ke dalam laut.
            Pada masa itu, Bintan diperintah oleh seorang permaisuri bernama Wan Seri Beni. Baginda menjalin persahabatan dengan Seri Teri Buana.

Jadi Anak Angkat Raja Perempuan Bintan

Wan Seri Beni tidak mempunyai zuriat. Oleh itu baginda telah menyerahkan negeri dan takhta kepada Sert Teri Buana. Sementara itu Demang Lebar Daun pula dijadikan Bendahara Bintan.
            Seri Teri Buana seterusnya meminta izin bonda baginda (Permaisuri Wan Seri Beni) untuk bermain-main di Bengkilau. Pada mulanya baginda tidak membenarkan tetapi kerana terlalu didesak oleh Seri Teri Buana maka baginda benarkan.

Temasek Dijumpai

Dalam perjalanan ke Temasek, rombongan tersebut telah diserang ribut yang amat besar. Air laut melimpah masuk ke dalam kapal. Tidak kira betapa ditimba sekalipun, paras air terus naik. Keadaan tidak berubah walaupun kesemua barangan di dalam kapal itu dicampak keluar. Ribut itu hanya reda setelah Seri Teri Buana meletakkan mahkota baginda di laut.
            Ketikak berjalan-jalan di Temasek, baginda berjumpa dengan seekor binatang yang sangat perkasa. Setelah mengetahui nama haiwan itu ialah singa, maka tempat itu dinamakan Singapura. Baginda seterusnya mengutus surat kepada Wan Seri Beni meminta kelengkapan untuk menetap di negeri baru itu. Akhirnya Seri Teri Buana ditabalkan di Singapura oleh Wan Seri Beni.


III
Puteri Nila Pancadi ke Singapura

Terdapat seorang raja di benua Keling yang bernama Adi Rama Raja Mudaliar. Baginda juga merupakan keturunan Raja Suran dan memerintah Bijaya Negara. Baginda mempunyai seorang puteri yang bernama Tuan Puteri Nila Pancadi.
            Seri Teri Buana mempunyai dua orang anak lelaki. Seorang bernama Raja Kecil Besar manakala seorang lagi bernama Raja Kecil Muda. Raja Kecil Besar telah dikahwinkan dengan Tuan Puteri Nila Pancadi.

Raja dan Bendahara Adik-Beradik

Seri Teri Buana telah mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda Raja Kecil Besar bergelar Paduka Seri Pikrama Wira. Adinda baginda Raja Kecil Muda telah menjadi Bendahara bergelar Tun Perpatih Pemuka Berjajar. Di bawah pemerintahan mereka Singapura terus maju.

Peristiwa Tatal dan Menarah Kepala Budak

Ketika itu Majapahit diperintah oleh seorang Betara yang bernama Raden Inu Merta Wangsa. Pada masa itu Majapahit merupakan sebuah kerajaan besar dan seluruh tanah Jawa dan negeri-negeri lain tunduk kepadanya. Namun begitu, Singapura pula tidak menyembah baginda. Oleh itu, baginda menghantar utusan ke Singapura. Bingkisannya ialah sekeping tatal sepanjang tujuh depa yang nipis bagaikan kertas dan digulung seperti subang.
            Paduka Seri Pikrama Wira sedar akan maksud tersirat yang terkandung di dalam bingkisan tersebut. Ia bermaksud Betara Majapahit mempersoalkan kejantanan baginda. Baginda seterusnya menghantar sebilah beliung yang telah digunakan untuk menarah kepala seorang anak kecil kepada Betara Majapahit. Ini menimbulkan kemarahan Betara kerana beliau sedar maksud tersiratnya ialah Raja Singapura hendak menarah kepalanya. Betara Majapahit pun menghantar kelengkapan perang dan menyerang Singapura. Singapura dapat mematahkan serangan tersebut dan angkatan Majapahit berundur.
            Seri Pikrama Wira mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda Raja Muda dengan gelaran Seri Rakna Wikrama.   

Badang Beroleh Gagah

Badang merupakan seorang hamba yang tinggal di Sayung dan mengerjakan huma untuk tuannya. Setiap kali dia menahan lukah, dia mendapati semua ikannya telah dimakan dan hanya tinggal tulangnya dan sisiknya. Akhirnya dia mengintip dan mendapati pencurinya ialah hantu yang amat menggerunkan. Badang telah menangkap hantu tersebut dan mengugut untuk membunuhnya. Hantu itu meminta ampun dan berjanji akan menunaikan sebarang permintaan Badang. Badang meminta kekuatan yang istimewa. Hantu tersebut meminta Badang memakan muntahnya. Badang seterusnya menjadi seorang yang gagah perkasa sehingga boleh mencabut pokok-pokok besar. Sejak itu dia digelar “Orang Kaya Sayung”. Dia seterusnya diambil sebagai hamba oleh Seri Rakna Wikrama. 

Kegagahan Badang Diuji

Berita kegagahan Badang tersebar luas dan sampai kepada Raja Benua Keling. Baginda menghantar seorang pahlawannya yang bernama Nadi Bija Niakra beserta tujuh buah kapal untuk menguji kekuatan dengan Badang. Sekiranya kalah diminta menyerahkan isi kesemua tujuh buah kapal tersebut manakala sekiranya menang diminta agar menuntut harta yang sebanyak itu juga. Badang berjaya mengalahkan pahlawan tersebut.
            Seterusnya Raja Perlak juga mpunyai seorang pahlawan gagah bernama Benderang. Namun sebelum pertarungan pada keesokan harinya, Badang meminta keizinan untuk mencuba kekuatan Benderang. Dalam satu majlis keramaian, Badang telah menindih peha Benderang. Benderang tidak dapat mengangkat tindihan tersebut. Seterusnya utusan Perlak yang menyedari kekuatan Benderan tidak dapat menandingi Badang memberikan alasan pertarungan antara mereka hanya mencacatkan hubungan antara kedua-dua buah negara dan meminta diri. Badang meninggal dunia dan disemadikan di Buru.
            Seri Rakna Wikrama mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda bernama Damia Raja yang bergelar Paduka Seri Maharaja. Paduka Seri Maharaja memperoleh seorang putera bergelar Raja Iskandar Syah.

Mula Kedatangan Islam ke Alam Melayu

Terdapat dua orang raja bersaudara di Pasai. Raja yang tua bernama Merah Caga manakala yang muda bernama Merah Silu. Merah Caga mendapat tahu bahawa Merah Silu makan gelang-gelang. Ini menyebabkan Merah Caga hendak membunuh adiknya Merah Silu. Maka Merah Silu melarikan diri ke Rimba Jurun.
            Pada suatu hari ketika Merah Silu sedang berburu, anjingnya Si Pasai menyalak pada seekor semut sebesar kucing. Maka tempat itu dinamakan Samundra.
            Seterusnya baginda Rasullah (SAW) telah mengingatkan para sahabat baginda bahawa pada akhir zaman akan terdapat sebuah negeri di Timur yang bernama Semundra. Baginda mengingatkan para sahabat agar pergi ke negeri berkenaan dan menyebarkan syiar Islam di situ kerana akan lahir ramai wali di tempat itu.
            Sebagaimana yang dikatakan oleh baginda Rasulullah (SAW), apabila terdengar nama Semundra, sebuah kapal dengan nakhodanya, Sheikh Ismail telah bertolak ke Timur. Dalam perjalanan ke Semundra, kapal tersebut telah singgah di Fansuri. Kesemua rakyatnya memeluk agama Islam. Namun begitu apabila Sheikh Ismail turun dengan al-Quran, tiada siapa yang boleh membacanya. Perkara yang sama jugalah berlaku di Lamiri dan Haru.
            Akhirnya kapal tersebut sampai ke Semundra. Semua orang di situ memeluk agama Islam. Pada malam tersebut Merah Silu bermimpi bertemu dengan Rasulullah (SAW). Baginda telah meludahi mulut Merah Silu. Apabila bangun daripada tidur, Merah Silu mendapati badannya berbau narawastu. Dia juga telah menghafal al-Quran. Seterusnya Merah Silu dirajakan oleh Sheikh Ismail dengan gelaran Sultan Maliku’s-Salleh.
            Baginda memperoleh dua orang putera yang dinamakan Maliku’t-Tahir dan Maliku’l-Mansur. Sultan Maliku’s-Salleh telah membuka negeri Pasai dan merajakan anaknya Maliku’t-Tahir. Sebelum mangkat, baginda telah merajakan Sultan Maliku’l-Mansur di Semundra.       

Raja Pasai Ditipu dan Ditawan

Kebesaran kerajaan Pasai sampai ke pengetahuan Raja Syahru’n Nuwi. Baginda settterusnya menghantar hulubalangnya yang bernama Awi Dicu untuk menangkap Raja Pasai. Awi Dicu berjaya menangkap Sultan Maliku’t-Tahir dan membawanya kepada Raja Syahru’n Nuwi. Sultan Maliku’t-Tahir dijadikan gembala ayam.
            Bertolak daripada kejadian itu, Sidi Ali Ghiathu’d-Din telah mencari jalan untuk membebaskan baginda. Beliau telah membawa sebuah kapal yang sarat dengan dagangan Arab dan memberikan pelbagai hadiah kepada Raja Syahru’n Nuwi. Sebagai balasanya beliau meminta Sultan Maliku’t-Tahir. Alasannya ialah kerana mereka sama-sama Islam.

Peristiwa Kerana Seorang Dayang
Pada suatu ketika Sultan Maliku’l-Mansur dari Semundra telah melawat Pasai. Baginda telah memasuki istana Sultan Maliku’t-Tahir dan berkenan dengan seorang dayangnya. Maka dibawanya dayang itu pulang ke Semundra.
            Sultan Maliku’t-Tahir mendendami saudaranya kerana isu tersebut. Pada suatu hari baginda telah menjemput saudaranya ke majlis berkhatan anakandanya Sultan Ahmad. Dalam majlis tersebut, Sultan Maliku’l-Mansur telah ditangkap bersama menterinya Sidi Asma Yaumi’d-Din. Menteri tersebut tidak mahu berpisah dengan tuannya dan kesudahannya dia dibunuh. Sementara itu Sultan Maliku’l-Mansur pula telah dibuang ke Manjung.
            Setelah tiga tahun berlalu, akhirnya Sultan Maliku’t-Tahir sedar akan keterlanjuran perbuatannya menganiayai saudara sendiri semata-mata kerana seorang dayang. Lalu baginda meminta orang menjemput semula Sultan Maliku’l-Mansur. Ketika Sultan Maliku’l-Mansur melalui makam Sidi Asma Yaumi’d-Din, kedengaran seruan dari dalam makam agar baginda tinggal di situ. Baginda berbaring-baring di makam itu dan mangkat di tempat itu. Sultan Maliku’t-Tahir mangkat dan digantikan oleh putera baginda Sultan Ahmad.


IV
Singapura Dilanggar Todak

Terdapat seorang hamba Allah dari Pasai bernama Tuan Jana Khatib yang sedang berjalan-jalan di Singapura. Beliau telah menilik pohon pinang sehingga terbelah dua. Paduka Seri Maharaja amat murka akan perbuatan tersebut kerana pada sangkaan baginda Tuan Jana Khatib sengaja ingin menunjuk-nunjuk kebolehannya pada permaisuri baginda. Maka dititahkan supaya dibunuh. Apabila menitik sahaja darah Tuan Jana Khatib, beliau ghaib dan badannya dijumpai terlantar di Langkawi.
            Selepas itu datang pula ikan todak melanggar Singapura. Baginda menitahkan orang ramai berkubukan betis dan akibatnya ramai orang yang terkorban. Akhirnya seorang budak telah mencadangkan agar mereka berkubukan batang pisang. Langkah ini jelas berkesan dan serangan todak dapat diatasi. Malangnya beberapa orang besar telah menghasut baginda dengan mengatakan bahawa budak itu berbahaya kepada kerajaan. Ini kerana sekiranya dia begitu pintar ketika masih kecil, betapa lagi setelah dia dewasa. Baginda yang termakan dengan hasutan itu menitahkan agar budak itu dibunuh. Baginda mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda Raja Iskandar Syah. 

Akibat Khianat, Singapura Dikalahkan Majapahit

Terdapat seorang bendahari Raja Iskandar Syah yang bernama Sang Rajuna Tapa. Beliau mempunyai seorang anak perempuan yang dijadikan gundik oleh baginda. Pada suatu ketika perempuan itu telah difitnahkan oleh gundik-gundik yang lain. Baginda telah menyula perempuan tersebut di hujung pasar.
            Sang Rajuna Tapa berasa kesal dengan perbuatan tersebut. Dia rela jika anaknya dibunuh tetapi berasa marah kerana dimalukan sedemikian. Maka, Sang Rajuna Tapa pun mengutus surat kepada Betara Majapahit mengatakan dia telah belot dan menyuruhnya menyerang Singapura. Sang Rajuna Tapa telah membukakan pintu kota Singapura dan Singapura ditawan Majapahit.

Raja Iskandar Berlepas ke Darat

Raja Iskandar Syah lari ke Seletar sementara pihak Jawa pulang dengan kemenangan ketika Sang Rajuna Tapa hendak mengambil beras, rengkiang berasnya terbalik dan Sang Rajuna Tapa terjatuh ke dalam parit dan menjadi batu bersama isterinya.

Membuka Negeri Melaka

Raja Iskandar Syah sampai ke Sungai Bertam. Ketika berehat, baginda ternampak anjingnya dihambat oleh seekor pelanduk. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk itu dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Negeri itu dinamakan Melaka sempena nama sebatang pokok. Baginda bersemayam di Melaka selama tiga tahun. Setelah baginda mangkat, anakanda baginda Raja Muda menaiki takhta.
            Raja Mudalah yang mula-mula menetapkan istiadat menaiki takhta kerajaan. Baginda memperoleh tiga orang putera yang bernama Raden Bagus, Raden Tengah dan Raden Anum. Raja Muda mangkat dan digantikan oleh Raja Tengah. Raja Tengah mangkat dan digantikan oleh Raja Kecil Besar.
            Raja Kecil Besar telah bermimpi bertemu dengan baginda Rasulullah (SAW). Baginda telah diajar mengucap dan seterusnya diberikan nama Sultan Muhammad Syah. Baginda Rasulullah juga memberitahu bahawa keesokan harinya ada kapal yang akan datang dari Jeddah. Sultan Muhammad Syah disuruh mengikut kata-kata makhdum kapal itu. Apabila Sultan Muhammad Syah bangun daripada tidurnya baginda mendapati badannya berbau narawastu. Kalam baginda telah dikhatankan dan baginda mengucap (kalimah syahadat).     

Kedatangan Islam ke Melaka

Keesokan harinya sebuah kapal dari Jeddah sampai ke pantai Melaka. Makhdumnya, Syed Abdul Aziz telah turun dan mengerjakan sembahyang di pantai. Gerak-geri solat yang asing itu menghairankan orang ramai. Dengan itu sahlah mimpi baginda. Maka semua orang besar Melaka memeluk agama Islam.
            Sultan Muhammad Syahlah yang mula-mula menetapkan warna kuning sebagai warna larangan. Baginda juga menetapkan reka bentuk rumah serta cara berpakaian ketika menghadap raja.

Susunan Tertib Adat Istiadat Diraja

Menjelaskan adat yang terlibat ketika menghadap raja, cara menyambut utusan dari negeri-negeri lain, bentuk persalinan yang dianugerahkan oleh raja dan cara mengiringi keberangkatan raja.

Membuang Diri Kerana Berkecil Hati

Mani Purindam merupakan seorang putera raja benua Keling yang bernama Pahili. Baginda telah membuang diri kerana berkecil hati kerana kata-katanya tidak diendahkan oleh adindanya. Mani Purindam membuat keputusan untuk ke Melaka. Dalam perjalanan ke Melaka, kapalnya tenggelam di Tanjung Jambu. Akhirnya Mani Purindam sampai ke Pasai. Di Pasai baginda dikahwinkan dengan anak raja Pasai. Selepas itu baginda sampai ke Melaka. Mani Purindam seterusnya diambil oleh Seri Nara Diraja jadi menantu dan dikahwinkan dengan Ratna Sandari. Baginda memperoleh dua orang anak yang dinamakan Tun Ali dan Tun Ratna Wati. Tun Ratna Wati dikahwini oleh Sultan Muhammad Syah.
            Melalui perkahwinan dengan Tun Ratna Wati, Sultan Muhammad Syah memperoleh seorang putera bernama Raja Kassim. Sementara itu melalui perkahwinan dengan anak raja Rekan pula, baginda memperoleh seorang lagi putera yang bernama Raja Ibrahim. Raja Kassim mempunyai budi pekerti yang baik dann disayangi semua manakala Raja Ibrahim pula dibenci.
            Seri Nara Diraja meninggal dunia dan digantikan oleh cucunya Tun Ali (anak Mani Purindam) menjadi Penghulu Bendahari. Sultan Muhammad Syah mangkat setelah memerintah selama enam puluh tujuh tahun.    

Istana di Bawah Pengaruh Raja Rekan

Seterusnya Raja Ibrahim ditabalkan menjadi raja bergelar Sultan Abu Syahid. Oleh kerana baginda masih budak, jawatan tersebut dipangku oleh Raja Rekan. Raja Kassim disisihkan dan baginda tinggal bersama seorang pengail. Sementara itu Raja Rekan berlagak seolah-olah dialah empunya kerajaan Melaka.
            Pada suatu hari sebuah kapal dari Timur telah sampai ke Melaka dengan seorang maulana bernama Maulana Jalalu’d-Din. Beliau meramalkan Raja Kassim bakal menjadi pemerintah dan berjanji menolong Raja Kassim dengan syarat Puteri Rekan (bonda Sultan Abu Syahid) diserahkan kepadanya.

Peristiwa Rampas Kuasa

Sera Nara Diraja bersetuju membantu Raja Kassim untuk merampas kuasa. Begitu juga dengan bendahara. Dalam pergelutan itu Raja Rekan telah ditikam. Apabila menyedari dirinya telah ditikam, Raja Rekan telah membunuh Sultan Abu Syahid. Seterusnya Raja Kassim menjadi raja bergelar Sultan Muzaffar Syah. Sementara itu Maulana Jalalu’d-Din pula menuntut janji Raja Kassim. Maka Raja Kassim memilih seorang dayang yang baik paras rupanya dan memperdayakan maulana tersebut.
            Sultan Muzaffar Syah beristerikan anak Bendahara Seri Amar Diraja dan memperoleh seorang putera bernama Raja Abdullah. Pada suatu hari setelah dihadap orang di balairung, baginda masuk ke dalam. Pada masa itu Bendahara Seri Wak Raja baru masuk. Secara kebetulan angin telah bertiup dan menutup pintu balairung. Bendahara Seri Wak Raja yang menyangka dirinya dimurkai sultan telah membunuh diri.
            Bendahara Seri Wak Raja mempunyai tiga orang anak. Seorang bernama Tun Kudu dan telah diperisterikan oleh Sultan Muzaffar Syah. Seorang lagi bernama Tun Perak dan menjadi penghulu di Keling. Manakala seorang lagi bernama Tun Perpatih Putih.  


V
Bakat Kebijaksanaan Tun Perak

Negeri Siam ketika itu dikenali sebagai Syahru’n Nuwi merupakan sebuah kerajaan yang besar. Raja Bubunnya telah menghantar utusan ke Melaka meminta surat sembah. Sultan Muzaffar Syah enggan tunduk kepada Bubunnya. Baginda Bubunnya telah menghantar panglimanya Awi Cakri menyerang Melaka mengikut jalan darat.
            Tun Perak turun ke Melaka untuk membantu menentang serangan tersebut. Peliknya beliau bukan sahaja datang dengan para hulubalang tetapi juga anak isteri mereka. Apabila ditanya, beliau menerangkan bahawa sekurang-kurangnya orang-orang Kelang akan mempertahankan bumi Melaka demi membela anak isterinya itu. Serangan Siam dapat dipatahkan. Tun Perak tidak dibenarkan pulang ke Kelang dan dijadikan bentara oleh baginda sultan. Melihatkan kebijaksanaannya, akhirnya dia dijadikan menteri bergelar Paduka Raja. 

Satu Cara Mengelakkan Pecah Belah

Setelah Paduka Raja menjadi Orang Besar, anak Melayu berpecah dua. Separuh mengikut Paduka Raja, sementara separuh lagi mengikut Seri Nara Diraja. Perkara ini membimbangkan baginda sultan.
            Akhirnya baginda telah menceraikan isterinya Tun Kudu (saudara Paduka Raja) dan dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Dengan itu kedua-dua Orang Besar ini hidup berbaik-baik.  

Langgaran Siam Dipatahkan

Selepas gagal kali pertama, Siam menyerang lagi tetapi dari arah laut. Angkatan Siam kali ini dipimpin oleh seorang panglima bernama Awi Dicu. Bendahara Paduka Raja telah keluar menangkis serangan tersebut. Pada sebelah malamnya beliau telah menyalakan api pada semua pohon di persisiran pantai. Ini menyebabkan angkatan Siam menyangka angkatan atau hulubalang Melaka terlalu ramai dan membuat keputusan untuk berundur.
            Sekembalinya ke Siam, baginda Bubunnya amat berang. Putera baginda Cau Pandan pula meminta izin untuk menyerang Melaka. Perkara ini kedengaran ke Melaka. Seorang hamba Allah bernama Saidi Arab telah menghalakan panahnya ke arah benua Siam dan memanah. Kesudahannya Cau Pandan mati kerana muntah darah.

Pemerintahan Sultan Mansur Syah

Setelah empat puluh dua tahun di atas takhta, Sultan Muzaffar Syah mangkat. Baginda digantikan oleh anakandanya Raja Abdullah yang bergelar Sultan Mansur Syah. Sultan Mansur Syah berusaha meluaskan empayar Melaka. Baginda telah menawan Indera Pura tetapi rajanya Maharaja Dewa Sura telah melarikan diri.

Raja Indera Pura Ditawan

Akhirnya Maharaja Dewa Sra telah ditangkap dan dibawa ke Melaka bersama anaknya Puteri Onang Sari. Sementara itu Seri Bija Diraja dititahkan tinggal di Pahang. Sultan Mansur Syah mengahwini Tuan Puteri Onang Sari dan memperolehi dua orang putera bernama Raja Muhammad dan Raja Ahmad.

Hubungan Muhibah Melaka-Sulawesi

Sultan Mansur Syah telah menghantar utusan ke Mengkasar dengan tujuan mengikat tali persahabatan dengan Raja Goa.

Dari Mana Hang Tuah Berasal

Seri Bija Pikrama yang mengetuai utusan ke Sulawesi menyampaikan hajat Sultan Mansur Syah yang inginkan seorang budak lelaki yang baik parasnya, berbudi pekerti mulia dan berani. Raja Goa mempersembahkan anak raja Bajung yang bernama Daeng Mempawah kepada utusan Melaka. Bapa budak itu telah meninggal dunia. Di Melaka budak tersebut diberikan nama Hang Tuah dan dianugerahi keris Tempa Melaka oelh Sultan Mansur Syah. Hang Tuah dihantar berguru ilmu hulubalang. Sejak awal lagi Hang Tuah menunjukkan kehandalan yang tiada tandingnya dalam bidang senjata.

Maharaja Dewa Sura Dibebaskan

Pada suatu ketika gajah kenaikan Sultan Mansur Syah yang bernama Kemanci telah lari ke hutan. Maharaja Dewa Sura (Raja Indera Pura) yang berada di Melaka dan terkenal dengan ilmu gajahnya bersetuju mendapatkan semula gajah tersebut sekiranya diberikan kebebasan. Sultan bersetuju dengan permintaan tersebut. Baginda dianugerahkan persalinan oleh baginda Sultan Mansur Syah dan semua anak pembesar Melaka diminta berguru kepada Maharaja Dewa Sura tentang ilmu gajah.

Hubungan Berbaik-baik Melaka-Siam

Melihat Melaka dan Siam masing-masing merupakan kuasa yang besar tetapi tidak mempunyai sebarang hubungan, Sultan Mansur Syah membuat keputusan untuk berbaik-baik dengan kerajaan tersebut. Tun Telanai telah dipilih untuk membawa utusan dari Melaka. Di Siam, Paduka Bubunnya bertanya sebab Melaka tidak dapat dikalahkan oleh Siam. Tun Telanai telah memanggil seorang tua yang telah untut kedua-dua belah kakinya dan memintanya bermain lembing. Orang tua itu telah menunjukkan kepintaran yang amat mengagumkan dalam mengendalikan lembing tersebut. Seterusnya Tun Telanai menjelaskan bahawa demikianlah kebolehan seluruh rakyat Melaka.
            Seterusnya Paduka Bubunnya bercadang untuk menyerang sebuah negeri yang berhampiran dengan Siam. Baginda meminta Tun Telanai membantu menawan salah satu bahagian yang agak sukar ditembusi. Secara kebetulan bahagian tersebut terletak di sebelah barat. Tun Telanai memberikan dalih bahawa orang Islam tidak suka menyerang bahagian barat memandangkan mereka bersembahyang menghadap ke arah tersebut. Maka Paduka Bubunnya memberikan satu arah yang lain yang lebih mudah. Angkatan Melaka dapat menawan tempat tersebut dan menjaga maruah bangsa.


VI
Malang Membawa Tuah

Raja Majapahit telah mangkat dan meninggalkan seorang waris perempuan sahaja yang bernama Raden Galoh Awi Kesuma. Tuan Puteri tersebut telah dijadikan raja oleh Patih Aria Gajah Mada.
            Pada ketika yang sama seorang penyadap telah berjumpa seorang budak lelaki yang hanyut di laut. Budak itu telah diselamatkannya dan dibawa ke rumahnya. Budak tersebut menerangkan bahawa dia sebenarnya merupakan putera Raja Tanjung Pura dan berasal daripada keturunan Raja Bukit Si Guntang. Namanya ialah Raden Perlan Langu. Menurutnya lagi dia hanyut kerana kapalnya karam di laut.
            Oleh kerana si penyadap tidak mempunyai kemampuan untuk menghantar pulang budak itu, disuruhnya tinggal bersamanya buat seketika. Budak itu dinamainya Ki Mas Jaya. Si penyadap itu sentiasa bergurau mengatakan bahawa suatu hari nanti Ki Mas Jaya akan menjadi betara Majapahit dan akan berkahwin dengan Raden Galoh Awi Kesuma. Ki Mas Jaya pula menyambut gurauan itu dengan menyatakan bahawa sekiranya perkara tersebut terjadi, si penyadap itu akan dijadikannya Aria Gajah Mada.
            Sementara itu Patih Gajah Mada berasa amat sugul kerana kedengaran desas-desus di kalangan rakyat mengatakan bahawa beliau kelak akan mengahwini Raden Galoh Awi Kesuma. Maka beliau meminta Raden Galoh Awi Kesuma supaya cepat-cepat berkahwin. Tuan Puteri bersetuju. Maka diadakan satu perarakan besar para pemuda daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk dipilih oleh Tuan Puteri. Tuan Puteri jatuh hati dengan Ki Mas Jaya.

Bakal Ratu Majapahit

Ki Mas Jaya dikahwinkan dengan Raden Galoh Awi Kesuma oleh Patih Gajah Mada. Seterusnya Ki Mas Jaya menjadi Betara Majapahit bergelar Sang Aji Jaya Ningrat. Ini menyebabkan si penyadap menuntut janji agar dijadikan Patih Aria Gajah Mada. Ini menyebabkan baginda terpaksa menerangkan kebenaran dirinya kepada Patih Aria. Patih Aria sanggup meletakkan jawatan. Walau bagaimanapun baginda berjaya memujuk si penyadap dengan mengatakan bahawa pekerjaan Patih Aria Gajah Mada amat berat dan menawarkan jawatan penghulu segala penyadap di Majapahit dengan gelaran Patih Adi Kara. Melalui perkahwinan tersebut, baginda memperoleh seorang puteri yang dinamakan Radin Galoh Cendera Kirana.

Menjalin Muhibah Melaka-Majapahit

Sultan Mansur Syah ingin meminang Raden Galoh Cendera Kirana. Baginda bertolak ke Majapahit bersama empat puluh orang perawangan terpilih yang diketuai oleh Tun Bijaya Sura.
            Pada bahagian ini diceritakan juga kehebatan Hang Tuah. Dialah orang yang menentang orang yang mengamuk. Beliau seterusnya diberikan gelaran Laksamana oleh sultan.
            Di Majapahit, Sultan Mansur Syah diberikan sebuah istana. Betara Majapahit juga menganugerahkan sebilah keris kepada semua empat puluh orang perawangan Melaka. Kemudian baginda menyuruh orang agar mencuri keris-keris tersebut. Namun Tun Bijaya Sura telah mengingatkan kesemua perawangan itu agar menjaga keris masing-masing. Ini menyebabkan keris-keris tersebut tidak dapat dicuri.

Telatah Budak-budak Raja Melaka

Pada suatu ketika yang lain, orang Majapahit telah menambat seekor anjing di hadapan Sultan Mansur Syah. Namun Tun Bijaya Sura telah dapat menghalau anjing tersebut dengan sejenis tarian. Seterusnya Tun Bijaya Sura meminta keizinan Betara untuk bermain sapu-sapu rengit. Permainan ini membolehkan beliau menjulurkan kaki ke arah Betara Majapahit.
            Sementara itu Hang Tuah lima bersahabat pula telah naik ke balai larangan. Walaupun berpuluh-puluh orang hulubalang Majapahit menombak mereka, namun kesemuanya dapat ditangkis oleh mereka. Diceritakan juga bahawa Hang Tuah menjadi daya tarikan kepada semua wanita tidak kira yang telah bersuami atau anak dara.
            Satu lagi jenis permainan yang ditunjukkan oleh Tun Bijaya Sura ialah menghayunkan sapu tangan Sultan Mansur Syah. Malah sapu tangan tersebut hampir-hampir terkena muka Betara.
            Melihatkan pelbagai kelincahan dan kepintaran Tun Bijaya Sura, maka Betara Majapahit telah menyuruh orang menyentap kerisnya. Apabila menyedari kerisnya telah dicuri orang, Tun Bijaya Sura telah mencuri keris pembawa puan Betara Majapahit.
            Setelah membuat persiapan selama empat puluh hari empat puluh malam, akhirnya Sultan Mansur Syah dikahwinkan dengan Raden Galoh Cendera Kirana.

Memohon Jajahan Sebelum Kembali

Sebelum berangkat pulang ke Melaka Sultan Mansur Syah telah memohon Inderagiri, Jambi dan Siantan daripada Betara Majapahit. Kesemua permintaan tersebut dikurniakan oleh Betara. Siantan telah dianugerahkan oleh betara kepada Laksamana Hang Tuah.

Hang Tuah Dihukum Bunuh

Pada suatu ketika kuda Sultan Mansur Syah telah jatuh ke pelindungan tahi. Tiada siapa yang sanggup mengeluarkannya. Hanya Hang Tuah seorang sahaja yang sanggup memasuki pelindungan itu dan mengeluarkannya. Seterusnya Hang Tuah telah difitnahkan bermukah dengan seorang dayang raja. Baginda sultan tidak memeriksa perkara tersebut tetapi sebaliknya menyuruh Seri Nara Diraja membunuh Hang Tuah. Namun begitu, Seri Nara Diraja tidak melaksanakan perintah tersebut. Beliau sebaliknya telah menyembunyikan Hang Tuah di dusunnya di hulu.

Perhubungan Dengan Negeri China

Berita kebesaran Melaka sampai kepada negeri China. Maharaja China telah mengutus bingkisan berupa jarum sarat sebuah pilau. Menurut utusan tersebut jarum itu telah diminta sebilah daripada setiap buah rumah. Begitulah ramainya rakyat China.
            Sebagai balasannya, Sultan Mansur Syah telah mengirimkan sebuah pilau yang sarat berisi sagu rendang. Menurut Tun Perpatih Putih yang membawa utusan tersebut, sagu tersebut telah digelek seorang sebiji oleh rakyat Melaka. Begitulah ramainya rakyat Melaka. Sejak itu Maharaja China meminta beras santapannya dikupas orang dan tidak lagi ditumbuk.
            Sebenarnya Maharaja China duduk di dalam mungkur kaca di dalam mulut naga. Tiada siapa yang dibenarkan mengangkat muka memandangnya. Tun Perpatih Putih mengatakan bahawa makanan kegemaran orang Melaka ialah sayur kangkung yang dibelah panjang-panjang dan tidak dikerat. Ketika makan mereka mendongak dan mengangakan mulut. Dengan cara itu orang-orang Melaka dapat melihat wajah Maharaja China yang duduk di dalam mulut naga itu.
            Seterusnya Raja China menyuruh Raja Melaka datang ke China untuk dikahwinkan dengan anakandanya Tuan Puteri Hang Liu. Tun Perpatih Putih menerangkan bahawa baginda tidak dapat meninggalkan Melaka kerana terdapat ancaman daripada pihak musuh. Beliau seterusnya meminta izin untuk membawa Tuan Puteri Hang Liu bersamanya ke Melaka.  

Puteri Raja China ke Melaka

Maharaja China bersetuju dan meminta Perdana Menterinya, Li Po menyediakan kelengkapan untuk  mengiringi Tuan Puteri tersebut. Setibanya mereka di Melaka, seluruh rombongan China diislamkan. Sultan Mansur Syah mengahwini Tuan Puteri Hang Liu dan menghantar sembah kepada Maharaja China. Sembah tersebut berbunyi “Sahaya anak Raja Melaka, empunya sembah pada raja benua China”. Utusan yang dibawa oleh Tun Telanai itu terlencong kerana angin ribut dan sampai ke Brunei. Raja Brunei tergamam melihat utusan Melaka yang menghantar sembah kepada Raja China. Namun begitu, menteri Jana Putera berjaya menggunakan kepintarannya dan berdalih mengatakan bahawa “sahaya” bermaksud hamba. Jadi maksud utusan tersebut ialah hamba Sultan Mansur Syah yang menghantar utusan tersebut dan bukannya baginda sultan.

Kedal Kerana Tulah?

Maharaja China telah dijangkiti sejenis penyakit kedal yang menyebabkan seluruh badannya berasa gatal. Menurut tabib penyakit tersebut tidak dapat diubati melainkan dengan santap dan membasuh muka dengan air basuh kaki Raja Melaka. Sultan Mansur Syah mengirimkan air basuh kakinya. Air tersebut disantap dan digunakan untuk membasuh muka oleh Maharaja China. Pada ketika itu juga penyakitnya sembuh. Sejak itu Maharaja China bersumpah bahawa diri dan keturunannya tidak akan disembah oleh Sultan Melaka.


VII
Hang Jebat Kesiangan di Istana

Hang Jebat mengamuk di istana raja. Sultan Mansur Syah dan Raja Perempuan terpaksa berpindah ke istana lain. Tiada orang yang berani menentang Hang Jebat kerana dia bukannya calang-calang pahlawan.
            Pada ketika itulah sultan merintih mengenangkan Hang Tuah. Dalam rintihan itu baginda mengatakan sekiranya Hang Tuah masih hidup, baginda sanggup memaafkan sebarang dosanya. Pada ketika itulah Seri Nara Diraja memaklumkan hakikat Hang Tuah masih hidup lagi. Seterusnya Hang Tuah dijemput dan dititahkan oleh baginda agar membasuh arang di mukanya. 

Pertarungan Hang Tuah-Hang Jebat

Hang jebat terkejut melihat Hang Tuah masih hidup dan mengatakan bahawa dia bertindak sedemikian kerana menyangka Hang Tuah sudah mati. Hang Jebat seterusnya mengajak Hang Tuah naik untuk bertarung dengannya. Dalam pertarungan itu beberapa kali keris Hang Tuah terlekat di dinding. Setiap kali perkara tersebut terjadi, Hang Jebat akan membenarkan Hang Tuah mencabut kerisnya terlebih dahulu sebelum menyambung pertarungan. Namun begitu apabila keris Hang Jebat tertikam pada dinding, Hang Tuah mengambil kesempatan untuk menikam Hang Jebat. Katanya dia tidak perlu setia dengan Hang Jebat kerana dia menderhaka ke bawah baginda sultan.
            Mayat Hang Jebat dicampakkan orang ke dalam laut. Kesemua anak isterinya turut dibunuh. Malah kaki tiang dan tanah bekas rumahnya sekalipun digali dan dibuangkan ke laut. Sultan Mansur Syah juga melekatkan gelaran Laksamana secara kekal kepada Hang Tuah. Baginda seterusnya membina sebuah istana baru yang amat indah.

Istana Sultan Mansur Syah Terbakar

Mahligai yang amat indah dan baru dibina itu terbakar. Sultan Mansur Syah menitahkan agar dibuat istana baru dan mengarahkannya disiapkan dalam masa sebulan.

Ramalan Bendahara Paduka Raja

Seri Nara Diraja jatuh sakit. Sebelum meninggal dunia beliau menyerahkan anak-anaknya Tun Mutahir dan Tun Tahir kepada Bendahara Paduka Raja. Bendahara Paduka Raja meramalkan Tun Mutahir kelak akan menjadi Orang Besar Melaka tetapi tidak kekal lama.
            Setelah besar, Tun Tahir dijadikan Penghulu Bendahari bergelar Seri Nara Diraja dan Tun Mutahir dijadikan Temenggung bergelar Seri Maharaja.  

Akibat Tiada Menyembah ke Melaka

Maharaja Jaya dari Kampar enggan menyembah ke Melaka. Maka Sultan Mansur Syah mengarahkan angkatannya menyerang dan menawan negeri tersebut. Maharaja Jaya terbunuh dalam peperangan tersebut.

Sesudah Kampar, Siak Pula

Maharaja Parameswara dari Siak tidak mahu menyembah ke Melaka. Negerinya diserang oleh angkatan Melaka. Maharaja Parameswara terbunuh dan negaranya ditawan. Putera baginda yang bernama Megat Kudu dibawa ke Melaka dan dikahwinkan oleh Sultan Mansur Syah dengan anakandanya Raja Mahadewi. Megat Kudu kemudian ditabalkan di Siak bergelar Sultan Ibrahim.

Ditolak Bumi Melaka

Pada suatu ketika putera Sultan Mansur Syah, Raja Muhammad sedang berkuda di kampung Bendahara Paduka Raja. Pada ketika itu anak Bendahara, Tun Besar sedang bermain sepak raga. Raga yang disepaknya terpelanting mengenai destar Raja Muhammad menyebabkan destarnya jatuh. Akibatnya Tun Besar dibunuh. Para sahabat Tun Besar berkumpul hendak menuntut bela ke atas kematiannya tetapi mereka ditegah oleh Bendahara Paduka Raja. Beliau mengingatkan mereka bahawa pantang bagi anak Melayu menderhaka ke bawah sultan. Namun begitu Bendahara enggan bertuankan anak raja tersebut.
            Sultan Mansur Syah terpaksa tunduk kepada ketetapan bendahara dan bumi Melaka yang enggan bertuankan anakandanya itu. Raja Muhammad dihantar ke Pahang dan dirajakan di situ dengan gelaran Sultan Muhammad Syah.
            Melaka terus maju di bawah pimpinan baginda Sultan Mansur Syah. Di kalangan orang Arab, Melaka dikenali sebagai “Malaqat” yang bermaksud “perhimpunan dagang”.

Juara Catur

Dikisahkan bahawa Tun Bahara (orang Pasai) telah datang ke Melaka. Dia dikatakan seorang pemain catur yang handal. Semua pemain catur di Melaka dikalahkannya. Tiada siapa yang boleh menyainginya melainkan Tun Pikrama, anak Bendahara Paduka Raja.

Disuruh Merompak ke Ujung Tanah

Dikisahkan tentang sebuah negeri yang terletak di Tanah Mengkasar bernama Meluluki. Rajanya bernama Keraeng Majiko. Baginda mempunyai tujuh orang isteri. Daripada isterinya yang paling tua beliau memperoleh seorang anak lelaki bernama Semerluki. Semerluki jatuh hati pada isteri termuda ayahnya (bonda bongsunya). Ini ditegah oleh Baginda Keraeng Majiko. Baginda seterusnya menyuruh Semerluki mencari isteri di Ujung Tanah.
            Semerluki berkemas dan memulakan pengembaraannya. Dalam perjalanannya, dia merosakkan jajahan Jawa dan jajahan Melaka. Di laut Melaka, angkatan Semarluki bertemu dengan kelengkapan Laksamana. Dalam pertempuran itu kedua-dua pihak mengalami banyak kerugian. Seterusnya Semerluki bergerak ke Pasai. Di situ dia merosakkan beberapa jajahan Pasai. Apabila sampai semula ke laut Melaka, kelengkapan Semerluki ditentang oleh Laksamana sekali lagi. Kali ini angkatan Semerluki dapat dibinasakan. Semerluki pulang ke Mengkasar.

Kitab Duri’l-Mazlum

Seorang pendeta bernama Maulana Abu Ishak yang amat arif dalam ilmu tasauf telah mengarang kitab Duri’l-Mazlum. Beliau seterusnya mengajarkan kitab ini kepada anak muridnya Maulana Abu Bakar dan menghantarnya ke Melaka untuk memberikan fatwa. Kitab tersebut diterima baik oleh Sultan Mansur Syah. Baginda juga menghantar kitab tersebut ke Pasai untuk diberikan erti.
            Kesemua Orang Besar Melaka berguru kepada Maulana Abu Bakar kecuali kadi Melaka bernama Kadi Yusuf. Pada suatu hari, ketika Tuan Kadi hendak pergi sembahyang Jumaat, beliau ternampak Maulana Abu Bakar dikelilingi cahaya. Melihatkan perkara tersebut Tuan Kadi menyembah kaki Maulana Abu Bakar dan menjadi anak muridnya. Beliau juga meninggalkan jawatan kadi dan dikenali sebagai Maulana Yusuf.
            Sultan Mansur Syah telah menitahkan Tun Bija Wangsa ke Pasai menanyakan suatu masalah agama iaitu sama ada semua isi syurga akan kekal di syurga da nisi neraka pula akan kekal di neraka. Kemusykilan tersebut dapat diselesaikan oleh Makhdum Mua di Pasai.


VIII
Raja Chempa dan Zuriatnya

Raja Cempa telah menjumpai seorang budak lelaki di belahan mayang pinang. Budak tersebut dinamakan Cempa Pau Gelang. Apabila telah besar, Cempa Pau Gelang dikahwinkan dengan puterinya Pau Bania. Seterusnya Pau Gelang dirajakan di Cempa. Zuriat baginda berterusan hingga kepada Pau Gama.
            Pau Gama telah menghadap Betara Majapahit dan dikahwinkan oleh Betara dengan anakandanya Raden Galuh Ajeng. Keturunan raja Cempalah yang pemerintah di Aceh. Salah seorang daripada keturunan mereka, Syah Indera Berman telah tiba di Melaka dan menghadap Sultan Mansur Syah. Baginda sultan menyuruh mereka memeluk agama Islam. Mereka seterusnya menetap di Melaka.

Gema Peristiwa Rampas Kuasa di Pasai

Raja Pasai, Sultan Zainal Abidin mempunyai seorang saudara muda. Saudara baginda hendak merebutkan takhta kerajaan. Ini menyebabkan Sultan Zainal Abidin terpaksa lari ke Melaka. Sultan Mansur Syah telah menghantar Bendahara bersama bala tentera untuk menabalkan semula Sultan Zainal Abidin. Di Pasai, angkatan Melaka berjaya menewaskan saudara Sultan Zainal Abidin dan mengembalikan takhta kepada Sultan Zainal Abidin.
            Apabila sampai masa untuk rombongan Melaka berangkat pulang, Sultan Zainal Abidin enggan menghantar sembah kepada Sultan Melaka. Dalam perjalanan pulang rombongann Melaka mendapat tahu bahawa sepeninggalan mereka, saudara Sultan Zaina Abidin telah kembali untuk merebut kerajaan. Namun demikian Bendahara enggan membantu lagi kerana sifat sombong Sultan Zainal Abidin tadi.
            Setiba di Melaka Sultan Mansur Syah murka terhadap Bendahara kerana enggan membantu Sultan Zainal Abidin. Laksamana pula mengambil kesempatan ini untuk memburuk-burukkan lagi Bendahara. Tetapi apabila Bendahara menghadap raja, beliau pula memberikan pelbagai pujian terhadap Laksamana. Apabila Laksamana mendapat tahu hal tersebut, beliau telah menyembah kaki Bendahara.  

Wasiat Sultan Mansur Syah

Hasil perkahwinan dengan Raden Galuh Cendera Kirana, Sultan Mansur Syah memperoleh seorang putera bernama Raden Kelang. Putera inilah yang dihajatkan oleh baginda akan mewarisi takhta. Malangnya Raden Kelang mati ketika bertikam dengan orang mengamuk.
            Akhirnya Sultan Mansur Syah gering. Baginda memanggil Raja Ahmad (nama timangannya ialah Raja Hussain) dan mengumumkan kepada para pembesar bahawa putera itulah yang akan menggantikan baginda. Baginda mewasiatkan kepada para pembesar agar menjaga dan memaafkan sebarang kesilapan puteranya yang masih mentah itu. Wasiat baginda kepada puteranya pula ialah agar mementingkan keadilan dan permuafakatan dalam mentadbir negara.

Pemerintahan Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah

Sultan Mansur Syah mangkat dan digantikan oleh Raja Hussain dengan gelaran Sultan Alau’d-Din Riayat Syah. Baginda terkenal sebagai seorang pemerintah yang adil dan perkasa. Pada masa pemerintahan baginda, negeri Melaka diancam masalah kecurian yang  berleluasa. Pada suatu malam baginda telah menyamar dan keluar untuk melihat keadaan negerinya. Baginda terserempak dengan lima orang pencuri yang sedang mengusung sebuah peti. Baginda bersama Hang Isap telah berjaya membunuh tiga orang daripada mereka.

Langkah Membasmi Pencuri

Pada keesokan harinya baginda telah menyindir Temenggung Seri Maharaja kerana tidak tahu segala kejadian pada malam sebelumnya. Sejak peristiwa tersebut, Seri Maharaja menjalankan kawalan yang amat ketat. Malah sekiranya bertemu dengan pencuri, beliau tidak akan menangkap tetapi sebaliknya terus dibunuh.
            Sultan Alau’d-Din Riayat Syah merupakan seorang pemerintah yang amat mementingkan keadilan. Baginda telah membina balai di simpang empat di tengah negeri bagi membolehkan orang ramai meletakkan semua harta yang ditemui atau diperoleh daripada pencuri agar dapat diambil semula oleh tuannya.

Akibat Salam Dibacakan Sembah

Pada suatu ketika Raja Haru, Maharaja Diraja telah menghantar utusan ke Pasai. Salah satu kebiasaan di Pasai ialah perkataan “salam” akan sentiasa dibacakan sebagai “sembah”. Kini utusan Haru yang berbunyi “salam paduka kakanda” dibacakan sebagai “paduka empunya sembah”. Walaupun Raja Pahlawan, iaitu pembawa utusan dari Haru membetulkannya berkali-kali namun pihak Pasai tetap membacakannya sedemikian rupa. Kesudahannya Raja Pahlawan telah mengamuk dan beliau sendiri terkorban.
            Ini menimbulkan kemarahan Maharaja Diraja yang seterusnya menghantar tentera untuk menyerang Pasai. Angkatan ini yang diketuai Hulubalang Seri Indera telah merosakkan banyak jajahan Pasai dan menuju ke jajahan Melaka. Angkatan tersebut telah ditentang oleh angkatan Melaka. Angkatan Haru dapat ditewaskan.

Mia Ruzul dengan Kambing Randuk

Maharaja Diraja amat murka kerana angkatannya dibinasakan oleh pihak Melaka. Baginda menitahkan agar menyerang Melaka sekali lagi. Kedua-dua angkatan bertemu di tengah perairan Melaka dan pihak Haru tewas lagi. Akhirnya Maharaja Diraja meminta damai dengan pihak Melaka.

Ketiganya Sama Gagah

Negeri Raja Maluku telah dikalahkan oleh Kastilan. Raja Maluku melarikan diri ke Melaka. Pada masa yang sama, Raja Rekan dan Telanai Terengganu juga berada di Melaka untuk menghadap Sultan Alau’d-Din Riayat Syah. Dikatakan bahawa Raja Maluku, Telanai Terengganu dan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah merupakan orang yang sama-sama perkasa.
            Sultan Muhammad Syah di Pahang tersinggung kerana Telanai Terengganu telah menghadap ke Melaka tanpa memberitahunya. Baginda seterusnya menitahkan Seri Akar Raja membunuh Telanai Terengganu. Kemudain Terengganu telah diserahkan kepada Seri Akar Raja.
            Semua anak cucu Telanai Terengganu telah melarikan diri ke Melaka dan mengkhabarkan perkara tersebut kepada Sultan Alau’d-Din Riayat Syah. Raja Muhammad Syah juga berhasrat hendak merampas Melaka daripada adindanya Raja Ahmad (Sultan Alau’d-Din Riayat Syah). Baginda sultan amat murka dengan perbuatan kakandanya dan menyuruh menyediakan kelengkapan untuk menyerang Pahang. Namun begitu kemurkaan baginda dapat diredakan oleh Bendahara Paduka Raja.    

Gema Pembunuhan Telanai Terengganu

Ekoran daripada peristiwa itu, Laksamana telah membawa utusan ke Pahang. Pada masa yang sama Laksamana juga telah meminta seorang ahli kumpulannya membunuh salah seorang ahli keluarga Seri Akar Raja. Apabila disoal oleh Sultan Muhammad Syah, Laksamana menerangkan bahawa Seri Akar Raja telah bersalah kepada Sultan Melaka. Sultan Muhammad Syah pula berdalih mengatakan bahawa Telanai Terengganu dibunuh kerana bersikap biadap. Kononnya Telanai berkata bahawa Melaka terletak di bawah penguasaannya.


IX
Membunuh Tanpa Memberitahu ke Melaka

Raja Siak iaitu Sultan Ibrahim telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas seorang rakyatnya tanpa memberitahu Melaka. Hukuman tersebut telah dijalankan oleh Tun Jana Pakibul.
            Apabila berita tersebut sampai ke Melaka, baginda sultan telah menghantar Laksamana untuk menegur Sultan Ibrahim. Di Siak, Laksamana telah menengking Tun Jana Pakibul sebagai orang yang tidak tahu adat.
            Demikianlah istiadat pada ketika itu. Tiada sebuah pun negeri di bawah jajahan Melaka yang boleh menjatuhkan hukuman bunuh terhadap sesiapa tanpa terlebih dahulu memaklumkannya kepada sultan Melaka.
            Sultan Alau’d-Din Riayat Syah gering dan berwasiat kepada para pembesar agar merajakan anakandanya Raja Mamad selepas kemangkatan baginda.

Pemerintahan Sultan Mahmud Syah

Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah berwasiat kepada Raja Mamad agar mendahulukan kerja Allah SWT berbanding dengan pekerjaan duniawi. Baginda juga berpesan agar jangan sekali-kali memalukan anak Melaka walau betapa besar seklaipun dosanya.
            Sultan Alau’d-Din Riayat Syah mangkat dan digantikan oleh putera baginda Raja Mamad bergelar Sultan Mahmud Syah. Ketika itu Seri Bija Diraja sampai dari Singapura. Bendahara Paduka Raja memaklumkan kepada beliau wasiat Sultan Alau’d-Din Riayat Syah yang menurunkan takhta kepada Sultan Mahmud Syah. Seri Bija Diraja pula mengatakan bahawa beliau tidak mendengar wasiat tersebut. Sultan Mahmud Syah yang mendengar kata-kata Seri Bija Diraja menyimpan dendam terhadap beliau.
            Tidak beberapa lama kemudian Sultan Mahmud Syah gering cirit-birit. Bendahara Paduka Raja dan Laksamanalah yang bertungkus-lumus menjaga baginda. Merekalah yang membasuh dan menyuapkann baginda. Mereka berdua tidak membenarkan nenda Sultan Mahmud Syah, Raja Tua, menghampiri baginda. Ini kerana Raja Tua lebih mengasihi cucundanya Sultan Menawar di Kampar. Apabila Raja Tua hendak meratapi Sultan Mahmud Syah (dengan harapan baginda akan mangkat), kedua-dua mereka mengugut akan mengamuk.

Bendahara Paduka Raja Dengan Laksamana

Sultan Mahmud Syah telah sembuh daripada geringnya. Sebagai tanda penghargaan baginda telah menghadiahkan sebuah usungan kepada kedua-dua Laksamana dan Bendahara Paduka Raja. Laksamana menggunakan usungan tersebut manakala Bendahara pula enggan menggunakannya. Apabila ditanya beliau menjawab bahawa sekiranya beliau menggunakan usungan itu, mungkin ada orang yang akan salah sangka bahawa beliaulah raja Melaka memandangkan pemerintah negeri itu masih muda.
            Selain itu, Bendahara juga menyerahkan segala perahu atau senjata yang bermutu yang diperolehinya kepada Laksamana. Alasan yang diberikan oleh beliau ialah Laksamanalah yang akan mempertahankan bumi dan rakyat Melaka daripada ancaman musuh. Oleh itu sewajarnyalah dia memiliki peralatan yang terbaik.

Wasiat Bendahara Paduka Raja

Bendahara Paduka Raja jatuh sakit. Sebelum meninggal dunia beliau telah mengingatkan anak-anak buahnya bahawa raja ibarat khalifah Allah di muka bumi. Sementara itu beliau juga mengingatkan baginda sultan agar memerintah dengan adil dan jangan sekali-kali mendengar fitnah orang.
            Selepas kematian Bendahara Paduka Raja, tempatnya diambil alih oleh Tun Perpatih Putih bergelar Bendahara Putih. Beliau merupakan seorang yang pemboros. Sementara itu Sultan Mansur Syah telah menjadi besar dan dapat menjalankan pemerintahan baginda sendiri. Baginda dikatakan mempunyai pekerti yang amat mulia. 

Nyaris Lembing Diterbangkan ke Dada

Pada suatu ketika Sultan Mahmud Syah telah mengadakan hubungan sulit dengan isteri Tun Biajid iaitu anak Laksamana Hang Tuah. Pada suatu malam ketika pulang dari rumah Tun Biajid, baginda terserempak dengan Tun Biajid sendiri. Tun Biajid sangat marah dan menimbang-nimbang lembingnya. Dia mengatakan bahawa sayang sekali baginda merupakan tuannya. Jika tidak baginda pasti dibunuhnya. Tun Biajid lalu menceraikan isterinya. Dia dianugerahkan seorang gundik oleh baginda sultan.
            Baginda sultan juga mempunyai hubungan dengan seorang perempuan bernama Tun Dewi. Pada suatu hari baginda ternampak Tun Ali Sandang juga berada di tempat itu. Baginda seterusnya mengambil sirih di puan dan menyerahkannya kepada Tun Isap. Tun Isap mentafsirkan anugerah tersebut sebagai arahan untuk membunuh Tun Ali Sandang.

Peristiwa Pembunuhan Tun Ali Sandang

Seterusnya Tun Isap telah menikam Tun Ali Sandang dan membunuhnya. Ini menimbulkan kemarahan Seri Wak Raja memandangkan Tun Ali Sandang merupakan salah seorang ahli keluarganya. Beliau ingin menuntut bela dan mahu membunuh Tun Isap. Oleh yang demikian, Sultan Mahmud Syah menyuruh Tun Isap meninggalkan Melaka. Mula-mula dia ke Pasai. Dari situ dia berlepas ke Haru dan kemudiannya ke Brunei. Namun demikian ke mana sahaja dia pergi dia enggan menyembah sesiapapun kerana kesetiaannya yang tidak berbelah bagi terhadap sultan Melaka. Akhirnya dia pulang juga ke Melaka. Walau bagaimanapun, kemarahan Seri Wak Raja tidak pernah mereda. Tun Isap tetap dibunuhnya juga.

Telatah Orang-orang Yang Dikasihi Raja

Seterusnya diceritakan sikap sesetengah pembesar. Seri Wak Raja misalnya suka berlengah-lengah apabila dipanggil ke istana. Hanya Tun Isap Berakah sahaja yang tahu cara mengendalikan Seri Wak Raja. Ini kerana setiap kali dia pergi menjemput Seri Wak Raja, dia akan meminta yang bukan-bukan sementara menunggu Seri Wak Raja bersedia. Oleh itu Seri Wak Raja tidak akan berlengah-lengah tetapi sebaliknya akan bergegas pergi setiap kali Tun Isap Berakah datang menjemputnya.
            Pada suatu Hari Raya, Seri Bija Diraja tidak mudik dari Singapura. Beliau hanya sampai pada keesokan harinya. Ini kerana beliau menyangka anak bulan tidak akan kelihatan pada hari tersebut. Ini menyebabkan Sultan Mahmud Syah murka. Bagi baginda, Seri Bija Diraja lebih setia pada kakandanya di Kampar berbanding dengan dirinya. Maka Seri Bija Diraja dititahkan agar dibunuh.
            Pada suatu ketika Sultan Mahmud Syah ingin mengaji dengan Maulana Yusof tetapi tidak dilayan oleh maulana tersebut. Baginda hanya dipersilakan masuk apabila memperkenalkan dirinya sebagai “Fakir Mahmud”.

Manjong dan Kelantan Diserang

Sultan Mahmud Syah menyerang Manjong. Ini kerana pada ketika itu Manjong merupakan sebuah kerajaan besar tetapi enggan bekerjasama dengan Beruas.
            Seterusnya Sultan Mahmud Syah menitahkan Seri Maharaja menyerang Kelantan pula. Pada ketika itu Kelantan juga merupakan sebuah kerajaan besar dan diperintah oleh Sultan Menawar Syah tetapi enggan menyembah Sultan Melaka. Baginda mempunyai tiga orang puteri yang bernama Onang Kinang, Cau Pa dan Cau Pauk. Kelantan dapat ditewaskan dan ketiga-tiga orang puteri tersebut dibawa ke Melaka. Tuan Puteri Onang Kinang telah diperisterikan oleh baginda Sultan Mahmud.  


X
Tun Mutahir Dijadikan Bendahara

Sultan Menawar Syah yang memerintah Kampar telah mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda Raja Abdullah. Sementara itu di Melaka pula Bendahara Putih meninggal dunia dan digantikan oleh Tun Mutahir dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja.
            Bendahara Seri Maharaja terkenal dengan sikap adil dan pemurahnya. Beliau dikatakan salah seorang Orang Besar yang mempunyai kedudukan yang amat tinggi di kalangan pembesar. Sebagai contoh,sekiranya ada raja-raja yang datang menghadap, beliau tidak akan bangun tetapi hanya mempersilakan dengan tangan sahaja. Beliau hanya bangun sekiranya yang datang itu merupakan anak-anak raja yang bakal menggantikan takhta. Beliau juga amat mementingkan rupa dirinya. Beliau mempunyai cukup banyak pakaian dan perhiasan. Malah dalam sehari sahaja beliau akan menukar persalinan sebanyak enam atau tujuh kali.

Titisan Keturunan Bendahara Seri Maharaja

Diceritakan zuriat Bendahara Seri Maharaja. Abang beliau, Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari. Beliau pula mempunyai lima orang anak. Salah seorang daripadanya, Tun Kudu telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud Syah.

Peristiwa Patih Adam dengan Tun Minda

Pangeran Surabaya yang bernama Patih Adam telah menghadap Sultan Mahmud Syah. Pada suatu hari, ketika beliau sedang duduk bersama Seri Nara Diraja, Tun Minda, anak perempuan Seri Nara Diraja yang masih kecil berlari-lari di hadapan mereka. Seri Nara Diraja pula bergurau mengatakan bahawa Tun Minda hendak bersuamikan Patih Adam.
            Kata Seri Nara Diraja itu dipegang oleh Patih Adam. Apabila sampai masanya Patih Adam datang semula ke Melaka untuk menuntut “janji” Seri Nara Diraja. Seri Nara Diraja enggan menyerahkan anaknya dan menjelaskan bahawa beliau hanya bergurau. Patih Adam telah menyogok kesemua penunggu rumah Seri Nara Diraja dan mengikat pinggangnya dengan Tun Minda. Beliau mengugut akan membunuh Tun Minda sekiranya diserang. Seri Nara Diraja tidak mempunyai pilihan dan terpaksa mengahwinkan anaknya dengan Patih Adam.   

Meminang “Puteri Gunung Ledang”

Permaisuri Sultan Mahmud Syah telah mangkat dan Melaka tidak mempunyai raja perempuan. Sultan Mahmud Syah inginkan seorang isteri yang terlebih istimewa berbanding dengan raja-raja yang lain. Oleh itu baginda menitahkan agar meminang Puteri Gunung Ledang. Tugasan itu diserahkan kepada Laksamana, Sang Setia dan Tun Mamad.
            Puteri Gunung Ledang sanggup menerima peminangan tetapi mengenakan beberapa syarat iaitu Sultan Mahmud Syah dikehendaki membina sebuah jambatan emas dan sebuah jambatan perak merentas Melaka dan Gunung Ledang, hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan dan darah Raja Ahmad semangkuk. Baginda sultan sanggup menyediakan segala permintaan tersebut tetapi tidak sanggup mengorbankan puteranya Raja Ahmad. Oleh itu perkara tersebut terpaksa dilupakan.

Tepuk Berbalas, Alang Berjawat

Raja Inderagiri, Sutan Nara Singa merupakan menantu Marhum Melaka. Ketika berada di Melaka Anak Tuan-tuan Inderagiri selalu diperhabakan oleh Anak Tuan-tuan Melaka. Oleh itu mereka memohon kepada Sutan Nara Singa untuk pulang ke Inderagiri.
            Sementara itu Maharaja Isap yang menjadi raja di Lingga telah menghadap ke Melaka. Apabila Sutan Nara Singa mendapat tahu hal tersebut, baginda menyerang Lingga. Apabila Sutan Nara Singa menghadap Melaka, Maharaja Isap pula mengambil kesempatan dan menyerang Inderagiri. Perseteruan diantara kedua-dua buah kerajaan ini berterusan. Akhirnya Sultan Mahmud Syah dapat mengamankan mereka.

Hang Nadim Dititahkan ke Benua Keling

Sultan Mahmud Syah telah menitahkan Hang Nadim ke benua Keling untuk membeli kain. Hang Nadim bertolak dengan menaiki kapal Hang Isap. Di benua Keling tiada siapa yang dapat mengatasi lukisan corak yang diukir oleh Hang Nadim. Hang Nadim telah mengumpul kesemua kain dan bersiap untuk bertolak. Sementara itu Hang Isap yang sedang berurusan dengan seorang Saiyid telah bertengkar dengannya dan memakinya. Hang Isap telah disumpah oleh Saiyid berkenaan. Kesudahannya kapal Hang Isap karam dalam perjalanan pulang ke Melaka. Kesudahannya Hang Nadim pulang ke Melaka dengan empat helai kain sahaja. Sultan Mahmud Syah murka kerana Hang Nadim tetap menaiki kapal Hang Isap padahal dia telah disumpah oleh Saiyid.
            Laksamana Hang Tuah meninggal dunia dan digantikan oleh menantunya Laksamana Khoja Hassan.


XI
Seri Wak Raja dengan Gajah Pahang

Raja Pahang yang pertama Sultan Muhammad Syah telah mangkat dan digantikan oleh anakandanya Raja Kamal dengan gelaran Sultan Abdul Jamal Syah. Baginda telah menghantar Seri Wangsa Diraja menghadap ke Melaka untuk memaklumkan perkara tersebut. Sultan Mahmud Syah telah menghantar Seri Wak Raja ke Pahang untuk menobatkan Sultan Abdul Jamal Syah.
            Seri Wak Raja merupakan seorang yang berpengetahuan luas tentang soal gajah. Begitu juga dengan anaknya Tun Umar. Pada suatu ketika Sultan Abdul Jamal cuba memperdayakan Tun Umar dengan membawanya menaiki gajah yang curam belakangnya dan telah disapu minyak. Namun Tun Umar menggunakan kebijaksanaannya dalam mengawal pergerakan gajah itu.
            Setibanya di Melaka Seri Wak Raja menceritakan kepada Sultan Mahmud Syah akan kecantikan Tun Teja, anak Bendahara Pahang yang sudah ditunangkan dengan Sultan Pahang.

Peri Cantiknya Paras Anak Bendahara Pahang

Setelah mengetahui kecantikan Tun Teja, Sultan Mahmud Syah amat teringin untuk memilikinya. Baginda mengumumkan kesanggupan memberikan apa sahaja kepada sesiapa yang dapat membawa Tun Teja ke Melaka. Tawaran itu dianggap sebagai peluang keemasan kepada Hang Nadimuntuk menebus kegagalannya membawa kain dari benua Keling.

Tun Teja Dilarikan ke Melaka

            Di Pahang, Hang Nadim telah menyogok perempuan pelulut Tun Teja dan memberikan sejenis ubat lutut kepadanya untuk disapukan kepada Tun Teja. Perempuan tua itu telah memujuk Tun Teja dengan kata-kata bahawa hanya Raja Melaka (yang lebih besar daripada Raja Pahang) layak memperisterikannya. Tun Teja termakan dengan pujukan tersebut. Akhirnya Hang Nadim telah menyogok kesemua penunggu rumah Tun Teja dan berjaya membawanya lari.

Pertempuran di Laut Pulau Keban

Sultan Pahang yang mengetahui perkara ini amat murka. Baginda menitahkan perahu Pahang bersedia dan mengejar kapal kenaikan Hang Nadim. Kedua-dua pihak bersemuka di perairan Pulau Keban dan berperang. Namun perahu-perahu Pahang tidak dapat bertahan dengan kebolehan Hang Nadim memanah. Akhirnya Hang Nadim selamat sampai ke Melaka. Sultan Mahmud Syah mengahwini Tun Teja dan memperoleh seorang puteri yang bernama Puteri Adma Dewi.

Gajah Sultan Pahang Pula Dilarikan

Sultan Pahang tidak dapat menahan kemarahannya dengan perbuatan Hang Nadim dan kegagalan angkatan baginda menyekat Hang Nadim. Baginda membuat ketetapan hendak melanggar Melaka dengan gajahnya Ai Kening.
            Perkara itu sampai kepada pengetahuan Sultan Mahmud Syah. Kini baginda menyuruh orang mengambil gajah Sultan Pahang itu pula. Laksamana Khoja Kassan bersetuju dengan membawa utusan damai dari Melaka. Sultan Abdul Jamal amat gembira dengan perutusan tersebut. Tetapi akhirnya Laksamana Khoja Hassanmelarikan gajah baginda.

Bersheikh Diri di Lubok Pelang

Baginda Sultan Abdul Jamal amat murka dan kecewa dengan cara dirinya yang dipermain-mainkan oleh raja Melaka. Baginda turun takhta dan merajakan anakanda baginda Raja Mansur dengan gelaran Sultan Mansur Syah. Seterusnya baginda memencilkan diri di huu dan menjadi syaikh.

Rahsia Pembunuhan Raja Zainal

Sultan Mahmud Syah mempunyai seorang saudara bernama Raja Zainal. Raja Zainal mempunyai perwatakan rupa dan sikap yang tiada bandingannya pada ketika itu. Ini menyebabkan kaum wanita di Melaka tergil-gilakan baginda. Perkara itu tidak disenangi oleh Sultan Mahmud Syah. Baginda mengumumkan bahawa sesiapa yang sanggup membunuh Raja Zainal akan diakui sebagai saudaranya sendiri. Hang Berkat bersetuju untuk melakukannya. Raja Zainal ditikam dan mangkat. Sultan Mahmud Syah berpura-pura tidak tahu tentang perkara tersebut dan menjalankan istiadat pengebumian Raja Zainal mengikut adat anak-anak raja yang meninggal dunia. Baginda seterusnya menganugerahkan gelaran Sang Sura kepada Hang Berkat dan diakui sebagai saudaranya. 

Sultan Mahmud Syah Serba salah

Pada suatu ketika isteri Sang Sura berkehendak dengan Sang Guna. Sang Sura membuat ketetapan hendak membunuh Sang Guna. Sang Guna pula merupakan orang kesayangan baginda. Oleh itu baginda telah memujuk Sang Sura agar tidak melakukannya.


XII
Raja Legor Gagal  Menyerang Pahang

Raja Siam telah menitahkan Raja Legor iaitu Maharaja Dewa Sura supaya menyerang Pahang. Perkara ini kedengaran ke Pahang. Sultan Mansur Syah telah mengumpul orang-orangnya dan menyuruh membaiki kota. Khabar Raja Siam menyuruh Raja Legor menyerang Pahang juga kedengaran ke Melaka. Sultan Mahmud Syah mengarahkan Bendahara membawa hulubalang ke Pahang untuk membantunya.
            Orang-orang Melaka telah membantu orang-orang Pahang membina kota. Digambarkan betapa cekapnya orang-orang Melaka hingga dapat menyiapkan kota tersebut dalam masa tiga hari sahaja. Akhirnya Raja Legor sampai dengan angkatannya. Berkat bantuan Melaka, Pahang dapat mengalahkan Raja Legor.  

Biadab di Hadapan Bendahara

Terdapat seorang menteri Sultan Mahmud Syah yang bernama Tun Perpatih Hitam. Pada suatu hari Tun Perpatih Hitam menghadapi masalah dengan seorang dagang dan membawa perbicaraan tersebut kepada Bendahara. Sedang perbicaraan berlangsung, Tun Perpatih Hitam telah bersikap kurang sopan terhadap Bendahara dengan menguiskan tikar dengan kakinya. Beliau lantas dibunuh oleh Laksamana. Melihat keadaan tersebut, anak Tun Perpatih Hitam hendak mengamuk. Dia juga dibunuh oleh Laksamana. Apabila berita itu sampai kepada Sultan Mahmud Syah, baginda berasa gembira dan berpendapat Laksamana telah menjalankan kewajipannya dengan baik. Lalu baginda memberikan persalinan kepada Laksamana. 

Zuriat Laksamana Hang Tuah

Bahagian ini memberikan butiran terperinci zuriat Laksamana Hang Tuah.

Raja Petani dan Raja Kedah Dinobatkan

Terdapat sebuah negeri bernama Kota Mahligai yang diperintah oleh Raja Sulaiman Syah. Negeri tersebut telah diserang oleh Siam dan Raja Sulaiman Syah dibunuh. Seterusnya Kota Mahligai diperintah oleh raja Siam yang bernama Cau Seri Bangsa. Baginda juga memeluk agama Islam. Kemudian baginda telah membuka sebuah negeri baru yang dinamakannya Petani. Selepas itu baginda telah menghantar menterinya menghadap ke Melaka meminta agar dirinya dinobatkan. Sultan Mahmud Syah telah menobatkan baginda dengan gelaran Sultan Seri Ahmad Syah. Pada masa yang sama Sultan Kedah juga turut dinobatkan.

Kebesaran Melaka dan Kedatangan Peringgi

Sebuah kapal dari Goa telah tiba untuk berniaga di Melaka. Orang-orang Melaka kehairanan melihat bangsa Portugis dan memanggil mereka benggali putih. Kapitan kapal itu kemudian pulang ke Goa dan memaklumkan kepada Wizurai di Goa, Alfonso D’ Albuquerque akan kebesaran kerajaan Melaka. Seterusnya Alfonso mengarahkan Gonsalo Periera menyediakan kelengkapan dan menyerang Melaka. Walau bagaimanapun pihak Melaka di bawah pimpinan Tun Hassan Temeunggung dapat mematahkan serangan tersebut. Gonsalo pulang ke Goa dan memaklumkan kepada Alfonso bahawa selagi Bendahara Seri Maharaja masih ada, selagi itulah Melaka tidak mungkin dikalahkan. Alfonso membuat ketetapan akan menyerang Melaka semula setelah turun dari kedudukannya sebagai Wizurai. 

Makhdum Dipersenda Muridnya

Seorang maulana bernama Maulana Sadar Jahan dari Jeddah telah tiba ke Melaka. Pada suatu ketika, apabila Bendahara Seri Maharaja sedang berbincang dengan maulana, Seri Rama masuk dalam keadaan mabuk. Maulana itu telah menegurnya dan mengatakan bahawa “arak merupakan ibu segala najis”. Seri Rama pula menyindir maulana tersebut dengan mengatakan sikap tamak itulah ibu segala najis. Dengan kata lain beliau memperli maulana tersebut kerana tujuannya ke Melaka adalah untuk mengumpul harta. Selepas itu Seri Rama mengaku kepada Bendahara bahawa dia telah terlanjur dengan kata-katanya.
            Sementara itu dikisahkan bagaimana Tun Mai Ulat Bulu menaji dengan Maulana Sadar Jahan. Dia tidak dapat mengikuti perkara yang diajarkan oleh maulana tersebut. Maulana Sadar Jahan mengatakan bahawa lidah orang Melayu keras. Tun Mai Ulat Bulu pula meminta maulana tersebut menyebut beberapa perkataan bahasa Melayu yang sukar seperti “nyiru”, “kunyit” dan “kucing”. Kesemuanya tidak dapat dilafazkan dengan tepat oleh maulana. Dengan itu Tun Mai Ulat Bulu membuktikan kepada maulana itu betapa sukarnya seseorang itu menuturkan bahasa yang asing baginya.   

Bertanya Satu Masalah Agama ke Pasai

Sultan Mahmud Syah ingin menanyakan satu kemusykilan agama ke Pasai tetapi masalahnya ialah pihak Pasai mempunyai kebiasaan untuk membacakan setiap utusan “salam” sebagai “sembah”. Namun pihak Melaka dapat mengatasi masalah tersebut. Mereka tidak menghantar utusan bertulis. Sebaliknya Orang Kaya Tun Muhammad yang membawakan utusan ini telah menghafal perutusan yang dibawakannya dan menyampaikan secara lisan di hadapan Raja Pasai. Beliau juga berjaya mendapatkan jawapan untuk masalah yang dikemukakannya.


XIII
Tun Fatimah Anak Bendahara Seri Maharaja

Bendahara Seri Maharaja mempunyai seorang anak gadis bernama Tun Fatimah yang amat jelita. Bendahara bercadang untuk menikahkannya dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja. Raja di baruh yang pernah melihat kejelitaan Tun Fatimah menasihatkan bendahara agar mempersembahkan Tun Fatimah kepada baginda sultan. Ini kerana rupa parasnya yang begitu jelita hanya layak menjadi permaisuri Melaka. Lagipun Melaka ketika itu tidak mempunyai raja perempuan. Bendahara menolak dengan alasan beliau tidak layak bermenantukan baginda sultan.
            Pada hari perkahwinan tersebut, baginda sultan tergamam melihat kejelitaan Tun Fatimah. Baginda juga amat murka kerana Bendahara Seri Maharaja tidak mempersembahkan Tun Fatimah kepada baginda. Ini menyebabkan baginda berdendam terhadap bendahara.

Kekayaan Bendahara Seri Maharaja

Bendahara Seri Maharaja digambarkan sebagai seorang hartawan. Begitu kaya sekali pembesar ini sehinggakan kadang-kadang semua cucunya diberikan segenggam emas untuk dijadikan barang permainan.

Tun Hassan Temenggung Cuba Di “beli”

Seorang hartawan di Melaka yang bernama Ali Manu Nayan cuba memujuk Tun Hassan Temenggung agar singgah di kedainya sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para pembesar lain. Dia juga berjanji akan memberikan sepuluh tahil emas sekirany Tun Hassan Temenggung mengunjunginya. Tun Hassan Temenggung menengking orang kaya tersebut dan mengatakan dia tidak boleh dibeli.

Punca Mencetuskan Sekejam-kejam Hukuman

Pada suatu ketika penghulu kepada semua saudagar, Nina Sura Dewana, telah bertelingkah dengan Raja Mendaliar. Mereka berdua telah berjumpa dengan Bendahara Seri Maharaja untuk mendapatkan penyelesaian. Bendahara menangguhkan perbicaraan itu hingga ke hari berikutnya kerana sudah petang. Pada malam itu Nina Sura Dewana telah mengunjungi Bendahara dan “menghadiahkan” sepuluh kati emas kepada beliau.
            Sementara itu salah seorang ahli keluarga Nina Sura Dewana bernama Kitul yang berhutang sekati emas dengan Raja Mendaliar telah membuat fitnah dan memberitahu Raja Mendaliar bahawa Nina Sura Dewana telah berpakat dengan Bendahara untuk membunuhnya. Tujuan Kitul membuat fitnah tersebut adalah untuk melupuskan hutangnya kepada Raja Mendaliar. Raja Mendaliarpun menghalalkan hutang tersebut. Beliau seterusnya telah menyogok  Laksamana dan membuat fitnah Bendahara Paduka Raja hendak merampas takhta kerajaan. Malah katanya Bendahara telahpun menempah tikar dan kasut emas. Laksamana yang termakan dengan sogokan itu berjanji hendak mempersembahkan perkara tersebut kepada baginda sultan.  

Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara

Laksamana mmenyampaikan berita tersebut kepada baginda sultan. Sultan Mahmud Syah yang sememangnya berdendam dengan Bendahara Sei Maharaja menjatuhkan hukuman bunuh kepadanya tanpa usul periksa. Anak-anak buah Bendahara berkampung untuk menentang tetapi tidak dibenarkan oleh Bendahara. Bendahara menerima hukuman tersebut dengan tenang. Akhirnya Bendahara Seri Maharaja, Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung dan Tun Ali dibunuh. Tun Fatimah diambil oleh baginda menjadi permaisuri. Apabila semua harta Bendahara diperiksa jelaslah bahawa tuduhan ke atas beliau merupakan fitnah semata-mata. Baginda menyesali tindakan terburu-burunya dan menyelidiki asal usul fitnah itu. Kesudahannya Kitul dan Raja Mendaliar beserta kesemua anak isterinya dibunuh.   

Bendahara Paduka Tuan (Bendahara Tepok)

Sultan Mahmud Syah hendak menjadikan Paduka Tuan, anak Bendahara Paduka Raja sebagai bendahara. Sebenarnya Paduka Tuan telah tua dan kakinya pula telah tepo. Baginda juga tidak dapat berjalan. Paduka Tuan menolak jawatan tersebut tetapi dipujuk oleh baginda. Bendahara Paduka Tuan juga dipanggil Bendahara Lubuk Batu.

Tun Biajid Sasar

Bahagian ini mengisahkan tentang Tun Biajid, anak Bendahara Tepok. Tun Biajid mempunyai sikap yang kurang disenangi oleh orang ramai. Beliau suka mengambil apa sahaja yang diingininya tanpa mengira tuannya. Beliau dikatakan tidak dapat dikawal walaupun oleh Bendahara sendiri.

Zuriat Bendahara Lubok Batu

pada bahagian ini diberikan penerangan terperinci tentang zuriat Bendahara Lubuk Batu.

Sultan Mahmud Membuang Kerajaan

Walaupun kini Tun Fatimah menjadi permaisuri sultan namun dia tiak apat melupakan ayahnya yang telah dibunuh oleh baginda. Dia dikatakan tidak pernah tersenyum atau menunjukkan tanda-tanda gembira. Sultan Mahmud Syah pula terus menyesal kerana keterburuan baginda.
            Akhirnya baginda telah membuang kerajaan dan merajakan putera baginda Raja Ahmad dengan gelaran Sultan Ahmad Syah. Baginda seterusnya meninggalkan bandar Melaka dan menetap di Hulu Melaka.
            Sementara itu sejak perkahwinannya dengan Sultan Mahmud Syah, Tun Fatimah telah beberapa kali mengandung. Namun, kesemua kandungannya digugurkan. Apabila dipersoalkan oleh baginda, Tun Fatimah menjawab tidak ada gunanya dia berputera kerana sudah ada orang yang bakal menaiki takhta kerajaan. Sultan Mahmud Syah meminta Tun Fatimah tidak menggugurkan kandungannya lagi dan berjanji akan merajakan anak yang bakal lahir. Akhirnya Tun Fatimah melahirkan seorang puteri.


XIV
Di Saat Akhir Kesultanan Melayu Melaka

Alfonso D’ Albuquerque telah turun daripada jawatan wizurainya di Goa. Beliau telah meminta armada daripada Raja Portugal untuk menyerang Melaka. Angkatan ini sampai ke Melaka dan telah ditewaskan oleh Sultan Mahmud Syah. Pada sebelah malamnya, orang Melaka menghabiskan masa membaca Hikayat Muhammad Hanafiah. Melaka akhirnya dapat ditewaskan oleh Portugis.

Sultan Mahmud, Sultan Ahmad Berlepas Diri

Apabila Melaka tewas, Sultan Mahmud Syah dan anakanda baginda Sultan Ahmad Syah meninggalkan Melaka. Sultan Ahmad Syah berundur ke hulu Muar dan menetap di Pagoh. Sementara itu Sultan Mahmud Syah pula berundur dan menetap di Batu Hampar. Peringgi menyusuli rombongan ini dan menyerang Pagoh. Kini kedua-dua orang anak beranak ini berundur ke Pahang. Dari situ mereka berangkat ke Johor dan terus ke Bintan. \
            Sultan Ahmad Syah, walaupun merupakan seorang pemerintah yang baik namun mempunyai satu kelemahan iaitu baginda tidak menghormati para pembesar. Akhirnya baginda dikerjakan secara senyap oleh Sultan Mahmud Syah.

Melantik Orang Besar-besar Kerajaan

Setelah Sultan Ahmad Syah mangkat, Sultan Mahmud Syah meletakkan anakanda baginda Raja Muzaffar Syah di atas kerajaan. Sultan Mahmud Syah seterusnya membuat negeri di Kopak.

Anak Raja Bakal Kerajaan

Di Kopak, Tun Fatimah telah melahirkan seorang putera dan dinamakan Raja Ali, timang-timangannya Raja Kecil Besar.setelah empat puluh hari, Raja Ali ditabalkan bergelar Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah. Baginda juga dikenali dengan nama Sultan Muda.

Tun Ali Hati Lebih Rela Mati

Setelah Sultan Ahmad mangkat, kesemua pengikutnya kini kembali ke pangkuan Sultan Mahmud Syah kecuali Tun Ali. Tun Ali lebih rela mati daripada bertuankan orang lain. Dia mendesak agar dirinya dibunuh. Akhirnya Sultan Mahmud Syah terpaksa menitahkan agar dia dibunuh.

Raja Abdullah Ditawan Peringgi

Raja Kampar, Raja Abdullah yang mendapat tahu tentang kekalahan Melaka di tangan Peringgi menaruh harapan untuk memperoleh kerjasama Peringgi bagi mendapatkan semua tanah jajahan Melaka. Walaupun ditegah oleh para pembesar tetapi baginda tetap berkeras. Baginda diminta hadir seorang diri ke kapal Peringgi oleh kapitannya. Kapitan tersebut berpura-pura menghulurkan persahabatan dan setelah baginda berada di atas kapal, kapitan membongkar sauh dan melarikan baginda ke Goa. 

Angkatan Peringgi Menyerang Bintan

Apabila mengetahui bahawa Sultan Mahmud Syah telah menetap di Bintan, Peringgi pun menyediakan kelengkapan. Khabar ini sampai kepada Sultan Mahmud Syah dan baginda mengerahkan hulubalangnya bersedia. Panglima pada ketika itu, Temenggung Seri Udani pula berlengah-lengah kerana sibuk mengira hartanya. Sebenarnya beliau sengaja berbuat demikian kerana berkecil hati kerana tidak diberikan pengurniaan yang sepatutnya oleh baginda sultan.

Pustaka Dari Terengganu Seri Udani

Seri Udani menyerahkan senarai hartanya kepada sultan sebelum bertolak memerangi Peringgi. Daripada senarai itu jelaslah bahawa beliau merupakan seorang yang amat miskin. Seri Udani mati dalam pertempuran itu dan Peringgi menyerang Kopak.

Membalas Kasih Raja

Sultan Mahmud Syah hendak berangkat ke medan perang tetapi tidak dibenarkan oleh Seri Nara Diraja. Akhirnya baginda terpaksa berundur sekali lagi. Dikisahkan juga betapa Seri Wak Diraja sanggup mencuri nasi orang lain untuk santapan baginda sultan dan keluarganya.

Dari Bintan Pindah ke Kampar

Baginda tiba di Kampar dan dialu-alukan oleh rakyatnya. Baginda Sultan juga diberitahu tentang perihal Raja Abdullah yang telah dilarikan oleh Peringgi. Sultan Mahmud Syah tinggal di istana Raja Abdullah. Ketika di Kamparlah Raja Perempuan mangkat. 

Masalah Tiada Mempunyai Putera Lelaki

Sultan Mansur Syah, raja Pahang tidak mempunyai waris lelaki. Pada suatu ketika Raja Terengganu, Raja Muhammad telah menghadap ke Pahang. Sultan Mansur Syah telah mengahwinkan baginda dengan saudara dua pupunya. Hasil perkahwinan ini lahirlah seorang putera yang dijadikan anak angkat oleh Sultan Mansur Syah. Putera ini dinamakan baginda Raja Ahmad dan dikatakan mempunyai sifat dan pekerti yang amat terpuji. Sultan Mansur Syah juga telah mewasiatkan kepada Orang-orang Besar agar menjadikan Raja Ahmad sebagai pengganti baginda kelak.


XV
Sultan Mahmud Syah Mangkat di Kampar

Ketika berada di Kampar, Sultan Mahmud Syah gering. Baginda telah mewasiatkan kepada para pembesar agar memelihara anakandanya Sultan Muda. Kepada puteranya pula baginda mengingatkan agar banyak bersabar dan adil dalam menjalankan pemerintahan. Baginda juga mengingatkan puteranya agar sentiasa memeriksa dengan teliti sebarang perkara yang dipersembahkan kepadanya sebelum bertindak.
            Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah, Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah (Sultan Muda) membuat keputusan untuk meninggalkan Kampar dan berangkat ke Pahang.

Bertapak Semula di Bumi Semenanjung

Di Pahang baginda amat dimuliakan oleh Sultan Mansur Syah dan diberikan sebuah istana peribadi. Baginda juga telah dikahwinkan oleh Sultan Pahang dengan puteri baginda Raja Kesuma Dewi. Selepas perkahwinan itu Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah memohon untuk membawa permaisurinya ke Johor.

Berbuat Negeri di Kuala Johor

Apabila sampai di Johor, baginda telah membuka ngeri dan bertakhta di Johor. Baginda juga memperoleh dua orang anak bernama Raja Muzaffar dan Raja Fatimah.

Surat Meminang dari Pahang

Sultan Mansur Syah, raja Pahang telah menghantar utusan kepad Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah menyatakan hasrat hendak meminang Raja Fatimah bagi cucunda baginda Raja Omar baginda Sultan bermuafakat dengan para pembesar negeri dan bersetuju untuk menerima peminangan tersebut.

Hasrat Sultan Pahang Tercapai

Sultan Mansur Syah berangkat tiba ke Johor dengan membawa cucunda baginda Raja Omar. Baginda dianugerahkan sebuah istana khas oleh Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah.

Istiadat Perkahwinan Diraja Johor-Pahang

Setelah berjaga-jaga selama empat puluh hari akhirnya perkahwinan diraja dilangsungkan. Selepas itu Sultan Mansur Syah berangkat pulang ke Pahang meninggalkan pasangan pengantin baru di Johor.

Selepas Mangkat Sultan Alau’d-Din

Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda Raja Muzaffar dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Ketika menaiki takhta baginda hanya berumur sembilan belas tahun. Sultan Muzaffar Syah membuka negeri baru di Seluyud dan semua rakyat baginda berpindah ke negeri baru itu.
            Sementara itu Raja Omar juga mempunyai seorang isteri di Pahang. Melalui perkahwinan tersebut baginda memperoleh seorang anak lelaki bernama Raja Mangsur. Selepas seketika Raja Fatimah turut hamil. Pada ketika itu Raja Omar mula membenci bonda Raja Mangsur lalu menyisihkannya. Bonda Raja Mangsur seterusnya dipelihara oleh Seri Nara Diraja.

Nikah Dalam Sunyi

Sementara itu Sultan Muzaffar Syah pula jatuh hati pada bonda Raja Mangsur. Baginda seterusnya menikahi bonda Raja Mangsur secara senyap-senyap. Hasil pernikahan tersebut baginda memperoleh seorang putera yang dinamakan Raja Abdullah. Namun begitu segala rahsia itu hanya diketahui oleh bendahara sahaja. Raja Omar pula menganggap Raja Abdullah sebagai zuriatnya sendiri. Seterusnya Raja Fatimah pula melahirkan seorang putera yang dinamakan Raja Abdul Jalil.

Wasiat Sultan Muzaffar Syah

Sultan Muzaffar Syah gering dan mewasiatkan agar Raja Abdul Jalil ditabalkan sebagai pengganti baginda. Wasiat tersebut dilaksanakan selepas kemangkatan baginda dan Raja Abdul Jalil menaiki takhta dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah. Memandangkan baginda masih kecil, jawatan tersebut dipangku oleh Bendahara.sultan Abdul Jalil amat mengasihi Raja Abdullah.

Wasiat Sultan Abdul Jalil Diketepikan

Ketika Sultan Abdul Jalil berusia Sembilan tahun baginda gering dan mewasiatkan agar takhta diserahkan kepada Raja Abdullah setelah kemangkatan baginda. Namun begitu setelah baginda mangkat, bonda baginda Raja Fatimah enggan melaksanakan wasiat tersebut. Raja Fatimah inginkan suaminya Raja Omar ditabalkan. Sekiranya Bendahara enggan berbuat demikian, Raja Fatimah mengugut akan meninggalkan negeri tersebut.
            Akhirnya setelah bermuafakat dengan para pembesar, Bendahara menabalkan Raja Omar, bergelar Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri’ayat Syah.

Tun Seri Lanang Jadi Bendahara

Bendahara Paduka Raja meninggal dunia dan digantika oleh Tun Sei Lanang. Sementara itu Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri’ayat Syah telah berpindah dari Seluyud dan membuat negeri baru di Tanah Putih. Namun tanah tersebut didapati tidak sesuai dan membawa pelbagai malapetaka. Akhirnya baginda membuka negeri baru di hulu Sungai Damar bernama Makam Tauhid.
            Negeri Makam Tauhid telah diserang sebanyak dua kali oleh Peringgi tetapi tidak dapat ditawan. Raja Fatimah mangkat dan disemadikan di Seluyud. Selang setahun kemudian Sultan Ala Jalla Abdul Jalil juga mangkat.
            Bendahara hendak merajakan Raja Abdullah tetapi ditolak oleh baginda. Baginda meminta agar takhta diserahkan kepada Raja Mangsur. Raja Mangsur menaiki takhta dengan gelaran Sultan Alau’d-Din Riayat Syah. Namun baginda bukanlah seorang pemerintah yang baik. Ini menyebabkan kebanyakan urusan pentadbiran diperhatikan oleh Raja Abdullah sendiri. Makam Tauhid juga telah beberapa kali menjadi sasaran serangan Peringgi dan Acheh tetapi tidak dapat dikalahkan. Selepas itu Sultan Alau’d-Din Riayat Syah telah membuka negeri baru di Pasar Raja.


TEMAN

Assalamualaikum, Kami daripada Kumpulan Warisan yang terdiri daripada 2 orang dan telah melengkapkan tugasan kumpulan ini.           ...