I
Menjunjung Titah Raja
Dalam satu
majlis yang dihadiri oleh para pembesar, Yang Dipertuan di Hilir, Sultan
Abdullah Ma’ayah Syah Ibni Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah mengungkit soal
kewujudan sebuah “Hikayat Melayu” di Goa (Sulawesi). Baginda mengesyorkan agar
hikayat tersebut dibaiki agar menjadi pedoman dan panduan kepada generasi akan
datang.
Permintaan baginda seterusnya
diterima sebagai satu kewajipan oleh Tun Muhammad, nama timangan Tun Seri
Lanang yang bergelar Paduka Raja. Beliau seterusnya bersetuju mengusahakannya
dan menamakan hikayat tersebut Sulalatus Salatin atau membawa maksud
“Pertuturan Segala Raja-raja”.
Penaklukan Iskandar Zul-Karnain
Raja Iskandar
merupakan anak raja Darab yang berbangsa Rom. Baginda berasal dari negeri
Mukadunia (Mecedonia). Baginda telah mula mengembara untuk melihat matahari
terbit (ke benua Timur). Seterusnya baginda sampai ke negeri Hindi yang
diperintah oleh Raja Kida Hindi dan menawan negeri tersebut. Raja Kida Hindi
yang ditawan diminta oleh Raja Iskandar memeluk agama Islam.
Raja Kida Hindi mempunyai seorang
puteri yang amat jelita bernama Puteri Syahrul-Bariyah. Oleh kerana tidak ada
seorang pun yang layak menjadi suami puteri ini, Raja Kida Hindi telah
menyampaikan hajatnya untuk bermenantukan Raja Iskandar. Raja Iskandar
bersetuju dan telah dinikahkan oleh Nabi Khidir.
Perkahwinan Puteri Syahrul-Bariyah
Nabi Khidir
menikahkan Raja Iskandar dengan Puteri Syahrul-Bariyah dengan mas kahwin
sebanyak tiga ratus ribu dinar. Perkahwinan yang gilang-gemilang ini telah
dihadiri ramai para pemerintah dan pembesar yang menaburkan emas, perak dan
permata di kaki Raja Iskandar. Kesemua hadiah ini telah disedekahkan oleh Raja
Iskandar kepada fakir miskin.
Selepas sebelas hari, Raja Iskandar
berangkat bersama permaisurinya untuk melihat matahari terbit. Setelah mencapai
hajat tersebut baginda kembali ke negeri Kida Hindi. Raja Kida Hindi yang amat
merindui puterinya meminta Raja Iskandar meninggalkan anakandanya di Hindi.
Raja Iskandar bersetuju dan meneruskan pengembaraan dan penaklukannya.
Zuriat Iskandar Zul-Karnain
Sepeninggalan
Raja Iskandar, Tuan Puteri Syahrul-bariyah mengandung dan melahirkan seorang
anak lelaki yang dinamakan Aristun Syah. Putera ini mempunyai paras rupa yang
amat gemilang dan mirip ayahandanya Raja Iskandar. Baginda Aristun Syah
berkahwin dengan anak raja Turkistan. Baginda seterusnya menggantikan Raja Kida
Hindi dan memerintah selama tiga ratus lima puluh tahun.
Kesemua zuriat baginda Aristun Syah
menjadi raja-raja besar. Salah seorang daripada keturunan ini ialah Raja Tersi
Berderas. Baginda berkahwin dengan anak Raja Sulan. Raja Sulan yang memerintah
negeri Amdan Negara merupakan seorang raja besar dan dikatakan raja kepada
segala raja di Hindi dan Sindi. Hasil perkahwinan ini lahirlah tiga orang
putera yang bernama Raja Hiran, Raja Suran dan Raja Fandin.
Perjalanan Hendak Menakluk Negeri China
Apabila Raja
Sulan yang memerintah Amdan Negara mangkat, takhta baginda diambil alih oleh
cucundanya Raja Suran. Baginda merupakan seorang penakluk yang handal dan telah
menawan kesemua negeri kecuali negeri China. Baginda seterusnya berangkat untuk
menyerang negeri China. Dalam perjalanan tersebut, baginda telah menawan negeri
Gangga Negara yang diperintah oleh Raja Gangga Syah Johan dan negeri Langgiu
yang diperintah oleh Raja Chulan.
Khabar ini sampai ke negeri China.
Maharaja China telah menghantar sebuah pilau yang berisi jarum seni yang
berkarat, ditanam dengan pokok buah-buahan dan beberapa orang tua yang telah
tanggal giginya. Rombongan ini bertemu dengan angkatan Raja Suran di Temasik.
Mereka seterusnya menceritakan bahawa ketika bertolak dari negeri China, mereka
masih muda dan hanya berumur dua belas tahun. Mereka memberikan gambaran
seolah-olah negeri China terletak begitu jauh dari situ sehinggakan kini mereka
telah tua dan benih yang ditanam oleh mereka telah menjadi pohon dan berbuah
serta besi-besi sebesar lengan yang mereka bawakan telah haus menjadi jarum
seni. Raja Suran yang terpedaya dengan cerita tersebut telah membatalkan
hasratnya untuk menyerang negeri China dan berpatah balik.
Hendak Mengetahui Isi Laut
Setelah menawan
isi daratan, kini Raja Suran ingin mengetahui isi laut pula. Baginda
memerintahkan agar diperbuat sebuah peti kaca yang berkunci dari dalam dan
menghulurkan baginda ke dalam laut. Peti ini jatuh ke bumi di dasar laut yang
bernama Dika. Bumi itu didiami oleh suku kaum yang dipanggil Bu Sum. Mereka ini
sebahagiannya terdiri daripada umat Islam sementara sebahagian lagi merupakan golongan kafir. Suku kaum ini
diperintah oleh Raja Aktabu’l-Ard.
Zuriat Raja Suran
Raja Suran
seterusnya berkahwin dengan puteri Raja Aktabu’l Ard yang bernama Tuan Puteri
Mahtabu’l-Bahri. Baginda menetap di Dika selama tiga tahun dan melahirkan tiga
orang putera. Pada masa yang sama Raja Suran berasa amat sugul memikirkan nasib
putera-puteranya yang terpaksa tinggal di bumi terpencil itu. Oleh itu baginda
telah meminta Asmaghiah Peri (Jin Islam) membuatkan tiga buah mahkota yang
mempunyai tanda kebesaran Raja Iskandar Zul-Karnain untuk putera-putera
baginda. Seterusnya baginda juga meminta Raja Aktabu’l-Ard berjanji untuk
menghantar putera-puteranya ke darat setelah mereka dewasa. Selepas itu,
baginda Raja Suran kembali ke darat dan membina negeri Bijaya Negara di benua
Keling.
II
Kisah Bermula di Bukit Si Guntang
Terdapat sebuah
negeri di tanah Andalas yang bernama Palembang. Negeri tersebut diperintah oleh
Raja Demang Lebar Daun. Di situ juga terdapat sebuah bukit yang bernama Bukit
Si Guntang. Bukit tersebut dihuni oleh dua orang balu bernama Wan Empuk dan Wan
Malini yang menanam padi huma.
Pada masa yang sama ketiga-tiga
orang putera Raja Suran di Dika telah besar. Maka nenda mereka Raja
Aktabu’l-Ard menceritakan asal-usul mereka dan menunaikan janji baginda kepada
Raja Suran dengan menghantar mereka ke darat. Ketiga-tiga orang putera ini
bernama Nila Pahlawan, Krisyna Pandita dan Nila Utama. Mereka berangkat dengan
seekor lembu putih dan terus sampai ke Bukit Si Guntang pada suatu malam.
Kedatangan mereka menerbitkan
pelbagai fenomena ajaib. Bukit itu bernyala bagaikan matahari terbit. Pada
keesokan harinya padi di bukit itu berbuahkan emas, berdaunkan perak dan
berbatangkan suasa. Malah tanah bukit itu sendiri menjadi keemas-emasan. Mereka
bertiga seterusnya memperkenalkan diri dan asal usul mereka. Mahkota pakaian
mereka menjadi bukti warisan mereka. Mereka bertiga seterusnya dipelihara oleh
Wan Empuk dan Wan Malini.
Berita kedatangan anak cucu Raja
Iskandar Zul-Karnain ke Bukit Si Guntang akhirnya sampai ke pengetahuan Demang
Lebar Daun. Baginda seterusnya membawa mereka ke negeri Palembang. Nila
Pahlawan digelarkan Sang Si Perba. Lembu putih yang dinaiki putera-putera ini
memuntahkan buih. Daripada buih ini muncul seorang lelaki yang dinamakan Batala.
Anak cucu manusia inilah yang menjadi pewaris pembaca ciri.
Asal Raja Minangkabau dan Tanjung Pura
Patih Suatang,
Raja Minangkabau pula telah membawa Sang Si Perba dan merajakan baginda di
Minangkabau. Sementara itu Raja Tanjung Pura telah mangkat. Rakyat meminta
kepada Demang Lebar Daun supaya salah seorang daripada putera tersebut
dirajakan di negeri mereka. Maka Krisyna Pandita dihantar menjadi raja di
Tanjung Pura. Kini hanya tinggal Nila Utama bersama Demang Lebar Daun. Baginda
kini memegang kerajaan Palembang dengan gelaran Seri Teri Buana.
Satu masalah besar dengan Seri Teri
Buana ialah kesemua perempuan ynag dikahwininya menjadi kedal belaka. Habis
semua puteri dalam negeri Palembang yang ditiduri baginda menjadi kedal. Kini
baginda ingin mengahwini Puteri Demang Lebar Daun pula.
Bersumpah Berteguh Janji
Demang Lebar
Daun tidak pula menolak permintaan tersebut. Satu permintaannya ialah agar
puterinya tidak dihalau sekiranya telah menjadi kedal. Sekurang-kurangnya
biarlah dia menjadi hamba di istana.
Seterusnya Demang Lebar Daun dan
Seri Teri Buana mengikat satu lagi perjanjian atau waad (wadat). Mengikut
perjanjian ini, Demang Lebar Daun meminta agar sebarang hamba Melayu yang
berdosa kepada baginda tidak dikeji, tidak dihina atau dimalukan. Sekiranya
kena pada hukumannya hamba itu boleh dibunuh tetapi dia tidak harus diaibkan
(dimalukan). Seri Teri Buana bersetuju tetapi mengenakan satu syarat lain bagi
pihak pemerintah. Syarat baginda ialah seorang hamba Melayu tidak harus
sekali-kali menderhaka kepada para pemerintah tidak kira betapa zalim atau
kejam sekalipun pemerintah tersebut. Perjanjian tersebut dipersetujui. Mereka
juga mempersetujui bahawa sekiranya ada hamba Melayu yang menderhaka maka akan
diterbalikkan Allah akan bumbung rumahnya ke bawah dan kakinya pula ke atas
manakala raja yang melanggar perjanjian ini pula akan dibinasakan Allah negeri
dan kerajaannya.
Setelah mengikat perjanjiann
tersebut maka Seri Teri Buana berkahwin dengan anakanda Demang Lebar Daun yang
bernama Radin Ratna Chendera Puri. Anehnya Tuan Puteri ini tidak pula menjadi
kedal. Ini kerana keturunan Demang Lebar Daun sendiri pun berasal daripada
keturunan Raja Sulan.
Membunuh Ular Sakti Mona
Sementara itu
Sang Si Perba yang memerintah Minangkabau telah diminta agar membantu membunuh
seekor ular yang menyebabkan rakyat menderita. Ular “Sakti Mona” ini tidak
dapat dibunuh oleh orang biasa. Baginda memberikan curiknya (sejenis senjata)
yang bernama “Si Mandang Kini”. Ular itu dapat dibunuh dengan menggunakan curik
tersebut.
Mencari Tempat Baru Untuk Berbuat Negeri
Seri Teri Buana
yang memerintah Palembang ingin mencari tempat baru untuk dijadikan kerajaan.
Baginda meminta izin Demang Lebar Daun. Demang Lebar Daun turut serta kerana
tidak sanggup berpisah dengan baginda.
Dalam satu kejadian ketika sedang
berlayar, rombongan mereka kehabisan air tawar. Namun Seri Teri Buana dapat
menukar air masin menjadi air tawar dengan mencelupkan ibu jari kakinya ke
dalam laut.
Pada masa itu, Bintan diperintah
oleh seorang permaisuri bernama Wan Seri Beni. Baginda menjalin persahabatan
dengan Seri Teri Buana.
Jadi Anak Angkat Raja Perempuan Bintan
Wan Seri Beni
tidak mempunyai zuriat. Oleh itu baginda telah menyerahkan negeri dan takhta
kepada Sert Teri Buana. Sementara itu Demang Lebar Daun pula dijadikan
Bendahara Bintan.
Seri Teri Buana seterusnya meminta
izin bonda baginda (Permaisuri Wan Seri Beni) untuk bermain-main di Bengkilau.
Pada mulanya baginda tidak membenarkan tetapi kerana terlalu didesak oleh Seri
Teri Buana maka baginda benarkan.
Temasek Dijumpai
Dalam perjalanan
ke Temasek, rombongan tersebut telah diserang ribut yang amat besar. Air laut
melimpah masuk ke dalam kapal. Tidak kira betapa ditimba sekalipun, paras air
terus naik. Keadaan tidak berubah walaupun kesemua barangan di dalam kapal itu
dicampak keluar. Ribut itu hanya reda setelah Seri Teri Buana meletakkan
mahkota baginda di laut.
Ketikak berjalan-jalan di Temasek,
baginda berjumpa dengan seekor binatang yang sangat perkasa. Setelah mengetahui
nama haiwan itu ialah singa, maka tempat itu dinamakan Singapura. Baginda
seterusnya mengutus surat kepada Wan Seri Beni meminta kelengkapan untuk
menetap di negeri baru itu. Akhirnya Seri Teri Buana ditabalkan di Singapura
oleh Wan Seri Beni.
III
Puteri Nila Pancadi ke Singapura
Terdapat seorang
raja di benua Keling yang bernama Adi Rama Raja Mudaliar. Baginda juga
merupakan keturunan Raja Suran dan memerintah Bijaya Negara. Baginda mempunyai
seorang puteri yang bernama Tuan Puteri Nila Pancadi.
Seri Teri Buana mempunyai dua orang
anak lelaki. Seorang bernama Raja Kecil Besar manakala seorang lagi bernama
Raja Kecil Muda. Raja Kecil Besar telah dikahwinkan dengan Tuan Puteri Nila
Pancadi.
Raja dan Bendahara Adik-Beradik
Seri Teri Buana
telah mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda Raja Kecil Besar bergelar
Paduka Seri Pikrama Wira. Adinda baginda Raja Kecil Muda telah menjadi
Bendahara bergelar Tun Perpatih Pemuka Berjajar. Di bawah pemerintahan mereka
Singapura terus maju.
Peristiwa Tatal dan Menarah Kepala Budak
Ketika itu
Majapahit diperintah oleh seorang Betara yang bernama Raden Inu Merta Wangsa.
Pada masa itu Majapahit merupakan sebuah kerajaan besar dan seluruh tanah Jawa
dan negeri-negeri lain tunduk kepadanya. Namun begitu, Singapura pula tidak
menyembah baginda. Oleh itu, baginda menghantar utusan ke Singapura.
Bingkisannya ialah sekeping tatal sepanjang tujuh depa yang nipis bagaikan
kertas dan digulung seperti subang.
Paduka Seri Pikrama Wira sedar akan
maksud tersirat yang terkandung di dalam bingkisan tersebut. Ia bermaksud
Betara Majapahit mempersoalkan kejantanan baginda. Baginda seterusnya
menghantar sebilah beliung yang telah digunakan untuk menarah kepala seorang
anak kecil kepada Betara Majapahit. Ini menimbulkan kemarahan Betara kerana
beliau sedar maksud tersiratnya ialah Raja Singapura hendak menarah kepalanya.
Betara Majapahit pun menghantar kelengkapan perang dan menyerang Singapura.
Singapura dapat mematahkan serangan tersebut dan angkatan Majapahit berundur.
Seri Pikrama Wira mangkat dan
digantikan oleh anakanda baginda Raja Muda dengan gelaran Seri Rakna Wikrama.
Badang Beroleh Gagah
Badang merupakan
seorang hamba yang tinggal di Sayung dan mengerjakan huma untuk tuannya. Setiap
kali dia menahan lukah, dia mendapati semua ikannya telah dimakan dan hanya
tinggal tulangnya dan sisiknya. Akhirnya dia mengintip dan mendapati pencurinya
ialah hantu yang amat menggerunkan. Badang telah menangkap hantu tersebut dan
mengugut untuk membunuhnya. Hantu itu meminta ampun dan berjanji akan
menunaikan sebarang permintaan Badang. Badang meminta kekuatan yang istimewa.
Hantu tersebut meminta Badang memakan muntahnya. Badang seterusnya menjadi
seorang yang gagah perkasa sehingga boleh mencabut pokok-pokok besar. Sejak itu
dia digelar “Orang Kaya Sayung”. Dia seterusnya diambil sebagai hamba oleh Seri
Rakna Wikrama.
Kegagahan Badang Diuji
Berita kegagahan
Badang tersebar luas dan sampai kepada Raja Benua Keling. Baginda menghantar
seorang pahlawannya yang bernama Nadi Bija Niakra beserta tujuh buah kapal
untuk menguji kekuatan dengan Badang. Sekiranya kalah diminta menyerahkan isi
kesemua tujuh buah kapal tersebut manakala sekiranya menang diminta agar
menuntut harta yang sebanyak itu juga. Badang berjaya mengalahkan pahlawan
tersebut.
Seterusnya Raja Perlak juga mpunyai
seorang pahlawan gagah bernama Benderang. Namun sebelum pertarungan pada
keesokan harinya, Badang meminta keizinan untuk mencuba kekuatan Benderang.
Dalam satu majlis keramaian, Badang telah menindih peha Benderang. Benderang
tidak dapat mengangkat tindihan tersebut. Seterusnya utusan Perlak yang
menyedari kekuatan Benderan tidak dapat menandingi Badang memberikan alasan
pertarungan antara mereka hanya mencacatkan hubungan antara kedua-dua buah
negara dan meminta diri. Badang meninggal dunia dan disemadikan di Buru.
Seri Rakna Wikrama mangkat dan
digantikan oleh anakanda baginda bernama Damia Raja yang bergelar Paduka Seri
Maharaja. Paduka Seri Maharaja memperoleh seorang putera bergelar Raja Iskandar
Syah.
Mula Kedatangan Islam ke Alam Melayu
Terdapat dua
orang raja bersaudara di Pasai. Raja yang tua bernama Merah Caga manakala yang
muda bernama Merah Silu. Merah Caga mendapat tahu bahawa Merah Silu makan
gelang-gelang. Ini menyebabkan Merah Caga hendak membunuh adiknya Merah Silu.
Maka Merah Silu melarikan diri ke Rimba Jurun.
Pada suatu hari ketika Merah Silu
sedang berburu, anjingnya Si Pasai menyalak pada seekor semut sebesar kucing.
Maka tempat itu dinamakan Samundra.
Seterusnya baginda Rasullah (SAW)
telah mengingatkan para sahabat baginda bahawa pada akhir zaman akan terdapat
sebuah negeri di Timur yang bernama Semundra. Baginda mengingatkan para sahabat
agar pergi ke negeri berkenaan dan menyebarkan syiar Islam di situ kerana akan
lahir ramai wali di tempat itu.
Sebagaimana yang dikatakan oleh
baginda Rasulullah (SAW), apabila terdengar nama Semundra, sebuah kapal dengan
nakhodanya, Sheikh Ismail telah bertolak ke Timur. Dalam perjalanan ke
Semundra, kapal tersebut telah singgah di Fansuri. Kesemua rakyatnya memeluk
agama Islam. Namun begitu apabila Sheikh Ismail turun dengan al-Quran, tiada
siapa yang boleh membacanya. Perkara yang sama jugalah berlaku di Lamiri dan
Haru.
Akhirnya kapal tersebut sampai ke
Semundra. Semua orang di situ memeluk agama Islam. Pada malam tersebut Merah
Silu bermimpi bertemu dengan Rasulullah (SAW). Baginda telah meludahi mulut
Merah Silu. Apabila bangun daripada tidur, Merah Silu mendapati badannya berbau
narawastu. Dia juga telah menghafal al-Quran. Seterusnya Merah Silu dirajakan
oleh Sheikh Ismail dengan gelaran Sultan Maliku’s-Salleh.
Baginda memperoleh dua orang putera
yang dinamakan Maliku’t-Tahir dan Maliku’l-Mansur. Sultan Maliku’s-Salleh telah
membuka negeri Pasai dan merajakan anaknya Maliku’t-Tahir. Sebelum mangkat,
baginda telah merajakan Sultan Maliku’l-Mansur di Semundra.
Raja Pasai Ditipu dan Ditawan
Kebesaran
kerajaan Pasai sampai ke pengetahuan Raja Syahru’n Nuwi. Baginda settterusnya
menghantar hulubalangnya yang bernama Awi Dicu untuk menangkap Raja Pasai. Awi
Dicu berjaya menangkap Sultan Maliku’t-Tahir dan membawanya kepada Raja
Syahru’n Nuwi. Sultan Maliku’t-Tahir dijadikan gembala ayam.
Bertolak daripada kejadian itu, Sidi
Ali Ghiathu’d-Din telah mencari jalan untuk membebaskan baginda. Beliau telah
membawa sebuah kapal yang sarat dengan dagangan Arab dan memberikan pelbagai
hadiah kepada Raja Syahru’n Nuwi. Sebagai balasanya beliau meminta Sultan
Maliku’t-Tahir. Alasannya ialah kerana mereka sama-sama Islam.
Peristiwa Kerana Seorang Dayang
Pada suatu
ketika Sultan Maliku’l-Mansur dari Semundra telah melawat Pasai. Baginda telah
memasuki istana Sultan Maliku’t-Tahir dan berkenan dengan seorang dayangnya.
Maka dibawanya dayang itu pulang ke Semundra.
Sultan Maliku’t-Tahir mendendami
saudaranya kerana isu tersebut. Pada suatu hari baginda telah menjemput
saudaranya ke majlis berkhatan anakandanya Sultan Ahmad. Dalam majlis tersebut,
Sultan Maliku’l-Mansur telah ditangkap bersama menterinya Sidi Asma
Yaumi’d-Din. Menteri tersebut tidak mahu berpisah dengan tuannya dan
kesudahannya dia dibunuh. Sementara itu Sultan Maliku’l-Mansur pula telah
dibuang ke Manjung.
Setelah tiga tahun berlalu, akhirnya
Sultan Maliku’t-Tahir sedar akan keterlanjuran perbuatannya menganiayai saudara
sendiri semata-mata kerana seorang dayang. Lalu baginda meminta orang menjemput
semula Sultan Maliku’l-Mansur. Ketika Sultan Maliku’l-Mansur melalui makam Sidi
Asma Yaumi’d-Din, kedengaran seruan dari dalam makam agar baginda tinggal di
situ. Baginda berbaring-baring di makam itu dan mangkat di tempat itu. Sultan
Maliku’t-Tahir mangkat dan digantikan oleh putera baginda Sultan Ahmad.
IV
Singapura Dilanggar Todak
Terdapat seorang
hamba Allah dari Pasai bernama Tuan Jana Khatib yang sedang berjalan-jalan di
Singapura. Beliau telah menilik pohon pinang sehingga terbelah dua. Paduka Seri
Maharaja amat murka akan perbuatan tersebut kerana pada sangkaan baginda Tuan
Jana Khatib sengaja ingin menunjuk-nunjuk kebolehannya pada permaisuri baginda.
Maka dititahkan supaya dibunuh. Apabila menitik sahaja darah Tuan Jana Khatib,
beliau ghaib dan badannya dijumpai terlantar di Langkawi.
Selepas itu datang pula ikan todak
melanggar Singapura. Baginda menitahkan orang ramai berkubukan betis dan
akibatnya ramai orang yang terkorban. Akhirnya seorang budak telah mencadangkan
agar mereka berkubukan batang pisang. Langkah ini jelas berkesan dan serangan
todak dapat diatasi. Malangnya beberapa orang besar telah menghasut baginda
dengan mengatakan bahawa budak itu berbahaya kepada kerajaan. Ini kerana
sekiranya dia begitu pintar ketika masih kecil, betapa lagi setelah dia dewasa.
Baginda yang termakan dengan hasutan itu menitahkan agar budak itu dibunuh.
Baginda mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda Raja Iskandar Syah.
Akibat Khianat, Singapura Dikalahkan
Majapahit
Terdapat seorang
bendahari Raja Iskandar Syah yang bernama Sang Rajuna Tapa. Beliau mempunyai
seorang anak perempuan yang dijadikan gundik oleh baginda. Pada suatu ketika
perempuan itu telah difitnahkan oleh gundik-gundik yang lain. Baginda telah
menyula perempuan tersebut di hujung pasar.
Sang Rajuna Tapa berasa kesal dengan
perbuatan tersebut. Dia rela jika anaknya dibunuh tetapi berasa marah kerana
dimalukan sedemikian. Maka, Sang Rajuna Tapa pun mengutus surat kepada Betara
Majapahit mengatakan dia telah belot dan menyuruhnya menyerang Singapura. Sang
Rajuna Tapa telah membukakan pintu kota Singapura dan Singapura ditawan
Majapahit.
Raja Iskandar Berlepas ke Darat
Raja Iskandar
Syah lari ke Seletar sementara pihak Jawa pulang dengan kemenangan ketika Sang
Rajuna Tapa hendak mengambil beras, rengkiang berasnya terbalik dan Sang Rajuna
Tapa terjatuh ke dalam parit dan menjadi batu bersama isterinya.
Membuka Negeri Melaka
Raja Iskandar
Syah sampai ke Sungai Bertam. Ketika berehat, baginda ternampak anjingnya
dihambat oleh seekor pelanduk. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk
itu dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Negeri itu dinamakan
Melaka sempena nama sebatang pokok. Baginda bersemayam di Melaka selama tiga
tahun. Setelah baginda mangkat, anakanda baginda Raja Muda menaiki takhta.
Raja Mudalah yang mula-mula
menetapkan istiadat menaiki takhta kerajaan. Baginda memperoleh tiga orang
putera yang bernama Raden Bagus, Raden Tengah dan Raden Anum. Raja Muda mangkat
dan digantikan oleh Raja Tengah. Raja Tengah mangkat dan digantikan oleh Raja
Kecil Besar.
Raja Kecil Besar telah bermimpi
bertemu dengan baginda Rasulullah (SAW). Baginda telah diajar mengucap dan
seterusnya diberikan nama Sultan Muhammad Syah. Baginda Rasulullah juga
memberitahu bahawa keesokan harinya ada kapal yang akan datang dari Jeddah.
Sultan Muhammad Syah disuruh mengikut kata-kata makhdum kapal itu. Apabila
Sultan Muhammad Syah bangun daripada tidurnya baginda mendapati badannya berbau
narawastu. Kalam baginda telah dikhatankan dan baginda mengucap (kalimah
syahadat).
Kedatangan Islam ke Melaka
Keesokan harinya
sebuah kapal dari Jeddah sampai ke pantai Melaka. Makhdumnya, Syed Abdul Aziz
telah turun dan mengerjakan sembahyang di pantai. Gerak-geri solat yang asing
itu menghairankan orang ramai. Dengan itu sahlah mimpi baginda. Maka semua
orang besar Melaka memeluk agama Islam.
Sultan Muhammad Syahlah yang
mula-mula menetapkan warna kuning sebagai warna larangan. Baginda juga
menetapkan reka bentuk rumah serta cara berpakaian ketika menghadap raja.
Susunan Tertib Adat Istiadat Diraja
Menjelaskan adat
yang terlibat ketika menghadap raja, cara menyambut utusan dari negeri-negeri
lain, bentuk persalinan yang dianugerahkan oleh raja dan cara mengiringi
keberangkatan raja.
Membuang Diri Kerana Berkecil Hati
Mani Purindam
merupakan seorang putera raja benua Keling yang bernama Pahili. Baginda telah
membuang diri kerana berkecil hati kerana kata-katanya tidak diendahkan oleh
adindanya. Mani Purindam membuat keputusan untuk ke Melaka. Dalam perjalanan ke
Melaka, kapalnya tenggelam di Tanjung Jambu. Akhirnya Mani Purindam sampai ke
Pasai. Di Pasai baginda dikahwinkan dengan anak raja Pasai. Selepas itu baginda
sampai ke Melaka. Mani Purindam seterusnya diambil oleh Seri Nara Diraja jadi
menantu dan dikahwinkan dengan Ratna Sandari. Baginda memperoleh dua orang anak
yang dinamakan Tun Ali dan Tun Ratna Wati. Tun Ratna Wati dikahwini oleh Sultan
Muhammad Syah.
Melalui perkahwinan dengan Tun Ratna
Wati, Sultan Muhammad Syah memperoleh seorang putera bernama Raja Kassim.
Sementara itu melalui perkahwinan dengan anak raja Rekan pula, baginda
memperoleh seorang lagi putera yang bernama Raja Ibrahim. Raja Kassim mempunyai
budi pekerti yang baik dann disayangi semua manakala Raja Ibrahim pula dibenci.
Seri Nara Diraja meninggal dunia dan
digantikan oleh cucunya Tun Ali (anak Mani Purindam) menjadi Penghulu
Bendahari. Sultan Muhammad Syah mangkat setelah memerintah selama enam puluh
tujuh tahun.
Istana di Bawah Pengaruh Raja Rekan
Seterusnya Raja
Ibrahim ditabalkan menjadi raja bergelar Sultan Abu Syahid. Oleh kerana baginda
masih budak, jawatan tersebut dipangku oleh Raja Rekan. Raja Kassim disisihkan
dan baginda tinggal bersama seorang pengail. Sementara itu Raja Rekan berlagak
seolah-olah dialah empunya kerajaan Melaka.
Pada suatu hari sebuah kapal dari
Timur telah sampai ke Melaka dengan seorang maulana bernama Maulana
Jalalu’d-Din. Beliau meramalkan Raja Kassim bakal menjadi pemerintah dan
berjanji menolong Raja Kassim dengan syarat Puteri Rekan (bonda Sultan Abu
Syahid) diserahkan kepadanya.
Peristiwa Rampas Kuasa
Sera Nara Diraja
bersetuju membantu Raja Kassim untuk merampas kuasa. Begitu juga dengan
bendahara. Dalam pergelutan itu Raja Rekan telah ditikam. Apabila menyedari
dirinya telah ditikam, Raja Rekan telah membunuh Sultan Abu Syahid. Seterusnya
Raja Kassim menjadi raja bergelar Sultan Muzaffar Syah. Sementara itu Maulana
Jalalu’d-Din pula menuntut janji Raja Kassim. Maka Raja Kassim memilih seorang
dayang yang baik paras rupanya dan memperdayakan maulana tersebut.
Sultan Muzaffar Syah beristerikan
anak Bendahara Seri Amar Diraja dan memperoleh seorang putera bernama Raja
Abdullah. Pada suatu hari setelah dihadap orang di balairung, baginda masuk ke
dalam. Pada masa itu Bendahara Seri Wak Raja baru masuk. Secara kebetulan angin
telah bertiup dan menutup pintu balairung. Bendahara Seri Wak Raja yang
menyangka dirinya dimurkai sultan telah membunuh diri.
Bendahara Seri Wak Raja mempunyai
tiga orang anak. Seorang bernama Tun Kudu dan telah diperisterikan oleh Sultan
Muzaffar Syah. Seorang lagi bernama Tun Perak dan menjadi penghulu di Keling.
Manakala seorang lagi bernama Tun Perpatih Putih.
V
Bakat Kebijaksanaan Tun Perak
Negeri Siam
ketika itu dikenali sebagai Syahru’n Nuwi merupakan sebuah kerajaan yang besar.
Raja Bubunnya telah menghantar utusan ke Melaka meminta surat sembah. Sultan
Muzaffar Syah enggan tunduk kepada Bubunnya. Baginda Bubunnya telah menghantar
panglimanya Awi Cakri menyerang Melaka mengikut jalan darat.
Tun Perak turun ke Melaka untuk
membantu menentang serangan tersebut. Peliknya beliau bukan sahaja datang
dengan para hulubalang tetapi juga anak isteri mereka. Apabila ditanya, beliau
menerangkan bahawa sekurang-kurangnya orang-orang Kelang akan mempertahankan
bumi Melaka demi membela anak isterinya itu. Serangan Siam dapat dipatahkan.
Tun Perak tidak dibenarkan pulang ke Kelang dan dijadikan bentara oleh baginda
sultan. Melihatkan kebijaksanaannya, akhirnya dia dijadikan menteri bergelar
Paduka Raja.
Satu Cara Mengelakkan Pecah Belah
Setelah Paduka
Raja menjadi Orang Besar, anak Melayu berpecah dua. Separuh mengikut Paduka
Raja, sementara separuh lagi mengikut Seri Nara Diraja. Perkara ini
membimbangkan baginda sultan.
Akhirnya baginda telah menceraikan
isterinya Tun Kudu (saudara Paduka Raja) dan dikahwinkan dengan Seri Nara
Diraja. Dengan itu kedua-dua Orang Besar ini hidup berbaik-baik.
Langgaran Siam Dipatahkan
Selepas gagal
kali pertama, Siam menyerang lagi tetapi dari arah laut. Angkatan Siam kali ini
dipimpin oleh seorang panglima bernama Awi Dicu. Bendahara Paduka Raja telah
keluar menangkis serangan tersebut. Pada sebelah malamnya beliau telah
menyalakan api pada semua pohon di persisiran pantai. Ini menyebabkan angkatan
Siam menyangka angkatan atau hulubalang Melaka terlalu ramai dan membuat
keputusan untuk berundur.
Sekembalinya ke Siam, baginda
Bubunnya amat berang. Putera baginda Cau Pandan pula meminta izin untuk
menyerang Melaka. Perkara ini kedengaran ke Melaka. Seorang hamba Allah bernama
Saidi Arab telah menghalakan panahnya ke arah benua Siam dan memanah.
Kesudahannya Cau Pandan mati kerana muntah darah.
Pemerintahan Sultan Mansur Syah
Setelah empat
puluh dua tahun di atas takhta, Sultan Muzaffar Syah mangkat. Baginda
digantikan oleh anakandanya Raja Abdullah yang bergelar Sultan Mansur Syah.
Sultan Mansur Syah berusaha meluaskan empayar Melaka. Baginda telah menawan
Indera Pura tetapi rajanya Maharaja Dewa Sura telah melarikan diri.
Raja Indera Pura Ditawan
Akhirnya
Maharaja Dewa Sra telah ditangkap dan dibawa ke Melaka bersama anaknya Puteri
Onang Sari. Sementara itu Seri Bija Diraja dititahkan tinggal di Pahang. Sultan
Mansur Syah mengahwini Tuan Puteri Onang Sari dan memperolehi dua orang putera
bernama Raja Muhammad dan Raja Ahmad.
Hubungan Muhibah Melaka-Sulawesi
Sultan Mansur
Syah telah menghantar utusan ke Mengkasar dengan tujuan mengikat tali
persahabatan dengan Raja Goa.
Dari Mana Hang Tuah Berasal
Seri Bija
Pikrama yang mengetuai utusan ke Sulawesi menyampaikan hajat Sultan Mansur Syah
yang inginkan seorang budak lelaki yang baik parasnya, berbudi pekerti mulia
dan berani. Raja Goa mempersembahkan anak raja Bajung yang bernama Daeng
Mempawah kepada utusan Melaka. Bapa budak itu telah meninggal dunia. Di Melaka
budak tersebut diberikan nama Hang Tuah dan dianugerahi keris Tempa Melaka oelh
Sultan Mansur Syah. Hang Tuah dihantar berguru ilmu hulubalang. Sejak awal lagi
Hang Tuah menunjukkan kehandalan yang tiada tandingnya dalam bidang senjata.
Maharaja Dewa Sura Dibebaskan
Pada suatu
ketika gajah kenaikan Sultan Mansur Syah yang bernama Kemanci telah lari ke
hutan. Maharaja Dewa Sura (Raja Indera Pura) yang berada di Melaka dan terkenal
dengan ilmu gajahnya bersetuju mendapatkan semula gajah tersebut sekiranya
diberikan kebebasan. Sultan bersetuju dengan permintaan tersebut. Baginda
dianugerahkan persalinan oleh baginda Sultan Mansur Syah dan semua anak
pembesar Melaka diminta berguru kepada Maharaja Dewa Sura tentang ilmu gajah.
Hubungan Berbaik-baik Melaka-Siam
Melihat Melaka
dan Siam masing-masing merupakan kuasa yang besar tetapi tidak mempunyai
sebarang hubungan, Sultan Mansur Syah membuat keputusan untuk berbaik-baik
dengan kerajaan tersebut. Tun Telanai telah dipilih untuk membawa utusan dari
Melaka. Di Siam, Paduka Bubunnya bertanya sebab Melaka tidak dapat dikalahkan
oleh Siam. Tun Telanai telah memanggil seorang tua yang telah untut kedua-dua
belah kakinya dan memintanya bermain lembing. Orang tua itu telah menunjukkan
kepintaran yang amat mengagumkan dalam mengendalikan lembing tersebut.
Seterusnya Tun Telanai menjelaskan bahawa demikianlah kebolehan seluruh rakyat
Melaka.
Seterusnya Paduka Bubunnya bercadang
untuk menyerang sebuah negeri yang berhampiran dengan Siam. Baginda meminta Tun
Telanai membantu menawan salah satu bahagian yang agak sukar ditembusi. Secara
kebetulan bahagian tersebut terletak di sebelah barat. Tun Telanai memberikan
dalih bahawa orang Islam tidak suka menyerang bahagian barat memandangkan
mereka bersembahyang menghadap ke arah tersebut. Maka Paduka Bubunnya
memberikan satu arah yang lain yang lebih mudah. Angkatan Melaka dapat menawan
tempat tersebut dan menjaga maruah bangsa.
VI
Malang Membawa Tuah
Raja Majapahit
telah mangkat dan meninggalkan seorang waris perempuan sahaja yang bernama
Raden Galoh Awi Kesuma. Tuan Puteri tersebut telah dijadikan raja oleh Patih
Aria Gajah Mada.
Pada ketika yang sama seorang
penyadap telah berjumpa seorang budak lelaki yang hanyut di laut. Budak itu
telah diselamatkannya dan dibawa ke rumahnya. Budak tersebut menerangkan bahawa
dia sebenarnya merupakan putera Raja Tanjung Pura dan berasal daripada
keturunan Raja Bukit Si Guntang. Namanya ialah Raden Perlan Langu. Menurutnya
lagi dia hanyut kerana kapalnya karam di laut.
Oleh kerana si penyadap tidak
mempunyai kemampuan untuk menghantar pulang budak itu, disuruhnya tinggal
bersamanya buat seketika. Budak itu dinamainya Ki Mas Jaya. Si penyadap itu
sentiasa bergurau mengatakan bahawa suatu hari nanti Ki Mas Jaya akan menjadi
betara Majapahit dan akan berkahwin dengan Raden Galoh Awi Kesuma. Ki Mas Jaya
pula menyambut gurauan itu dengan menyatakan bahawa sekiranya perkara tersebut
terjadi, si penyadap itu akan dijadikannya Aria Gajah Mada.
Sementara itu Patih Gajah Mada
berasa amat sugul kerana kedengaran desas-desus di kalangan rakyat mengatakan
bahawa beliau kelak akan mengahwini Raden Galoh Awi Kesuma. Maka beliau meminta
Raden Galoh Awi Kesuma supaya cepat-cepat berkahwin. Tuan Puteri bersetuju.
Maka diadakan satu perarakan besar para pemuda daripada pelbagai lapisan
masyarakat untuk dipilih oleh Tuan Puteri. Tuan Puteri jatuh hati dengan Ki Mas
Jaya.
Bakal Ratu Majapahit
Ki Mas Jaya
dikahwinkan dengan Raden Galoh Awi Kesuma oleh Patih Gajah Mada. Seterusnya Ki
Mas Jaya menjadi Betara Majapahit bergelar Sang Aji Jaya Ningrat. Ini
menyebabkan si penyadap menuntut janji agar dijadikan Patih Aria Gajah Mada.
Ini menyebabkan baginda terpaksa menerangkan kebenaran dirinya kepada Patih
Aria. Patih Aria sanggup meletakkan jawatan. Walau bagaimanapun baginda berjaya
memujuk si penyadap dengan mengatakan bahawa pekerjaan Patih Aria Gajah Mada
amat berat dan menawarkan jawatan penghulu segala penyadap di Majapahit dengan
gelaran Patih Adi Kara. Melalui perkahwinan tersebut, baginda memperoleh
seorang puteri yang dinamakan Radin Galoh Cendera Kirana.
Menjalin Muhibah Melaka-Majapahit
Sultan Mansur
Syah ingin meminang Raden Galoh Cendera Kirana. Baginda bertolak ke Majapahit
bersama empat puluh orang perawangan terpilih yang diketuai oleh Tun Bijaya
Sura.
Pada bahagian ini diceritakan juga
kehebatan Hang Tuah. Dialah orang yang menentang orang yang mengamuk. Beliau
seterusnya diberikan gelaran Laksamana oleh sultan.
Di Majapahit, Sultan Mansur Syah
diberikan sebuah istana. Betara Majapahit juga menganugerahkan sebilah keris
kepada semua empat puluh orang perawangan Melaka. Kemudian baginda menyuruh
orang agar mencuri keris-keris tersebut. Namun Tun Bijaya Sura telah mengingatkan
kesemua perawangan itu agar menjaga keris masing-masing. Ini menyebabkan
keris-keris tersebut tidak dapat dicuri.
Telatah Budak-budak Raja Melaka
Pada suatu
ketika yang lain, orang Majapahit telah menambat seekor anjing di hadapan
Sultan Mansur Syah. Namun Tun Bijaya Sura telah dapat menghalau anjing tersebut
dengan sejenis tarian. Seterusnya Tun Bijaya Sura meminta keizinan Betara untuk
bermain sapu-sapu rengit. Permainan ini membolehkan beliau menjulurkan kaki ke
arah Betara Majapahit.
Sementara itu Hang Tuah lima
bersahabat pula telah naik ke balai larangan. Walaupun berpuluh-puluh orang
hulubalang Majapahit menombak mereka, namun kesemuanya dapat ditangkis oleh
mereka. Diceritakan juga bahawa Hang Tuah menjadi daya tarikan kepada semua wanita
tidak kira yang telah bersuami atau anak dara.
Satu lagi jenis permainan yang
ditunjukkan oleh Tun Bijaya Sura ialah menghayunkan sapu tangan Sultan Mansur
Syah. Malah sapu tangan tersebut hampir-hampir terkena muka Betara.
Melihatkan pelbagai kelincahan dan
kepintaran Tun Bijaya Sura, maka Betara Majapahit telah menyuruh orang
menyentap kerisnya. Apabila menyedari kerisnya telah dicuri orang, Tun Bijaya
Sura telah mencuri keris pembawa puan Betara Majapahit.
Setelah membuat persiapan selama
empat puluh hari empat puluh malam, akhirnya Sultan Mansur Syah dikahwinkan
dengan Raden Galoh Cendera Kirana.
Memohon Jajahan Sebelum Kembali
Sebelum
berangkat pulang ke Melaka Sultan Mansur Syah telah memohon Inderagiri, Jambi
dan Siantan daripada Betara Majapahit. Kesemua permintaan tersebut dikurniakan
oleh Betara. Siantan telah dianugerahkan oleh betara kepada Laksamana Hang
Tuah.
Hang Tuah Dihukum Bunuh
Pada suatu
ketika kuda Sultan Mansur Syah telah jatuh ke pelindungan tahi. Tiada siapa
yang sanggup mengeluarkannya. Hanya Hang Tuah seorang sahaja yang sanggup
memasuki pelindungan itu dan mengeluarkannya. Seterusnya Hang Tuah telah
difitnahkan bermukah dengan seorang dayang raja. Baginda sultan tidak memeriksa
perkara tersebut tetapi sebaliknya menyuruh Seri Nara Diraja membunuh Hang
Tuah. Namun begitu, Seri Nara Diraja tidak melaksanakan perintah tersebut.
Beliau sebaliknya telah menyembunyikan Hang Tuah di dusunnya di hulu.
Perhubungan Dengan Negeri China
Berita kebesaran
Melaka sampai kepada negeri China. Maharaja China telah mengutus bingkisan
berupa jarum sarat sebuah pilau. Menurut utusan tersebut jarum itu telah
diminta sebilah daripada setiap buah rumah. Begitulah ramainya rakyat China.
Sebagai balasannya, Sultan Mansur
Syah telah mengirimkan sebuah pilau yang sarat berisi sagu rendang. Menurut Tun
Perpatih Putih yang membawa utusan tersebut, sagu tersebut telah digelek
seorang sebiji oleh rakyat Melaka. Begitulah ramainya rakyat Melaka. Sejak itu
Maharaja China meminta beras santapannya dikupas orang dan tidak lagi ditumbuk.
Sebenarnya Maharaja China duduk di
dalam mungkur kaca di dalam mulut naga. Tiada siapa yang dibenarkan mengangkat
muka memandangnya. Tun Perpatih Putih mengatakan bahawa makanan kegemaran orang
Melaka ialah sayur kangkung yang dibelah panjang-panjang dan tidak dikerat.
Ketika makan mereka mendongak dan mengangakan mulut. Dengan cara itu
orang-orang Melaka dapat melihat wajah Maharaja China yang duduk di dalam mulut
naga itu.
Seterusnya Raja China menyuruh Raja
Melaka datang ke China untuk dikahwinkan dengan anakandanya Tuan Puteri Hang
Liu. Tun Perpatih Putih menerangkan bahawa baginda tidak dapat meninggalkan
Melaka kerana terdapat ancaman daripada pihak musuh. Beliau seterusnya meminta
izin untuk membawa Tuan Puteri Hang Liu bersamanya ke Melaka.
Puteri Raja China ke Melaka
Maharaja China
bersetuju dan meminta Perdana Menterinya, Li Po menyediakan kelengkapan
untuk mengiringi Tuan Puteri tersebut.
Setibanya mereka di Melaka, seluruh rombongan China diislamkan. Sultan Mansur
Syah mengahwini Tuan Puteri Hang Liu dan menghantar sembah kepada Maharaja
China. Sembah tersebut berbunyi “Sahaya anak Raja Melaka, empunya sembah pada
raja benua China”. Utusan yang dibawa oleh Tun Telanai itu terlencong kerana
angin ribut dan sampai ke Brunei. Raja Brunei tergamam melihat utusan Melaka
yang menghantar sembah kepada Raja China. Namun begitu, menteri Jana Putera
berjaya menggunakan kepintarannya dan berdalih mengatakan bahawa “sahaya”
bermaksud hamba. Jadi maksud utusan tersebut ialah hamba Sultan Mansur Syah
yang menghantar utusan tersebut dan bukannya baginda sultan.
Kedal Kerana Tulah?
Maharaja China
telah dijangkiti sejenis penyakit kedal yang menyebabkan seluruh badannya
berasa gatal. Menurut tabib penyakit tersebut tidak dapat diubati melainkan
dengan santap dan membasuh muka dengan air basuh kaki Raja Melaka. Sultan
Mansur Syah mengirimkan air basuh kakinya. Air tersebut disantap dan digunakan
untuk membasuh muka oleh Maharaja China. Pada ketika itu juga penyakitnya
sembuh. Sejak itu Maharaja China bersumpah bahawa diri dan keturunannya tidak
akan disembah oleh Sultan Melaka.
VII
Hang Jebat Kesiangan di Istana
Hang Jebat
mengamuk di istana raja. Sultan Mansur Syah dan Raja Perempuan terpaksa
berpindah ke istana lain. Tiada orang yang berani menentang Hang Jebat kerana
dia bukannya calang-calang pahlawan.
Pada ketika itulah sultan merintih
mengenangkan Hang Tuah. Dalam rintihan itu baginda mengatakan sekiranya Hang
Tuah masih hidup, baginda sanggup memaafkan sebarang dosanya. Pada ketika
itulah Seri Nara Diraja memaklumkan hakikat Hang Tuah masih hidup lagi.
Seterusnya Hang Tuah dijemput dan dititahkan oleh baginda agar membasuh arang
di mukanya.
Pertarungan Hang Tuah-Hang Jebat
Hang jebat
terkejut melihat Hang Tuah masih hidup dan mengatakan bahawa dia bertindak
sedemikian kerana menyangka Hang Tuah sudah mati. Hang Jebat seterusnya
mengajak Hang Tuah naik untuk bertarung dengannya. Dalam pertarungan itu
beberapa kali keris Hang Tuah terlekat di dinding. Setiap kali perkara tersebut
terjadi, Hang Jebat akan membenarkan Hang Tuah mencabut kerisnya terlebih
dahulu sebelum menyambung pertarungan. Namun begitu apabila keris Hang Jebat
tertikam pada dinding, Hang Tuah mengambil kesempatan untuk menikam Hang Jebat.
Katanya dia tidak perlu setia dengan Hang Jebat kerana dia menderhaka ke bawah
baginda sultan.
Mayat Hang Jebat dicampakkan orang
ke dalam laut. Kesemua anak isterinya turut dibunuh. Malah kaki tiang dan tanah
bekas rumahnya sekalipun digali dan dibuangkan ke laut. Sultan Mansur Syah juga
melekatkan gelaran Laksamana secara kekal kepada Hang Tuah. Baginda seterusnya
membina sebuah istana baru yang amat indah.
Istana Sultan Mansur Syah Terbakar
Mahligai yang
amat indah dan baru dibina itu terbakar. Sultan Mansur Syah menitahkan agar
dibuat istana baru dan mengarahkannya disiapkan dalam masa sebulan.
Ramalan Bendahara Paduka Raja
Seri Nara Diraja
jatuh sakit. Sebelum meninggal dunia beliau menyerahkan anak-anaknya Tun
Mutahir dan Tun Tahir kepada Bendahara Paduka Raja. Bendahara Paduka Raja
meramalkan Tun Mutahir kelak akan menjadi Orang Besar Melaka tetapi tidak kekal
lama.
Setelah besar, Tun Tahir dijadikan
Penghulu Bendahari bergelar Seri Nara Diraja dan Tun Mutahir dijadikan
Temenggung bergelar Seri Maharaja.
Akibat Tiada Menyembah ke Melaka
Maharaja Jaya
dari Kampar enggan menyembah ke Melaka. Maka Sultan Mansur Syah mengarahkan
angkatannya menyerang dan menawan negeri tersebut. Maharaja Jaya terbunuh dalam
peperangan tersebut.
Sesudah Kampar, Siak Pula
Maharaja
Parameswara dari Siak tidak mahu menyembah ke Melaka. Negerinya diserang oleh
angkatan Melaka. Maharaja Parameswara terbunuh dan negaranya ditawan. Putera
baginda yang bernama Megat Kudu dibawa ke Melaka dan dikahwinkan oleh Sultan
Mansur Syah dengan anakandanya Raja Mahadewi. Megat Kudu kemudian ditabalkan di
Siak bergelar Sultan Ibrahim.
Ditolak Bumi Melaka
Pada suatu
ketika putera Sultan Mansur Syah, Raja Muhammad sedang berkuda di kampung
Bendahara Paduka Raja. Pada ketika itu anak Bendahara, Tun Besar sedang bermain
sepak raga. Raga yang disepaknya terpelanting mengenai destar Raja Muhammad
menyebabkan destarnya jatuh. Akibatnya Tun Besar dibunuh. Para sahabat Tun
Besar berkumpul hendak menuntut bela ke atas kematiannya tetapi mereka ditegah
oleh Bendahara Paduka Raja. Beliau mengingatkan mereka bahawa pantang bagi anak
Melayu menderhaka ke bawah sultan. Namun begitu Bendahara enggan bertuankan
anak raja tersebut.
Sultan Mansur Syah terpaksa tunduk
kepada ketetapan bendahara dan bumi Melaka yang enggan bertuankan anakandanya
itu. Raja Muhammad dihantar ke Pahang dan dirajakan di situ dengan gelaran
Sultan Muhammad Syah.
Melaka terus maju di bawah pimpinan
baginda Sultan Mansur Syah. Di kalangan orang Arab, Melaka dikenali sebagai
“Malaqat” yang bermaksud “perhimpunan dagang”.
Juara Catur
Dikisahkan
bahawa Tun Bahara (orang Pasai) telah datang ke Melaka. Dia dikatakan seorang
pemain catur yang handal. Semua pemain catur di Melaka dikalahkannya. Tiada
siapa yang boleh menyainginya melainkan Tun Pikrama, anak Bendahara Paduka
Raja.
Disuruh Merompak ke Ujung Tanah
Dikisahkan
tentang sebuah negeri yang terletak di Tanah Mengkasar bernama Meluluki.
Rajanya bernama Keraeng Majiko. Baginda mempunyai tujuh orang isteri. Daripada
isterinya yang paling tua beliau memperoleh seorang anak lelaki bernama
Semerluki. Semerluki jatuh hati pada isteri termuda ayahnya (bonda bongsunya).
Ini ditegah oleh Baginda Keraeng Majiko. Baginda seterusnya menyuruh Semerluki
mencari isteri di Ujung Tanah.
Semerluki berkemas dan memulakan
pengembaraannya. Dalam perjalanannya, dia merosakkan jajahan Jawa dan jajahan
Melaka. Di laut Melaka, angkatan Semarluki bertemu dengan kelengkapan
Laksamana. Dalam pertempuran itu kedua-dua pihak mengalami banyak kerugian.
Seterusnya Semerluki bergerak ke Pasai. Di situ dia merosakkan beberapa jajahan
Pasai. Apabila sampai semula ke laut Melaka, kelengkapan Semerluki ditentang
oleh Laksamana sekali lagi. Kali ini angkatan Semerluki dapat dibinasakan.
Semerluki pulang ke Mengkasar.
Kitab Duri’l-Mazlum
Seorang pendeta
bernama Maulana Abu Ishak yang amat arif dalam ilmu tasauf telah mengarang
kitab Duri’l-Mazlum. Beliau seterusnya mengajarkan kitab ini kepada anak
muridnya Maulana Abu Bakar dan menghantarnya ke Melaka untuk memberikan fatwa.
Kitab tersebut diterima baik oleh Sultan Mansur Syah. Baginda juga menghantar
kitab tersebut ke Pasai untuk diberikan erti.
Kesemua Orang Besar Melaka berguru
kepada Maulana Abu Bakar kecuali kadi Melaka bernama Kadi Yusuf. Pada suatu
hari, ketika Tuan Kadi hendak pergi sembahyang Jumaat, beliau ternampak Maulana
Abu Bakar dikelilingi cahaya. Melihatkan perkara tersebut Tuan Kadi menyembah
kaki Maulana Abu Bakar dan menjadi anak muridnya. Beliau juga meninggalkan
jawatan kadi dan dikenali sebagai Maulana Yusuf.
Sultan Mansur Syah telah menitahkan
Tun Bija Wangsa ke Pasai menanyakan suatu masalah agama iaitu sama ada semua
isi syurga akan kekal di syurga da nisi neraka pula akan kekal di neraka.
Kemusykilan tersebut dapat diselesaikan oleh Makhdum Mua di Pasai.
VIII
Raja Chempa dan Zuriatnya
Raja Cempa telah
menjumpai seorang budak lelaki di belahan mayang pinang. Budak tersebut
dinamakan Cempa Pau Gelang. Apabila telah besar, Cempa Pau Gelang dikahwinkan
dengan puterinya Pau Bania. Seterusnya Pau Gelang dirajakan di Cempa. Zuriat
baginda berterusan hingga kepada Pau Gama.
Pau Gama telah menghadap Betara
Majapahit dan dikahwinkan oleh Betara dengan anakandanya Raden Galuh Ajeng.
Keturunan raja Cempalah yang pemerintah di Aceh. Salah seorang daripada keturunan
mereka, Syah Indera Berman telah tiba di Melaka dan menghadap Sultan Mansur
Syah. Baginda sultan menyuruh mereka memeluk agama Islam. Mereka seterusnya
menetap di Melaka.
Gema Peristiwa Rampas Kuasa di Pasai
Raja Pasai,
Sultan Zainal Abidin mempunyai seorang saudara muda. Saudara baginda hendak
merebutkan takhta kerajaan. Ini menyebabkan Sultan Zainal Abidin terpaksa lari
ke Melaka. Sultan Mansur Syah telah menghantar Bendahara bersama bala tentera
untuk menabalkan semula Sultan Zainal Abidin. Di Pasai, angkatan Melaka berjaya
menewaskan saudara Sultan Zainal Abidin dan mengembalikan takhta kepada Sultan
Zainal Abidin.
Apabila sampai masa untuk rombongan Melaka
berangkat pulang, Sultan Zainal Abidin enggan menghantar sembah kepada Sultan
Melaka. Dalam perjalanan pulang rombongann Melaka mendapat tahu bahawa
sepeninggalan mereka, saudara Sultan Zaina Abidin telah kembali untuk merebut
kerajaan. Namun demikian Bendahara enggan membantu lagi kerana sifat sombong
Sultan Zainal Abidin tadi.
Setiba di Melaka Sultan Mansur Syah
murka terhadap Bendahara kerana enggan membantu Sultan Zainal Abidin. Laksamana
pula mengambil kesempatan ini untuk memburuk-burukkan lagi Bendahara. Tetapi
apabila Bendahara menghadap raja, beliau pula memberikan pelbagai pujian terhadap
Laksamana. Apabila Laksamana mendapat tahu hal tersebut, beliau telah menyembah
kaki Bendahara.
Wasiat Sultan Mansur Syah
Hasil
perkahwinan dengan Raden Galuh Cendera Kirana, Sultan Mansur Syah memperoleh
seorang putera bernama Raden Kelang. Putera inilah yang dihajatkan oleh baginda
akan mewarisi takhta. Malangnya Raden Kelang mati ketika bertikam dengan orang
mengamuk.
Akhirnya Sultan Mansur Syah gering.
Baginda memanggil Raja Ahmad (nama timangannya ialah Raja Hussain) dan
mengumumkan kepada para pembesar bahawa putera itulah yang akan menggantikan
baginda. Baginda mewasiatkan kepada para pembesar agar menjaga dan memaafkan
sebarang kesilapan puteranya yang masih mentah itu. Wasiat baginda kepada
puteranya pula ialah agar mementingkan keadilan dan permuafakatan dalam
mentadbir negara.
Pemerintahan Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah
Sultan Mansur
Syah mangkat dan digantikan oleh Raja Hussain dengan gelaran Sultan Alau’d-Din
Riayat Syah. Baginda terkenal sebagai seorang pemerintah yang adil dan perkasa.
Pada masa pemerintahan baginda, negeri Melaka diancam masalah kecurian
yang berleluasa. Pada suatu malam
baginda telah menyamar dan keluar untuk melihat keadaan negerinya. Baginda
terserempak dengan lima orang pencuri yang sedang mengusung sebuah peti.
Baginda bersama Hang Isap telah berjaya membunuh tiga orang daripada mereka.
Langkah Membasmi Pencuri
Pada keesokan
harinya baginda telah menyindir Temenggung Seri Maharaja kerana tidak tahu
segala kejadian pada malam sebelumnya. Sejak peristiwa tersebut, Seri Maharaja
menjalankan kawalan yang amat ketat. Malah sekiranya bertemu dengan pencuri,
beliau tidak akan menangkap tetapi sebaliknya terus dibunuh.
Sultan Alau’d-Din Riayat Syah
merupakan seorang pemerintah yang amat mementingkan keadilan. Baginda telah
membina balai di simpang empat di tengah negeri bagi membolehkan orang ramai
meletakkan semua harta yang ditemui atau diperoleh daripada pencuri agar dapat
diambil semula oleh tuannya.
Akibat Salam Dibacakan Sembah
Pada suatu
ketika Raja Haru, Maharaja Diraja telah menghantar utusan ke Pasai. Salah satu
kebiasaan di Pasai ialah perkataan “salam” akan sentiasa dibacakan sebagai
“sembah”. Kini utusan Haru yang berbunyi “salam paduka kakanda” dibacakan
sebagai “paduka empunya sembah”. Walaupun Raja Pahlawan, iaitu pembawa utusan
dari Haru membetulkannya berkali-kali namun pihak Pasai tetap membacakannya
sedemikian rupa. Kesudahannya Raja Pahlawan telah mengamuk dan beliau sendiri
terkorban.
Ini menimbulkan kemarahan Maharaja
Diraja yang seterusnya menghantar tentera untuk menyerang Pasai. Angkatan ini
yang diketuai Hulubalang Seri Indera telah merosakkan banyak jajahan Pasai dan
menuju ke jajahan Melaka. Angkatan tersebut telah ditentang oleh angkatan
Melaka. Angkatan Haru dapat ditewaskan.
Mia Ruzul dengan Kambing Randuk
Maharaja Diraja
amat murka kerana angkatannya dibinasakan oleh pihak Melaka. Baginda menitahkan
agar menyerang Melaka sekali lagi. Kedua-dua angkatan bertemu di tengah
perairan Melaka dan pihak Haru tewas lagi. Akhirnya Maharaja Diraja meminta
damai dengan pihak Melaka.
Ketiganya Sama Gagah
Negeri Raja
Maluku telah dikalahkan oleh Kastilan. Raja Maluku melarikan diri ke Melaka.
Pada masa yang sama, Raja Rekan dan Telanai Terengganu juga berada di Melaka
untuk menghadap Sultan Alau’d-Din Riayat Syah. Dikatakan bahawa Raja Maluku,
Telanai Terengganu dan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah merupakan orang yang
sama-sama perkasa.
Sultan Muhammad Syah di Pahang
tersinggung kerana Telanai Terengganu telah menghadap ke Melaka tanpa memberitahunya.
Baginda seterusnya menitahkan Seri Akar Raja membunuh Telanai Terengganu.
Kemudain Terengganu telah diserahkan kepada Seri Akar Raja.
Semua anak cucu Telanai Terengganu
telah melarikan diri ke Melaka dan mengkhabarkan perkara tersebut kepada Sultan
Alau’d-Din Riayat Syah. Raja Muhammad Syah juga berhasrat hendak merampas
Melaka daripada adindanya Raja Ahmad (Sultan Alau’d-Din Riayat Syah). Baginda
sultan amat murka dengan perbuatan kakandanya dan menyuruh menyediakan
kelengkapan untuk menyerang Pahang. Namun begitu kemurkaan baginda dapat
diredakan oleh Bendahara Paduka Raja.
Gema Pembunuhan Telanai Terengganu
Ekoran daripada
peristiwa itu, Laksamana telah membawa utusan ke Pahang. Pada masa yang sama
Laksamana juga telah meminta seorang ahli kumpulannya membunuh salah seorang
ahli keluarga Seri Akar Raja. Apabila disoal oleh Sultan Muhammad Syah,
Laksamana menerangkan bahawa Seri Akar Raja telah bersalah kepada Sultan
Melaka. Sultan Muhammad Syah pula berdalih mengatakan bahawa Telanai Terengganu
dibunuh kerana bersikap biadap. Kononnya Telanai berkata bahawa Melaka terletak
di bawah penguasaannya.
IX
Membunuh Tanpa Memberitahu ke Melaka
Raja Siak iaitu
Sultan Ibrahim telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas seorang rakyatnya tanpa memberitahu
Melaka. Hukuman tersebut telah dijalankan oleh Tun Jana Pakibul.
Apabila berita tersebut sampai ke
Melaka, baginda sultan telah menghantar Laksamana untuk menegur Sultan Ibrahim.
Di Siak, Laksamana telah menengking Tun Jana Pakibul sebagai orang yang tidak
tahu adat.
Demikianlah istiadat pada ketika
itu. Tiada sebuah pun negeri di bawah jajahan Melaka yang boleh menjatuhkan
hukuman bunuh terhadap sesiapa tanpa terlebih dahulu memaklumkannya kepada
sultan Melaka.
Sultan Alau’d-Din Riayat Syah gering
dan berwasiat kepada para pembesar agar merajakan anakandanya Raja Mamad
selepas kemangkatan baginda.
Pemerintahan Sultan Mahmud Syah
Sultan
Alau’d-Din Ri’ayat Syah berwasiat kepada Raja Mamad agar mendahulukan kerja
Allah SWT berbanding dengan pekerjaan duniawi. Baginda juga berpesan agar
jangan sekali-kali memalukan anak Melaka walau betapa besar seklaipun dosanya.
Sultan Alau’d-Din Riayat Syah
mangkat dan digantikan oleh putera baginda Raja Mamad bergelar Sultan Mahmud
Syah. Ketika itu Seri Bija Diraja sampai dari Singapura. Bendahara Paduka Raja
memaklumkan kepada beliau wasiat Sultan Alau’d-Din Riayat Syah yang menurunkan
takhta kepada Sultan Mahmud Syah. Seri Bija Diraja pula mengatakan bahawa
beliau tidak mendengar wasiat tersebut. Sultan Mahmud Syah yang mendengar
kata-kata Seri Bija Diraja menyimpan dendam terhadap beliau.
Tidak beberapa lama kemudian Sultan
Mahmud Syah gering cirit-birit. Bendahara Paduka Raja dan Laksamanalah yang
bertungkus-lumus menjaga baginda. Merekalah yang membasuh dan menyuapkann
baginda. Mereka berdua tidak membenarkan nenda Sultan Mahmud Syah, Raja Tua,
menghampiri baginda. Ini kerana Raja Tua lebih mengasihi cucundanya Sultan
Menawar di Kampar. Apabila Raja Tua hendak meratapi Sultan Mahmud Syah (dengan
harapan baginda akan mangkat), kedua-dua mereka mengugut akan mengamuk.
Bendahara Paduka Raja Dengan Laksamana
Sultan Mahmud
Syah telah sembuh daripada geringnya. Sebagai tanda penghargaan baginda telah
menghadiahkan sebuah usungan kepada kedua-dua Laksamana dan Bendahara Paduka
Raja. Laksamana menggunakan usungan tersebut manakala Bendahara pula enggan
menggunakannya. Apabila ditanya beliau menjawab bahawa sekiranya beliau
menggunakan usungan itu, mungkin ada orang yang akan salah sangka bahawa
beliaulah raja Melaka memandangkan pemerintah negeri itu masih muda.
Selain itu, Bendahara juga
menyerahkan segala perahu atau senjata yang bermutu yang diperolehinya kepada
Laksamana. Alasan yang diberikan oleh beliau ialah Laksamanalah yang akan
mempertahankan bumi dan rakyat Melaka daripada ancaman musuh. Oleh itu
sewajarnyalah dia memiliki peralatan yang terbaik.
Wasiat Bendahara Paduka Raja
Bendahara Paduka
Raja jatuh sakit. Sebelum meninggal dunia beliau telah mengingatkan anak-anak
buahnya bahawa raja ibarat khalifah Allah di muka bumi. Sementara itu beliau
juga mengingatkan baginda sultan agar memerintah dengan adil dan jangan
sekali-kali mendengar fitnah orang.
Selepas kematian Bendahara Paduka
Raja, tempatnya diambil alih oleh Tun Perpatih Putih bergelar Bendahara Putih.
Beliau merupakan seorang yang pemboros. Sementara itu Sultan Mansur Syah telah
menjadi besar dan dapat menjalankan pemerintahan baginda sendiri. Baginda
dikatakan mempunyai pekerti yang amat mulia.
Nyaris Lembing Diterbangkan ke Dada
Pada suatu
ketika Sultan Mahmud Syah telah mengadakan hubungan sulit dengan isteri Tun
Biajid iaitu anak Laksamana Hang Tuah. Pada suatu malam ketika pulang dari
rumah Tun Biajid, baginda terserempak dengan Tun Biajid sendiri. Tun Biajid
sangat marah dan menimbang-nimbang lembingnya. Dia mengatakan bahawa sayang
sekali baginda merupakan tuannya. Jika tidak baginda pasti dibunuhnya. Tun
Biajid lalu menceraikan isterinya. Dia dianugerahkan seorang gundik oleh
baginda sultan.
Baginda sultan juga mempunyai
hubungan dengan seorang perempuan bernama Tun Dewi. Pada suatu hari baginda ternampak
Tun Ali Sandang juga berada di tempat itu. Baginda seterusnya mengambil sirih
di puan dan menyerahkannya kepada Tun Isap. Tun Isap mentafsirkan anugerah
tersebut sebagai arahan untuk membunuh Tun Ali Sandang.
Peristiwa Pembunuhan Tun Ali Sandang
Seterusnya Tun
Isap telah menikam Tun Ali Sandang dan membunuhnya. Ini menimbulkan kemarahan
Seri Wak Raja memandangkan Tun Ali Sandang merupakan salah seorang ahli
keluarganya. Beliau ingin menuntut bela dan mahu membunuh Tun Isap. Oleh yang
demikian, Sultan Mahmud Syah menyuruh Tun Isap meninggalkan Melaka. Mula-mula
dia ke Pasai. Dari situ dia berlepas ke Haru dan kemudiannya ke Brunei. Namun
demikian ke mana sahaja dia pergi dia enggan menyembah sesiapapun kerana
kesetiaannya yang tidak berbelah bagi terhadap sultan Melaka. Akhirnya dia
pulang juga ke Melaka. Walau bagaimanapun, kemarahan Seri Wak Raja tidak pernah
mereda. Tun Isap tetap dibunuhnya juga.
Telatah Orang-orang Yang Dikasihi Raja
Seterusnya
diceritakan sikap sesetengah pembesar. Seri Wak Raja misalnya suka
berlengah-lengah apabila dipanggil ke istana. Hanya Tun Isap Berakah sahaja
yang tahu cara mengendalikan Seri Wak Raja. Ini kerana setiap kali dia pergi
menjemput Seri Wak Raja, dia akan meminta yang bukan-bukan sementara menunggu
Seri Wak Raja bersedia. Oleh itu Seri Wak Raja tidak akan berlengah-lengah
tetapi sebaliknya akan bergegas pergi setiap kali Tun Isap Berakah datang
menjemputnya.
Pada suatu Hari Raya, Seri Bija
Diraja tidak mudik dari Singapura. Beliau hanya sampai pada keesokan harinya.
Ini kerana beliau menyangka anak bulan tidak akan kelihatan pada hari tersebut.
Ini menyebabkan Sultan Mahmud Syah murka. Bagi baginda, Seri Bija Diraja lebih
setia pada kakandanya di Kampar berbanding dengan dirinya. Maka Seri Bija
Diraja dititahkan agar dibunuh.
Pada suatu ketika Sultan Mahmud Syah
ingin mengaji dengan Maulana Yusof tetapi tidak dilayan oleh maulana tersebut.
Baginda hanya dipersilakan masuk apabila memperkenalkan dirinya sebagai “Fakir
Mahmud”.
Manjong dan Kelantan Diserang
Sultan Mahmud
Syah menyerang Manjong. Ini kerana pada ketika itu Manjong merupakan sebuah
kerajaan besar tetapi enggan bekerjasama dengan Beruas.
Seterusnya Sultan Mahmud Syah menitahkan
Seri Maharaja menyerang Kelantan pula. Pada ketika itu Kelantan juga merupakan
sebuah kerajaan besar dan diperintah oleh Sultan Menawar Syah tetapi enggan
menyembah Sultan Melaka. Baginda mempunyai tiga orang puteri yang bernama Onang
Kinang, Cau Pa dan Cau Pauk. Kelantan dapat ditewaskan dan ketiga-tiga orang
puteri tersebut dibawa ke Melaka. Tuan Puteri Onang Kinang telah diperisterikan
oleh baginda Sultan Mahmud.
X
Tun Mutahir Dijadikan Bendahara
Sultan Menawar
Syah yang memerintah Kampar telah mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda
Raja Abdullah. Sementara itu di Melaka pula Bendahara Putih meninggal dunia dan
digantikan oleh Tun Mutahir dengan gelaran Bendahara Seri Maharaja.
Bendahara Seri Maharaja terkenal
dengan sikap adil dan pemurahnya. Beliau dikatakan salah seorang Orang Besar
yang mempunyai kedudukan yang amat tinggi di kalangan pembesar. Sebagai
contoh,sekiranya ada raja-raja yang datang menghadap, beliau tidak akan bangun
tetapi hanya mempersilakan dengan tangan sahaja. Beliau hanya bangun sekiranya
yang datang itu merupakan anak-anak raja yang bakal menggantikan takhta. Beliau
juga amat mementingkan rupa dirinya. Beliau mempunyai cukup banyak pakaian dan
perhiasan. Malah dalam sehari sahaja beliau akan menukar persalinan sebanyak
enam atau tujuh kali.
Titisan Keturunan Bendahara Seri Maharaja
Diceritakan
zuriat Bendahara Seri Maharaja. Abang beliau, Seri Nara Diraja menjadi penghulu
bendahari. Beliau pula mempunyai lima orang anak. Salah seorang daripadanya,
Tun Kudu telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud Syah.
Peristiwa Patih Adam dengan Tun Minda
Pangeran
Surabaya yang bernama Patih Adam telah menghadap Sultan Mahmud Syah. Pada suatu
hari, ketika beliau sedang duduk bersama Seri Nara Diraja, Tun Minda, anak
perempuan Seri Nara Diraja yang masih kecil berlari-lari di hadapan mereka.
Seri Nara Diraja pula bergurau mengatakan bahawa Tun Minda hendak bersuamikan
Patih Adam.
Kata Seri Nara Diraja itu dipegang
oleh Patih Adam. Apabila sampai masanya Patih Adam datang semula ke Melaka
untuk menuntut “janji” Seri Nara Diraja. Seri Nara Diraja enggan menyerahkan
anaknya dan menjelaskan bahawa beliau hanya bergurau. Patih Adam telah menyogok
kesemua penunggu rumah Seri Nara Diraja dan mengikat pinggangnya dengan Tun
Minda. Beliau mengugut akan membunuh Tun Minda sekiranya diserang. Seri Nara
Diraja tidak mempunyai pilihan dan terpaksa mengahwinkan anaknya dengan Patih
Adam.
Meminang “Puteri Gunung Ledang”
Permaisuri
Sultan Mahmud Syah telah mangkat dan Melaka tidak mempunyai raja perempuan.
Sultan Mahmud Syah inginkan seorang isteri yang terlebih istimewa berbanding
dengan raja-raja yang lain. Oleh itu baginda menitahkan agar meminang Puteri
Gunung Ledang. Tugasan itu diserahkan kepada Laksamana, Sang Setia dan Tun
Mamad.
Puteri Gunung Ledang sanggup
menerima peminangan tetapi mengenakan beberapa syarat iaitu Sultan Mahmud Syah
dikehendaki membina sebuah jambatan emas dan sebuah jambatan perak merentas
Melaka dan Gunung Ledang, hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang,
air mata setempayan, air pinang muda setempayan dan darah Raja Ahmad semangkuk.
Baginda sultan sanggup menyediakan segala permintaan tersebut tetapi tidak
sanggup mengorbankan puteranya Raja Ahmad. Oleh itu perkara tersebut terpaksa
dilupakan.
Tepuk Berbalas, Alang Berjawat
Raja Inderagiri,
Sutan Nara Singa merupakan menantu Marhum Melaka. Ketika berada di Melaka Anak
Tuan-tuan Inderagiri selalu diperhabakan oleh Anak Tuan-tuan Melaka. Oleh itu
mereka memohon kepada Sutan Nara Singa untuk pulang ke Inderagiri.
Sementara itu Maharaja Isap yang
menjadi raja di Lingga telah menghadap ke Melaka. Apabila Sutan Nara Singa
mendapat tahu hal tersebut, baginda menyerang Lingga. Apabila Sutan Nara Singa
menghadap Melaka, Maharaja Isap pula mengambil kesempatan dan menyerang
Inderagiri. Perseteruan diantara kedua-dua buah kerajaan ini berterusan.
Akhirnya Sultan Mahmud Syah dapat mengamankan mereka.
Hang Nadim Dititahkan ke Benua Keling
Sultan Mahmud
Syah telah menitahkan Hang Nadim ke benua Keling untuk membeli kain. Hang Nadim
bertolak dengan menaiki kapal Hang Isap. Di benua Keling tiada siapa yang dapat
mengatasi lukisan corak yang diukir oleh Hang Nadim. Hang Nadim telah mengumpul
kesemua kain dan bersiap untuk bertolak. Sementara itu Hang Isap yang sedang berurusan
dengan seorang Saiyid telah bertengkar dengannya dan memakinya. Hang Isap telah
disumpah oleh Saiyid berkenaan. Kesudahannya kapal Hang Isap karam dalam
perjalanan pulang ke Melaka. Kesudahannya Hang Nadim pulang ke Melaka dengan
empat helai kain sahaja. Sultan Mahmud Syah murka kerana Hang Nadim tetap
menaiki kapal Hang Isap padahal dia telah disumpah oleh Saiyid.
Laksamana Hang Tuah meninggal dunia
dan digantikan oleh menantunya Laksamana Khoja Hassan.
XI
Seri Wak Raja dengan Gajah Pahang
Raja Pahang yang
pertama Sultan Muhammad Syah telah mangkat dan digantikan oleh anakandanya Raja
Kamal dengan gelaran Sultan Abdul Jamal Syah. Baginda telah menghantar Seri
Wangsa Diraja menghadap ke Melaka untuk memaklumkan perkara tersebut. Sultan
Mahmud Syah telah menghantar Seri Wak Raja ke Pahang untuk menobatkan Sultan
Abdul Jamal Syah.
Seri Wak Raja merupakan seorang yang
berpengetahuan luas tentang soal gajah. Begitu juga dengan anaknya Tun Umar.
Pada suatu ketika Sultan Abdul Jamal cuba memperdayakan Tun Umar dengan
membawanya menaiki gajah yang curam belakangnya dan telah disapu minyak. Namun
Tun Umar menggunakan kebijaksanaannya dalam mengawal pergerakan gajah itu.
Setibanya di Melaka Seri Wak Raja
menceritakan kepada Sultan Mahmud Syah akan kecantikan Tun Teja, anak Bendahara
Pahang yang sudah ditunangkan dengan Sultan Pahang.
Peri Cantiknya Paras Anak Bendahara Pahang
Setelah
mengetahui kecantikan Tun Teja, Sultan Mahmud Syah amat teringin untuk
memilikinya. Baginda mengumumkan kesanggupan memberikan apa sahaja kepada
sesiapa yang dapat membawa Tun Teja ke Melaka. Tawaran itu dianggap sebagai
peluang keemasan kepada Hang Nadimuntuk menebus kegagalannya membawa kain dari
benua Keling.
Tun Teja Dilarikan ke Melaka
Di Pahang, Hang Nadim telah menyogok
perempuan pelulut Tun Teja dan memberikan sejenis ubat lutut kepadanya untuk
disapukan kepada Tun Teja. Perempuan tua itu telah memujuk Tun Teja dengan
kata-kata bahawa hanya Raja Melaka (yang lebih besar daripada Raja Pahang)
layak memperisterikannya. Tun Teja termakan dengan pujukan tersebut. Akhirnya
Hang Nadim telah menyogok kesemua penunggu rumah Tun Teja dan berjaya
membawanya lari.
Pertempuran di Laut Pulau Keban
Sultan Pahang
yang mengetahui perkara ini amat murka. Baginda menitahkan perahu Pahang
bersedia dan mengejar kapal kenaikan Hang Nadim. Kedua-dua pihak bersemuka di
perairan Pulau Keban dan berperang. Namun perahu-perahu Pahang tidak dapat
bertahan dengan kebolehan Hang Nadim memanah. Akhirnya Hang Nadim selamat
sampai ke Melaka. Sultan Mahmud Syah mengahwini Tun Teja dan memperoleh seorang
puteri yang bernama Puteri Adma Dewi.
Gajah Sultan Pahang Pula Dilarikan
Sultan Pahang
tidak dapat menahan kemarahannya dengan perbuatan Hang Nadim dan kegagalan
angkatan baginda menyekat Hang Nadim. Baginda membuat ketetapan hendak
melanggar Melaka dengan gajahnya Ai Kening.
Perkara itu sampai kepada
pengetahuan Sultan Mahmud Syah. Kini baginda menyuruh orang mengambil gajah
Sultan Pahang itu pula. Laksamana Khoja Kassan bersetuju dengan membawa utusan
damai dari Melaka. Sultan Abdul Jamal amat gembira dengan perutusan tersebut.
Tetapi akhirnya Laksamana Khoja Hassanmelarikan gajah baginda.
Bersheikh Diri di Lubok Pelang
Baginda Sultan
Abdul Jamal amat murka dan kecewa dengan cara dirinya yang dipermain-mainkan
oleh raja Melaka. Baginda turun takhta dan merajakan anakanda baginda Raja
Mansur dengan gelaran Sultan Mansur Syah. Seterusnya baginda memencilkan diri
di huu dan menjadi syaikh.
Rahsia Pembunuhan Raja Zainal
Sultan Mahmud
Syah mempunyai seorang saudara bernama Raja Zainal. Raja Zainal mempunyai
perwatakan rupa dan sikap yang tiada bandingannya pada ketika itu. Ini
menyebabkan kaum wanita di Melaka tergil-gilakan baginda. Perkara itu tidak
disenangi oleh Sultan Mahmud Syah. Baginda mengumumkan bahawa sesiapa yang
sanggup membunuh Raja Zainal akan diakui sebagai saudaranya sendiri. Hang
Berkat bersetuju untuk melakukannya. Raja Zainal ditikam dan mangkat. Sultan
Mahmud Syah berpura-pura tidak tahu tentang perkara tersebut dan menjalankan
istiadat pengebumian Raja Zainal mengikut adat anak-anak raja yang meninggal
dunia. Baginda seterusnya menganugerahkan gelaran Sang Sura kepada Hang Berkat
dan diakui sebagai saudaranya.
Sultan Mahmud Syah Serba salah
Pada suatu
ketika isteri Sang Sura berkehendak dengan Sang Guna. Sang Sura membuat
ketetapan hendak membunuh Sang Guna. Sang Guna pula merupakan orang kesayangan
baginda. Oleh itu baginda telah memujuk Sang Sura agar tidak melakukannya.
XII
Raja Legor Gagal Menyerang Pahang
Raja Siam telah
menitahkan Raja Legor iaitu Maharaja Dewa Sura supaya menyerang Pahang. Perkara
ini kedengaran ke Pahang. Sultan Mansur Syah telah mengumpul orang-orangnya dan
menyuruh membaiki kota. Khabar Raja Siam menyuruh Raja Legor menyerang Pahang
juga kedengaran ke Melaka. Sultan Mahmud Syah mengarahkan Bendahara membawa
hulubalang ke Pahang untuk membantunya.
Orang-orang Melaka telah membantu
orang-orang Pahang membina kota. Digambarkan betapa cekapnya orang-orang Melaka
hingga dapat menyiapkan kota tersebut dalam masa tiga hari sahaja. Akhirnya
Raja Legor sampai dengan angkatannya. Berkat bantuan Melaka, Pahang dapat
mengalahkan Raja Legor.
Biadab di Hadapan Bendahara
Terdapat seorang
menteri Sultan Mahmud Syah yang bernama Tun Perpatih Hitam. Pada suatu hari Tun
Perpatih Hitam menghadapi masalah dengan seorang dagang dan membawa perbicaraan
tersebut kepada Bendahara. Sedang perbicaraan berlangsung, Tun Perpatih Hitam
telah bersikap kurang sopan terhadap Bendahara dengan menguiskan tikar dengan
kakinya. Beliau lantas dibunuh oleh Laksamana. Melihat keadaan tersebut, anak
Tun Perpatih Hitam hendak mengamuk. Dia juga dibunuh oleh Laksamana. Apabila
berita itu sampai kepada Sultan Mahmud Syah, baginda berasa gembira dan
berpendapat Laksamana telah menjalankan kewajipannya dengan baik. Lalu baginda
memberikan persalinan kepada Laksamana.
Zuriat Laksamana Hang Tuah
Bahagian ini
memberikan butiran terperinci zuriat Laksamana Hang Tuah.
Raja Petani dan Raja Kedah Dinobatkan
Terdapat sebuah
negeri bernama Kota Mahligai yang diperintah oleh Raja Sulaiman Syah. Negeri
tersebut telah diserang oleh Siam dan Raja Sulaiman Syah dibunuh. Seterusnya
Kota Mahligai diperintah oleh raja Siam yang bernama Cau Seri Bangsa. Baginda
juga memeluk agama Islam. Kemudian baginda telah membuka sebuah negeri baru
yang dinamakannya Petani. Selepas itu baginda telah menghantar menterinya
menghadap ke Melaka meminta agar dirinya dinobatkan. Sultan Mahmud Syah telah
menobatkan baginda dengan gelaran Sultan Seri Ahmad Syah. Pada masa yang sama
Sultan Kedah juga turut dinobatkan.
Kebesaran Melaka dan Kedatangan Peringgi
Sebuah kapal
dari Goa telah tiba untuk berniaga di Melaka. Orang-orang Melaka kehairanan
melihat bangsa Portugis dan memanggil mereka benggali putih. Kapitan kapal itu
kemudian pulang ke Goa dan memaklumkan kepada Wizurai di Goa, Alfonso D’
Albuquerque akan kebesaran kerajaan Melaka. Seterusnya Alfonso mengarahkan
Gonsalo Periera menyediakan kelengkapan dan menyerang Melaka. Walau
bagaimanapun pihak Melaka di bawah pimpinan Tun Hassan Temeunggung dapat
mematahkan serangan tersebut. Gonsalo pulang ke Goa dan memaklumkan kepada
Alfonso bahawa selagi Bendahara Seri Maharaja masih ada, selagi itulah Melaka
tidak mungkin dikalahkan. Alfonso membuat ketetapan akan menyerang Melaka
semula setelah turun dari kedudukannya sebagai Wizurai.
Makhdum Dipersenda Muridnya
Seorang maulana
bernama Maulana Sadar Jahan dari Jeddah telah tiba ke Melaka. Pada suatu
ketika, apabila Bendahara Seri Maharaja sedang berbincang dengan maulana, Seri
Rama masuk dalam keadaan mabuk. Maulana itu telah menegurnya dan mengatakan
bahawa “arak merupakan ibu segala najis”. Seri Rama pula menyindir maulana
tersebut dengan mengatakan sikap tamak itulah ibu segala najis. Dengan kata
lain beliau memperli maulana tersebut kerana tujuannya ke Melaka adalah untuk
mengumpul harta. Selepas itu Seri Rama mengaku kepada Bendahara bahawa dia
telah terlanjur dengan kata-katanya.
Sementara itu dikisahkan bagaimana
Tun Mai Ulat Bulu menaji dengan Maulana Sadar Jahan. Dia tidak dapat mengikuti
perkara yang diajarkan oleh maulana tersebut. Maulana Sadar Jahan mengatakan
bahawa lidah orang Melayu keras. Tun Mai Ulat Bulu pula meminta maulana
tersebut menyebut beberapa perkataan bahasa Melayu yang sukar seperti “nyiru”,
“kunyit” dan “kucing”. Kesemuanya tidak dapat dilafazkan dengan tepat oleh
maulana. Dengan itu Tun Mai Ulat Bulu membuktikan kepada maulana itu betapa
sukarnya seseorang itu menuturkan bahasa yang asing baginya.
Bertanya Satu Masalah Agama ke Pasai
Sultan Mahmud
Syah ingin menanyakan satu kemusykilan agama ke Pasai tetapi masalahnya ialah
pihak Pasai mempunyai kebiasaan untuk membacakan setiap utusan “salam” sebagai
“sembah”. Namun pihak Melaka dapat mengatasi masalah tersebut. Mereka tidak
menghantar utusan bertulis. Sebaliknya Orang Kaya Tun Muhammad yang membawakan
utusan ini telah menghafal perutusan yang dibawakannya dan menyampaikan secara
lisan di hadapan Raja Pasai. Beliau juga berjaya mendapatkan jawapan untuk
masalah yang dikemukakannya.
XIII
Tun Fatimah Anak Bendahara Seri Maharaja
Bendahara Seri
Maharaja mempunyai seorang anak gadis bernama Tun Fatimah yang amat jelita.
Bendahara bercadang untuk menikahkannya dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja.
Raja di baruh yang pernah melihat kejelitaan Tun Fatimah menasihatkan bendahara
agar mempersembahkan Tun Fatimah kepada baginda sultan. Ini kerana rupa
parasnya yang begitu jelita hanya layak menjadi permaisuri Melaka. Lagipun
Melaka ketika itu tidak mempunyai raja perempuan. Bendahara menolak dengan
alasan beliau tidak layak bermenantukan baginda sultan.
Pada hari perkahwinan tersebut,
baginda sultan tergamam melihat kejelitaan Tun Fatimah. Baginda juga amat murka
kerana Bendahara Seri Maharaja tidak mempersembahkan Tun Fatimah kepada
baginda. Ini menyebabkan baginda berdendam terhadap bendahara.
Kekayaan Bendahara Seri Maharaja
Bendahara Seri
Maharaja digambarkan sebagai seorang hartawan. Begitu kaya sekali pembesar ini
sehinggakan kadang-kadang semua cucunya diberikan segenggam emas untuk
dijadikan barang permainan.
Tun Hassan Temenggung Cuba Di “beli”
Seorang hartawan
di Melaka yang bernama Ali Manu Nayan cuba memujuk Tun Hassan Temenggung agar
singgah di kedainya sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para pembesar lain.
Dia juga berjanji akan memberikan sepuluh tahil emas sekirany Tun Hassan
Temenggung mengunjunginya. Tun Hassan Temenggung menengking orang kaya tersebut
dan mengatakan dia tidak boleh dibeli.
Punca Mencetuskan Sekejam-kejam Hukuman
Pada suatu
ketika penghulu kepada semua saudagar, Nina Sura Dewana, telah bertelingkah
dengan Raja Mendaliar. Mereka berdua telah berjumpa dengan Bendahara Seri Maharaja
untuk mendapatkan penyelesaian. Bendahara menangguhkan perbicaraan itu hingga
ke hari berikutnya kerana sudah petang. Pada malam itu Nina Sura Dewana telah
mengunjungi Bendahara dan “menghadiahkan” sepuluh kati emas kepada beliau.
Sementara itu salah seorang ahli
keluarga Nina Sura Dewana bernama Kitul yang berhutang sekati emas dengan Raja
Mendaliar telah membuat fitnah dan memberitahu Raja Mendaliar bahawa Nina Sura
Dewana telah berpakat dengan Bendahara untuk membunuhnya. Tujuan Kitul membuat
fitnah tersebut adalah untuk melupuskan hutangnya kepada Raja Mendaliar. Raja
Mendaliarpun menghalalkan hutang tersebut. Beliau seterusnya telah
menyogok Laksamana dan membuat fitnah
Bendahara Paduka Raja hendak merampas takhta kerajaan. Malah katanya Bendahara
telahpun menempah tikar dan kasut emas. Laksamana yang termakan dengan sogokan
itu berjanji hendak mempersembahkan perkara tersebut kepada baginda
sultan.
Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara
Laksamana
mmenyampaikan berita tersebut kepada baginda sultan. Sultan Mahmud Syah yang
sememangnya berdendam dengan Bendahara Sei Maharaja menjatuhkan hukuman bunuh
kepadanya tanpa usul periksa. Anak-anak buah Bendahara berkampung untuk
menentang tetapi tidak dibenarkan oleh Bendahara. Bendahara menerima hukuman
tersebut dengan tenang. Akhirnya Bendahara Seri Maharaja, Seri Nara Diraja, Tun
Hassan Temenggung dan Tun Ali dibunuh. Tun Fatimah diambil oleh baginda menjadi
permaisuri. Apabila semua harta Bendahara diperiksa jelaslah bahawa tuduhan ke
atas beliau merupakan fitnah semata-mata. Baginda menyesali tindakan
terburu-burunya dan menyelidiki asal usul fitnah itu. Kesudahannya Kitul dan
Raja Mendaliar beserta kesemua anak isterinya dibunuh.
Bendahara Paduka Tuan (Bendahara Tepok)
Sultan Mahmud
Syah hendak menjadikan Paduka Tuan, anak Bendahara Paduka Raja sebagai
bendahara. Sebenarnya Paduka Tuan telah tua dan kakinya pula telah tepo.
Baginda juga tidak dapat berjalan. Paduka Tuan menolak jawatan tersebut tetapi
dipujuk oleh baginda. Bendahara Paduka Tuan juga dipanggil Bendahara Lubuk
Batu.
Tun Biajid Sasar
Bahagian ini
mengisahkan tentang Tun Biajid, anak Bendahara Tepok. Tun Biajid mempunyai
sikap yang kurang disenangi oleh orang ramai. Beliau suka mengambil apa sahaja
yang diingininya tanpa mengira tuannya. Beliau dikatakan tidak dapat dikawal
walaupun oleh Bendahara sendiri.
Zuriat Bendahara Lubok Batu
pada bahagian
ini diberikan penerangan terperinci tentang zuriat Bendahara Lubuk Batu.
Sultan Mahmud Membuang Kerajaan
Walaupun kini
Tun Fatimah menjadi permaisuri sultan namun dia tiak apat melupakan ayahnya
yang telah dibunuh oleh baginda. Dia dikatakan tidak pernah tersenyum atau
menunjukkan tanda-tanda gembira. Sultan Mahmud Syah pula terus menyesal kerana
keterburuan baginda.
Akhirnya baginda telah membuang
kerajaan dan merajakan putera baginda Raja Ahmad dengan gelaran Sultan Ahmad
Syah. Baginda seterusnya meninggalkan bandar Melaka dan menetap di Hulu Melaka.
Sementara itu sejak perkahwinannya
dengan Sultan Mahmud Syah, Tun Fatimah telah beberapa kali mengandung. Namun,
kesemua kandungannya digugurkan. Apabila dipersoalkan oleh baginda, Tun Fatimah
menjawab tidak ada gunanya dia berputera kerana sudah ada orang yang bakal
menaiki takhta kerajaan. Sultan Mahmud Syah meminta Tun Fatimah tidak
menggugurkan kandungannya lagi dan berjanji akan merajakan anak yang bakal
lahir. Akhirnya Tun Fatimah melahirkan seorang puteri.
XIV
Di Saat Akhir Kesultanan Melayu Melaka
Alfonso D’
Albuquerque telah turun daripada jawatan wizurainya di Goa. Beliau telah
meminta armada daripada Raja Portugal untuk menyerang Melaka. Angkatan ini
sampai ke Melaka dan telah ditewaskan oleh Sultan Mahmud Syah. Pada sebelah
malamnya, orang Melaka menghabiskan masa membaca Hikayat Muhammad Hanafiah.
Melaka akhirnya dapat ditewaskan oleh Portugis.
Sultan Mahmud, Sultan Ahmad Berlepas Diri
Apabila Melaka
tewas, Sultan Mahmud Syah dan anakanda baginda Sultan Ahmad Syah meninggalkan
Melaka. Sultan Ahmad Syah berundur ke hulu Muar dan menetap di Pagoh. Sementara
itu Sultan Mahmud Syah pula berundur dan menetap di Batu Hampar. Peringgi
menyusuli rombongan ini dan menyerang Pagoh. Kini kedua-dua orang anak beranak
ini berundur ke Pahang. Dari situ mereka berangkat ke Johor dan terus ke
Bintan. \
Sultan Ahmad Syah, walaupun
merupakan seorang pemerintah yang baik namun mempunyai satu kelemahan iaitu
baginda tidak menghormati para pembesar. Akhirnya baginda dikerjakan secara
senyap oleh Sultan Mahmud Syah.
Melantik Orang Besar-besar Kerajaan
Setelah Sultan
Ahmad Syah mangkat, Sultan Mahmud Syah meletakkan anakanda baginda Raja
Muzaffar Syah di atas kerajaan. Sultan Mahmud Syah seterusnya membuat negeri di
Kopak.
Anak Raja Bakal Kerajaan
Di Kopak, Tun
Fatimah telah melahirkan seorang putera dan dinamakan Raja Ali, timang-timangannya
Raja Kecil Besar.setelah empat puluh hari, Raja Ali ditabalkan bergelar Sultan
Alau’d-Din Ri’ayat Syah. Baginda juga dikenali dengan nama Sultan Muda.
Tun Ali Hati Lebih Rela Mati
Setelah Sultan
Ahmad mangkat, kesemua pengikutnya kini kembali ke pangkuan Sultan Mahmud Syah
kecuali Tun Ali. Tun Ali lebih rela mati daripada bertuankan orang lain. Dia
mendesak agar dirinya dibunuh. Akhirnya Sultan Mahmud Syah terpaksa menitahkan
agar dia dibunuh.
Raja Abdullah Ditawan Peringgi
Raja Kampar,
Raja Abdullah yang mendapat tahu tentang kekalahan Melaka di tangan Peringgi
menaruh harapan untuk memperoleh kerjasama Peringgi bagi mendapatkan semua
tanah jajahan Melaka. Walaupun ditegah oleh para pembesar tetapi baginda tetap
berkeras. Baginda diminta hadir seorang diri ke kapal Peringgi oleh kapitannya.
Kapitan tersebut berpura-pura menghulurkan persahabatan dan setelah baginda
berada di atas kapal, kapitan membongkar sauh dan melarikan baginda ke
Goa.
Angkatan Peringgi Menyerang Bintan
Apabila
mengetahui bahawa Sultan Mahmud Syah telah menetap di Bintan, Peringgi pun
menyediakan kelengkapan. Khabar ini sampai kepada Sultan Mahmud Syah dan
baginda mengerahkan hulubalangnya bersedia. Panglima pada ketika itu,
Temenggung Seri Udani pula berlengah-lengah kerana sibuk mengira hartanya.
Sebenarnya beliau sengaja berbuat demikian kerana berkecil hati kerana tidak
diberikan pengurniaan yang sepatutnya oleh baginda sultan.
Pustaka Dari Terengganu Seri Udani
Seri Udani
menyerahkan senarai hartanya kepada sultan sebelum bertolak memerangi Peringgi.
Daripada senarai itu jelaslah bahawa beliau merupakan seorang yang amat miskin.
Seri Udani mati dalam pertempuran itu dan Peringgi menyerang Kopak.
Membalas Kasih Raja
Sultan Mahmud
Syah hendak berangkat ke medan perang tetapi tidak dibenarkan oleh Seri Nara
Diraja. Akhirnya baginda terpaksa berundur sekali lagi. Dikisahkan juga betapa
Seri Wak Diraja sanggup mencuri nasi orang lain untuk santapan baginda sultan
dan keluarganya.
Dari Bintan Pindah ke Kampar
Baginda tiba di
Kampar dan dialu-alukan oleh rakyatnya. Baginda Sultan juga diberitahu tentang
perihal Raja Abdullah yang telah dilarikan oleh Peringgi. Sultan Mahmud Syah
tinggal di istana Raja Abdullah. Ketika di Kamparlah Raja Perempuan mangkat.
Masalah Tiada Mempunyai Putera Lelaki
Sultan Mansur
Syah, raja Pahang tidak mempunyai waris lelaki. Pada suatu ketika Raja
Terengganu, Raja Muhammad telah menghadap ke Pahang. Sultan Mansur Syah telah
mengahwinkan baginda dengan saudara dua pupunya. Hasil perkahwinan ini lahirlah
seorang putera yang dijadikan anak angkat oleh Sultan Mansur Syah. Putera ini
dinamakan baginda Raja Ahmad dan dikatakan mempunyai sifat dan pekerti yang
amat terpuji. Sultan Mansur Syah juga telah mewasiatkan kepada Orang-orang
Besar agar menjadikan Raja Ahmad sebagai pengganti baginda kelak.
XV
Sultan Mahmud Syah Mangkat di Kampar
Ketika berada di
Kampar, Sultan Mahmud Syah gering. Baginda telah mewasiatkan kepada para
pembesar agar memelihara anakandanya Sultan Muda. Kepada puteranya pula baginda
mengingatkan agar banyak bersabar dan adil dalam menjalankan pemerintahan.
Baginda juga mengingatkan puteranya agar sentiasa memeriksa dengan teliti
sebarang perkara yang dipersembahkan kepadanya sebelum bertindak.
Selepas kemangkatan Sultan Mahmud
Syah, Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah (Sultan Muda) membuat keputusan untuk
meninggalkan Kampar dan berangkat ke Pahang.
Bertapak Semula di Bumi Semenanjung
Di Pahang
baginda amat dimuliakan oleh Sultan Mansur Syah dan diberikan sebuah istana
peribadi. Baginda juga telah dikahwinkan oleh Sultan Pahang dengan puteri
baginda Raja Kesuma Dewi. Selepas perkahwinan itu Sultan Alau’d-Din Ri’ayat
Syah memohon untuk membawa permaisurinya ke Johor.
Berbuat Negeri di Kuala Johor
Apabila sampai
di Johor, baginda telah membuka ngeri dan bertakhta di Johor. Baginda juga
memperoleh dua orang anak bernama Raja Muzaffar dan Raja Fatimah.
Surat Meminang dari Pahang
Sultan Mansur
Syah, raja Pahang telah menghantar utusan kepad Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah
menyatakan hasrat hendak meminang Raja Fatimah bagi cucunda baginda Raja Omar
baginda Sultan bermuafakat dengan para pembesar negeri dan bersetuju untuk
menerima peminangan tersebut.
Hasrat Sultan Pahang Tercapai
Sultan Mansur
Syah berangkat tiba ke Johor dengan membawa cucunda baginda Raja Omar. Baginda
dianugerahkan sebuah istana khas oleh Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah.
Istiadat Perkahwinan Diraja Johor-Pahang
Setelah
berjaga-jaga selama empat puluh hari akhirnya perkahwinan diraja dilangsungkan.
Selepas itu Sultan Mansur Syah berangkat pulang ke Pahang meninggalkan pasangan
pengantin baru di Johor.
Selepas Mangkat Sultan Alau’d-Din
Sultan
Alau’d-Din Ri’ayat Syah mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda Raja
Muzaffar dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Ketika menaiki takhta baginda
hanya berumur sembilan belas tahun. Sultan Muzaffar Syah membuka negeri baru di
Seluyud dan semua rakyat baginda berpindah ke negeri baru itu.
Sementara itu Raja Omar juga
mempunyai seorang isteri di Pahang. Melalui perkahwinan tersebut baginda
memperoleh seorang anak lelaki bernama Raja Mangsur. Selepas seketika Raja
Fatimah turut hamil. Pada ketika itu Raja Omar mula membenci bonda Raja Mangsur
lalu menyisihkannya. Bonda Raja Mangsur seterusnya dipelihara oleh Seri Nara
Diraja.
Nikah Dalam Sunyi
Sementara itu
Sultan Muzaffar Syah pula jatuh hati pada bonda Raja Mangsur. Baginda
seterusnya menikahi bonda Raja Mangsur secara senyap-senyap. Hasil pernikahan
tersebut baginda memperoleh seorang putera yang dinamakan Raja Abdullah. Namun
begitu segala rahsia itu hanya diketahui oleh bendahara sahaja. Raja Omar pula
menganggap Raja Abdullah sebagai zuriatnya sendiri. Seterusnya Raja Fatimah
pula melahirkan seorang putera yang dinamakan Raja Abdul Jalil.
Wasiat Sultan Muzaffar Syah
Sultan Muzaffar
Syah gering dan mewasiatkan agar Raja Abdul Jalil ditabalkan sebagai pengganti
baginda. Wasiat tersebut dilaksanakan selepas kemangkatan baginda dan Raja
Abdul Jalil menaiki takhta dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah. Memandangkan
baginda masih kecil, jawatan tersebut dipangku oleh Bendahara.sultan Abdul
Jalil amat mengasihi Raja Abdullah.
Wasiat Sultan Abdul Jalil Diketepikan
Ketika Sultan
Abdul Jalil berusia Sembilan tahun baginda gering dan mewasiatkan agar takhta
diserahkan kepada Raja Abdullah setelah kemangkatan baginda. Namun begitu
setelah baginda mangkat, bonda baginda Raja Fatimah enggan melaksanakan wasiat
tersebut. Raja Fatimah inginkan suaminya Raja Omar ditabalkan. Sekiranya
Bendahara enggan berbuat demikian, Raja Fatimah mengugut akan meninggalkan
negeri tersebut.
Akhirnya setelah bermuafakat dengan
para pembesar, Bendahara menabalkan Raja Omar, bergelar Sultan Ala Jalla Abdul
Jalil Ri’ayat Syah.
Tun Seri Lanang Jadi Bendahara
Bendahara Paduka
Raja meninggal dunia dan digantika oleh Tun Sei Lanang. Sementara itu Sultan
Ala Jalla Abdul Jalil Ri’ayat Syah telah berpindah dari Seluyud dan membuat
negeri baru di Tanah Putih. Namun tanah tersebut didapati tidak sesuai dan
membawa pelbagai malapetaka. Akhirnya baginda membuka negeri baru di hulu
Sungai Damar bernama Makam Tauhid.
Negeri Makam Tauhid telah diserang
sebanyak dua kali oleh Peringgi tetapi tidak dapat ditawan. Raja Fatimah
mangkat dan disemadikan di Seluyud. Selang setahun kemudian Sultan Ala Jalla
Abdul Jalil juga mangkat.
Bendahara hendak merajakan Raja
Abdullah tetapi ditolak oleh baginda. Baginda meminta agar takhta diserahkan
kepada Raja Mangsur. Raja Mangsur menaiki takhta dengan gelaran Sultan
Alau’d-Din Riayat Syah. Namun baginda bukanlah seorang pemerintah yang baik.
Ini menyebabkan kebanyakan urusan pentadbiran diperhatikan oleh Raja Abdullah
sendiri. Makam Tauhid juga telah beberapa kali menjadi sasaran serangan
Peringgi dan Acheh tetapi tidak dapat dikalahkan. Selepas itu Sultan Alau’d-Din
Riayat Syah telah membuka negeri baru di Pasar Raja.
ilmu yg diberi ibarat sungai yg mengalir tanpa sekatan...thanks untuk mklumat yg diberi
ReplyDeleteSinopsis yang sangat lengkap mengikut kronologi. Nota sinopsis sangat membantu. Terima kasih.
ReplyDeletePerkongsian yang amat berguna
DeleteTERIMA KASIH AWAK
Deleteterima kasih diatas perkongsian
ReplyDeleteterima kasih untuk ilmu yg diberi :)
ReplyDeleteterima kasih dengan sinopsisnya yang lengkap
ReplyDeleteThank you for you
ReplyDeleteterima kasih
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian ini...............
ReplyDeleteterima kasih dengan sinopsis yang lengkap dan mudah difahami.
ReplyDeleteterima kasih dengan kronologi dan sinopsis yang mudah difahami.
ReplyDeleteSinopsis oky je... Tpi byk kesalahan ejaan... Harap blh check balik...
ReplyDelete